25 May 2006

Pencuri


Tempohari, Sabtu malam Ahad, lebih kurang jam 12 tengah malam, ketika
isteri saya sedang sibuk menanda buku latihan anak² muridnya manakala saya
pula masih asyik di hadapan komputer mencuba perisian (software) yang baru
saya beli, kami secara tiba² digemparkan dengan bunyi yang kuat yang
rasanya datang betul² dari halaman rumah kami sendiri.

Pada awalnya saya dengar bunyi seperti orang berlari di hadapan rumah saya.
Kemudian saya dengar banyak bunyi tapak kaki yang lain yang mengekori di
belakangnya sebelum diikuti dengan bunyi raungan yang agak kuat. Saya hanya
membuka sedikit tingkap untuk meninjau keadaan di luar. Bimbang juga hendak
membuka pintu takut kalau² ini taktik perompak untuk memasuki rumah kami.

Sebaik bunyi tingkap kaca rumah saya dibuka, seorang lelaki menegur saya
"Han! Ni ha. Orang nak masuk rumah kau." Tersentak saya mendengar. Memang
saya kenal dengan lelaki yang menegur itu. Anak jiran saya. Tetapi kes
orang hendak pecah masuk rumah saya adalah perkara yang asing. Selama 26
tahun saya menetap di situ, Alhamdulillah belum pernah lagi terjadi
kejadian yang tidak diingini itu.

Siapa pula yang berani sangat ni? Getus hari saya. Sambil menuju ke pintu,
saya melaungkan nama ayah saya mengajaknya bersama ke luar rumah. Ayah
segera keluar dari bilik dan kami sama² melangkah ke laman rumah. Di luar,
terdapat 3 orang lelaki. 2 orang anak jiran saya manakala seorang lagi
adalah lelaki yang disyaki hendak memecah masuk rumah kami.

"Apa hal?" tanya saya kepada Ayie, pemuda berbadan besar yang mula² sekali
menegur saya. "Aku nampak dia masuk dari satu rumah ke rumah yang lain. Dia
selongkar garaj orang atas tu. Bila aku tanya dia buat apa, dia cakap
sumpah², lepas tu lari. Tu yang aku suspect semacam tu." Saya melihat muka
lelaki yang tertangkap. Bibirnya bengkak dan ada kesan lebam. Saya pasti
Ayie sudah 'mengajarnya'.

Simpati pun ada, geram pun ada. Simpati melihatkan wajahnya yang lebam².
Geram pula mengenangkan perbuatannya. Entah pencuri, entah perogol bersiri,
tidak dapat dipastikan. Apa yang jelas, perbuatannya memang meragukan. "Kau
mabuk eh?" tanya saya kepada lelaki itu. Sebenarnya sejak keluar tadi saya
terbau sesuatu yang cukup wangi. Kalau tak salah saya sejenis samsu
berjenama Seven Sea.

"Saya mabuk saja bang. Sumpah tak buat apa²" jawabnya dalam lorat Sarawak
yang pekat. Saya menggeleng²kan kepala. Lalu saya tanyakan kepadanya apa
yang dibuat menggeledah rumah orang di tengah malam begitu. Namun hampa
jawapannya tetap sama. Saya mula mencapai sebuah bakul besi yang berada di
luar rumah. Ketika itu segera lelaki itu meraung meminta ampun.

Tidak. Saya tidak berniat memukul lelaki itu. Sekadar gertak sahaja.
Sebenarnya sebaik saya keluar, saya terus teringatkan kepada sebuah bayan
yang baru saya dengar lebih kurang seminggu atau 2 minggu yang lepas. Isi
bayan tersebut adalah berkitaran tentang fikir atas umat. Atau memikirkan
tentang kejadian dalam masyarakat atau lebih mudah, amr-bil-ma'ruf,
nahi-'anil-munkar.

Begini..., katakanlah, ada 10 orang jemaah tabligh di dalam sebuah bas
ekspres sedang menuju ke sebuah destinasi bagi melaksanakan 'keluar 3 hari'
mereka. Tiba di suatu perhentian, pemandu bas menghentikan bas dan kesemua
10 orang jemaah ini turun dan mendirikan solat. Alhamdulillah... Kesemua
mereka gembira kerana sempat bersolat dalam waktunya.

Tetapi, menurut yang memberi bayan, mereka sepatutnya risau. Kerana
walaupun mereka semua bersekempatan menunaikan solat, ada lagi 25 orang
lain di dalam bas tersebut yang tidak menunaikan solat! Saya juga turut
terasa. Kerana, walaupun saya tidak pernah keluar 3 hari, tetapi saya kerap
menaiki bas ekspres dan benar seperti katanya, saya tidak pernah risaukan
orang yang tidak bersolat di dalam bas itu.

