20 May 2006

Pelbagai Isu


Agak lama saya tidak menulis di blog ini. Bukan melarikan diri sebaliknya ketiadaan saya disebabkan saya terpaksa mengikuti satu program latihan di Wisma MTUC di USJ 9. Alhamdulillah, hari ini saya selamat tiba ke rumah. Disebabkan terlalu lama tidak menulis, berbagai isu yang bermain di fikiran saya. Jadi hari ini, insyaAllah saya ingin kongsikan kesemuanya dengan rakan² sekalian.

ISU 1: Pembelaan Nasib Golongan Pekerja.
Seperti yang telah saya nyatakan tadi, saya sebenarnya baru pulang dari menghadiri kursus di Wisma MTUC, USJ 9. Kursus 5 hari yang bertajuk ‘Pengendalian Pertikaian Dan Siasatan Dalaman’ atau Dispute Handling And Domestic Inquiry ini secara keseluruhannya membincangkan hal² yang berkaitan dengan pembelaan nasib golongan pekerja daripada penindasan dari pihak majikan selain pengenalan kepada akta² yang berkaitan.

Alhamdulillah, banyak yang dapat saya pelajari untuk kursus yang pendek ini. Dan paling penting, kursus ini menyedarkan saya akan kewujudan 3 akta penting yang sebenarnya mampu, sedikit sebanyak membela nasib kita di kala diperlukan. 3 akta tersebut adalah Akta Pekerjaan, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Pehubungan Perindustrian. Walaupun terdapat beberapa loophole dalam akta² ini, ianya masih boleh dianggap berguna.

Apa yang saya kesalkan adalah kesedaran golongan pekerja dengan kewujudan akta² itu tadi. Adalah menjadi kebiasaan golongan pekerja diomok²kan dan ditakut²kan dengan ugutan untuk dibuang kerja sedangkan pada hakikat, majikan tidak boleh wewenangnya membuang para pekerja.

Tidak tempat saya bekerja sendiri, yang mana hampir keseluruhan pekerja adalah pemegang sekurang²nya diploma, juga terdapat ramai yang tidak tahu tentang kepentingan akta² ini. Malah saya sendiri mengakui, sebelum menghadirkan diri ke kursus ini saya tidak tahu menahu langsung apa yang harus saya lakukan jika berlaku pemberhentian. Kiranya saya cukup terhutang budi kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC.

Jadi sebenarnya, kebanyakan golongan pekerja di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang berilmu dan berpendidikan tetapi kurang berpengetahuan. Termasuklah diri saya sendiri. Maka kerana itu, di akhir kursus saya telah mencadangkan kepada Setiausaha Agung MTUC Sdr. G. Rajasekaran agar menggunakan pengaruh yang ada dalam MTUC untuk mendesak kerajaan menjadikan akta² ini sebagai subjek untuk pelajar di tingkatan 4 dan 5.

Bukanlah bertujuan untuk menyusahkan pelajar dengan menambahkan bilangan matapelajaran yang perlu diambil, sebaliknya ianya adalah untuk kemudahan para pelajar ini agar apabila mereka memulakan alam pekerjaan mereka kelak, mereka telah sedia tahu tentang hak² mereka. Mungkin subjek ini boleh dijadikan subjek tanpa peperiksaan atau dalam bentuk seminar di mana markah dikira dari segi kehadiran.

Esok, insyaAllah saya akan mencari buku untuk ketiga² akta ini. Dan saya mencadangkan agar teman² semua melakukan perkara yang sama. Dan buat mereka yang telah sedia mengetahui, sebarkanlah pengetahuan anda kepada rakan² yang masih belum mengetahui. Semoga apa yang bakal kita lakukan ini diredhai oleh Allah dan diberikan balasan dengan kebaikan di dunia dan di akhirat. Amin Ya rabbal ‘Alamin…

ISU 2: Guru Bukan Kerjaya Kedua.
Masih lagi berkenaan kerjaya. Tetapi kali ini adalah tentang kerjaya perguruan. Sebabnya saya memilih untuk menyentuh tentang isu ini adalah kerana tertarik dengan kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita di dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan yang berbunyi sebagaimana tajuk isu ini. Tentunya para guru akan berbesar hati apabila mengetahui profesi mereka di dalam perhatian YAB Perdana Menteri.

