22 April 2007

PIlihan

Pada Rabu lepas, saya ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat ‘Perjanjian Bersama’ (collective agreement) antara pihak majikan dengan kesatuan sekerja kami. Saya tiba di Puduraya sekitar jam 8 malam. Sebaik tiba, saya segera ke Plaza Low Yat yang terletak di Bukit Bintang. Oleh kerana jarak antara Puduraya dengan Bukit Bintang tidaklah terlalu jauh, jadi saya hanya berjalan kaki ke sana.

Plaza Low Yat merupakan salah satu tempat kegemaran saya. Kunjungan saya ke Kuala Lumpur rasanya tidak lengkap jika tidak ke situ walaupun sekadar ‘makan angin’ (window shopping). Rasanya, ‘nafsu membeli-belah’ saya terpenuh jika dapat meronda di plaza ini. Seperkara yang saya tidak gemar di sini ialah, terlalu payah untuk mendapatkan teksi untuk pulang. Bukan tidak ada teksi tetapi mungkin agaknya mereka terlalu memilih penumpang.

Selepas saya mendapatkan barang yang saya idamkan, saya pun segera menuju ke tepi jalan dengan niat untuk mendapatkan teksi. Pada kebiasaannya, ia mengambil masa yang agak lama untuk membolehkan sebuah teksi berhenti di hadapan saya. Tetapi tempohari, cukup mudah. Sekali tahan saja teksi sudah berhenti di hadapan saya. “Hotel Nikko?” tanya saya. Si pemndu segera menganggukkan kepala dan menghidupkan meternya sejurus sebelum bergerak.

“Hari ni hari bertuah saya” tutur saya memulakan bicara dengan pemandu teksi berbangsa India itu. “Kenapa?” tanyanya kembali. “Biasa saya tahan teksi, semua tak mahu berhenti. Tapi hari ni sekali tahan awak sudah mahu ambil saya” jelas saya kepadanya. Dia tertawa. “Itu dia orang semua mahu angkat pelancong la. Terlalu memilih. Saya tada la. Ada orang tahan, saya kasi angkat” jelasnya peramah.

Seketika kemudian perbualan kami banyak berkitaran tentang pemandu teksi dan penumpang. “Saya pun bukan angkat semua orang. Tadi you pun nasib baik. Saya baru tutup pintu dari seorang penumpang” dia bercerita panjang lebar. Saya tertarik juga dengan cerita. Lalu saya pun bertanya mengapa dia berbuat begitu. “Itu orang la… Dia tanya saya mahu pegi Chow Kit berapa. Saya kasi tahulah RM2 ke RM3”.

“Lepas itu dia terus marah. Dia tanya apa fasal saya tak mahu pakai meter. Dia tanya saya berapa, saya kasi tahulah. Apa fasal dia mahu marah sama saya…” jelasnya sambil tergelak. Saya juga turut tergelak bersamanya. “Macam abang tadi, tada tanya berapa, terus masuk. Saya kasi hidup meterlah. Ini dia tanya. Saya kasi tahulah lebih kurang. Ini teksi bukan boleh cakap. Kena jalan jem ka... Nanti lebih dia kata saya tipu…” jelasnya lagi.

“Oh… Dia tak kenal teksi KL kot… Sebab kalau drebar nak ambil lebih, biasanya terus sebut harga. Kalau tak sebut, maknanya ikut meterlah tu…” jawab saya pula. Sempat juga saya bertanya penumpang itu orang Malaysia atau pelancong. “Tak tahulah. Nampak macam orang dari Timur Tengah” jawabnya pula. “Yalah tu. Dia tak biasa dengan teksi di KL ni…” jawab saya lagi untuk menyedapkan hati pemandu tersebut.

Tada bang… Itu orang, dia punya rezeki ini hari sudah mahu kena. Ini baik punya orang dia tak mahu naik, maknanya dia mahu kena dengan sembelih punya kaki. Saya apa ada hal. Lepas ini saya boleh pergi KLCC. Lagi ramai orang. Saya tak rugi juga…” Berulang kali dia mengulangkan ayat tersebut. Sehinggakan selepas turun dari teksi pun, kata-katanya terngiang di telinga saya.

Benar cakapnya. Apa yang pemandu itu katakan memang benar. Saya simpulkan apa yang berlaku terhadap pelancong yang enggan menaiki teksi pemandu itu sebagai, tersalah membuat pilihan. Si pelancong, sedang berusaha untuk membuat pilihan teksi yang terbaik untuk ke Chow Kit. Tetapi, dalam membuat pilihan, dia sudah tersilap kira dan akhirnya melepaskan peluang yang baik dan merisikokan diri untuk pilihan yang lebih buruk.