Yang lebih menarik, ketika beliau menyentuh tentang pencuri. Katanya, kalau
dapat tangkap pencuri, apa yang biasa kita akan lakukan? Selalunya kita
akan belasah pencuri tadi 'secukup rasa' kemudian serahkan kepada polis.
Tidak pernah kita bawa si pencuri tadi ke masjid. Suruh dia menunaikan
solat sunat 2 rakaat dan kemudian bertaubat memohon keampunan dari Allah.

Betul. Tepat sekali. Sememangnya kebanyakan dari kita sering menghukum
seseorang pencuri itu dengan tangan kita sendiri. Seperti dalam kes saya
tadi. Saya tidak mahu menghukum sama ada betul atau salah tindakan itu
tetapi apa yang betul, jarang sekali kita gunakan peluang sebegitu untuk
mentarbiyahkan si pencuri. Sebaliknya kita lebih suka bertempik dan
menunjuk kuat.

Lalu saya duduk di hadapan lelaki yang tertangkap itu. "Kau mabuk kan?
Tengok. Di dunia ni pun kau dah kena siksa begini. Di akhirat nanti? Macam
mana?" lelaki itu terdiam. Seketika kemudian dia mula 'merapu' dengan
bahasa Melayu Sarawaknya semula. Saya tahu dia mabuk Dan saya tahu apa yang
saya nasihatkan tidak masuk ke dalam kepalanya. Tak mengapalah.

Sekurang²nya saya sudah menjalankan peranan. Betul. Saya merasakan lebih
kepuasan dengan memberi nasihat sebegitu dari 'mengajarnya' dengan tangan
dan kaki saya. Sungguhpun dia mabuk, dengan izin Allah mungkin ada dari
kata² saya yang tertusuk ke hati sanubarinya. Manu tahu, mungkin selepas
ini dia benar² insaf? Bukan? Hidayah itu semata² milik Allah.

Peronda polis datang lebih kurang sejam selepas kami menghubunginya. Lelaki
itu kemudiannya kami serahkan kepada pihak polis. Rasanya mungkin pihak
polis akan melepaskan dia memangdangkan tidak ada bukti jenayah dilakukan
dan tidak ada di antara kami yang dipanggil untuk memberikan keterangan.
Tak mengapalah. Saya sendiri bersetuju jika lelaki itu dibebaskan.

Cuma saya sedikit kesal dengan kenyataan polis tersebut. Katanya kepada
lelaki tadi, "Kalau kau nak mabuk pun, mabuklah. Tapi janganlah menyusahkan
orang." Salah tu. Sama ada menyusahkan orang atau tidak, kita tidak boleh
membiarkan sesuatu maksiat itu berlaku. Mesti ada sifat berfikir atas umat.
Seperti Baginda Nabi saw yang sehingga di penghujung hayat baginda sendiri
masih sibuk menyebut umatnya. Jika kita berbangga sebagai umat Baginda saw,
kita juga harus mencuba bersifat seperti Baginda. Semoga Allah
memeliharakan kita semua.....

4 comments:

Anonymous said...

Kadang2 ada kes pencuri kena pukul sampai mati. Kenapa? Tak lain dan tak bukan adalah kerana tatkala itu perasaan marah org yg kena curi adalah di tahap maksimum. Itu adalah lumrah manusia.

Sebab tu, hukum dari Allah adalah seadil2nya. Tetapi apa kan daya, kerajaan tak berkeinginan untuk melaksanakan.

LK said...

salam,
saya nak tanya apa doa yang saudara amalkan untuk mengelak rumah dari dimasuki pencuri.Atau petua-petua/amalan pencegahan kerana rumah saya sudah dua kali dimasuki pencuri dalam tempoh 3 tahun dan tempat tinggal saya di Putrajaya pula. minta nasihat. terima kasih

Abu Naqibah said...

Mawar Biru,

Saya tidak ada doa atau petua untuk elak rumah dimasuki pencuri. Yang saya amalkan ialah doa 'Bismillahi tawaqqaltu 'alallah'. Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Saya memang cerewet bab doa sebab saya kalau boleh taknak amalkan apa² doa atau petua yang tidak Nabi saw amalkan.

Anon,
Erm... betul tu. Hukum penjara terlalu ringan dan tak adil untuk orang yang kecurian. Tapi kalau kena belasah sampai mati pun tak adil kepada yang mencuri. Kan? Lagipun hukuman penjara pun memisahkan si pencuri dengan keluarga. Jadi sebenarnya hukuman tu lebih zalim sebab mungkin keluarga dia memerlukan si banduan. Allahu Akbar...

LK said...

terima kasih

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.