Setuju atau tidak, hidup kita sebenarnya dikelilingi dengan pelbagai pilihan. Dari semenjak dilahirkan sehinggalah meniti ke akhir usia, pilihan sentiasa ada dan berkeliling dalam hidup kita. Sedar atau tidak, pilihan ini adalah antara perkara yang mencorakkan kehidupan kita di masa hadapan. Maka kerana itu, tidak hairanlah adakalanya kita terlalu cerewet dalam membuat pilihan. Kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik.

Sebenarnya, bersikap cerewet dalam membuat pilihan ini bukanlah satu kesalahan. Dan bukan juga satu kemestian. Benarlah. Sudah dikatakan pilihan itu bakal mencorakkan masa depan, takkanlah kita hendak memilih sesuatu yang boleh memusnahkan masa depan? Contohnya dalam memilih pasangan hidup. Takkanlah seorang perempuan sengaja memilih kaki botol sebagai suaminya atau lelaki memilih perempuan jalang sebagai isterinya.

Dan juga contohnya ketika memilih kerjaya. Tentunya setiap orang inginkan sebuah kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan, kerja yang mudah dan yang sebagainya terutamanya, kerjaya yang boleh berkekalan, bukan yang sementara. Tetapi, biarpun kita begitu cerewet dan ketat dalam membuat pilihan, adakalanya pilihan yang dibuat bukan pilihan yang bertepatan. Bagaimana pula boleh jadi begitu?

Sebenarnya, kebanyakan kesilapan berlaku bukan ketika pilihan dibuat. Sebaliknya kesilapan lebih banyak berlaku ketika menetapkan ciri-ciri untuk sesuatu pilihan dibuat. Disebabkan terlalu inginkan yang terbaik, kita jarang bertoleransi dengan mana-mana ciri yang tidak menepati citarasa kita. Baik ketika menentukan jodoh, mahupun dalam membuat pilihan-pilihan lain dalam hidup.

Contohnya dalam memilih kerjaya sendiri. Ramai yang memilih untuk bekerja dalam bidang yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Sudah semestinya kita mahukan sebuah syarikat yang besar, multinasional kerana kita jangkakan bekerja di syarikat ini punyai masa depan yang cerah. Sekurang-kurangnya, ketika hendak menulis pengalaman di dalam resume kelak, ada seuatu yang boleh dibanggakan.

Dan kerana ciri yang ditetapkan ini, kita lupa mengambil kira risiko lain yang ada. Persaingan, beban, tekanan dan ekspektasi yang disandarkan oleh syarikat tersebut terhadap kita sesuai dengan status mereka sebagai syarikat antarabangsa. Akhirnya, kita menyesal dengan pilihan yang kita sendiri buat. Akhirnya, kita katakan bahawa syarikat itu ‘indah khabar dari rupa’. Sedangkan sebenarnya, yang memilih bekerja di situ adalah diri kita sendiri.

Saya ada ramai teman yang bekerja dalam syarikat yang tidak dikenali tetapi jika ditanya, mereka berkata bahawa mereka cukup gembira bekerja di sana. Walaupun mungkin gaji tidak sebesar mana, tetapi tiada tekanan yang cukup hebat untuk menyelesaikan kerja. Cukup pukul 5 petang, boleh pulang ke rumah dengan senang hati. Mungkin pada awalnya pilihan mereka ini kelihatan kurang baik, tetapi ternyata, pilihan merekalah yang tepat sebenarnya.

Kita tidak akan mampu lari dari membuat pilihan. Dan risiko untuk membuat pilihan yang kurang tepat tidak pernah padam. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan sedikit bertoleransi dengan ciri yang kita tetapkan. Mungkin kita boleh kekalkan perkara-perkara yang penting. Tetapi untuk perkara-perkara yang kecil mungkin boleh kita pejamkan mata dan terima dengan hati yang terbuka.

Seperti dalam memilih jodoh. Yang terpenting adalah iman bakal pasangan kita. Itulah sepatutnya yang teratas dalam senarai ciri yang kita mahukan. Jika dikatakan mendapat yang cantik, tampan, kaya dan sebagainya, anggaplah ianya sebagai bonus. Bukan apa. Kerana inginkan jaminan kebahagiaan masa depan, tak fasal-fasal kita terpilih bapa ayam. Kaya memang kaya tapi… Kitalah yang menjadi sumber kekayaannya. Wana’uzubillah…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.