Pesan YAB kepada guru, bekerjalah dengan ikhlas dan beliau akan membantu mereka. Ini diikuti pula dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri Pelajaran bahawa beliau berikrar akan membela nasib guru. Wah… Jika saya seorang guru, tentu sahaja saya akan merasa ‘kembang kuncup’ dengan kenyataan² sebegini.

Tetapi sayangnya sejarah telah membuktikan bahawa kerjaya guru memang selalu dianak tirikan oleh bukan kerajaan, bahkan kementerian sendiri. Tidak perlulah disebut tentang gaji guru yang rasanya lebih kecil dari gaji operator kilang (kerana guru tidak boleh menuntut kerja lebih masa), bahkan dari segi claim jika menghadiri mana² kursus juga telah jelas menunjukkan penindasan terhadap golongan yang banyak berjasa ini.

Beberapa bulan yang lalu, isteri saya dikerhendaki menhadirkan diri ke sebuah kursus di sebuah sekolah Cina di Tampoi. Jaraknya antara rumah kami dengan sekolah tersebut lebih kurang setengah jam menaiki kereta. Sayang sekali kursus yang berlangsung selama sepuluh hari itu, guru perserta hanya dibenarkan menuntut perbelanjaan perjalanan untuk enam hari sahaja. Mengapa begitu? Lagi empat hari minyak kereta kami diisi dengan air kah?

Tidak cukup dengan itu, guru² juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi memenuhi tuntutan kerjaya mereka. Ramai di kalangan teman sekerja saya yang beristerikan guru. Dan cerita kebanyakan mereka juga sama. Isteri mereka terpaksa berbelanja dengan wang saku sendiri untuk membeli kelengkapan Alat Bantu Mengajar. Bukanlah pihak sekolah tidak membekalkannya tetapi ianya hanya seperti melepaskan batuk di tangga.

Begitu juga dalam hal cuti hari Sabtu. Saya pernah terbaca di dalam akhbar bagaimana seorang pensyarah mempersoalkan tindakan guru meminta cuti hari Sabtu seperti kakitangan kerajaan yang lain. Si pensyarah ini mengatakan para guru sudah cukup beruntung kerana masa kerja yang singkat dan juga cuti sekolah yang panjang. Nampaknya si pensyarah ini lupa daratan. Mungkin dia diajar oleh pensyarah juga, bukan guru semasa bersekolah dahulu.

Tidak wujud keadaan guru berkerja hanya sekerat hari. Tidak, sekurang²nya di sekolah tempat isteri saya mengajar. Bukan setakat masuknya di awal pagi (jam 7.15 pagi), tamatnya pula di sebelah petang (paling awal jam 2 petang). Jika dikira para guru ini telah bekerja sekurang²nya 7 jam sehari. Ini tidak termasuk dengan hari Sabtu dan juga bebanan kerja yang terpaksa dibawa pulang ke rumah.

Jadi, di manakah asas yang mengatakan para guru ini sebenarnya lebih banyak berehat dari bekerja? Baiklah, mungkin boleh dikatakan isteri saya yang pulang lewat disebabkan administrasi tempatan, iaitu nafsu serakah guru besarnya yang menggilai kenaikan pangkat. Bagaimana pula dengan keadaan guru yang terpaksa ke outstation bagi menghantar anak muridnya yang menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah? Sudahlah belanja sendiri!

Mudah bicara, kita tunggu sahaja tindakan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Pelajaran kita nanti. Tetapi nasihat kita kepada guru, janganlah diletakkan terlalu tinggi pengharapan. Kerajaan kita memang prihatin. Dan kerajaan kita memang pandai membuat perancangan. Tetapi sebenarnya kerajaan kita cukup cukup cukup pandai memungkiri janji mereka. Jadi apa kata kita berdoa bersama² agar jika mereka mungkir lagi sekali ini, Allah berikan mereka balasan dengan ‘sebaik²’ balasan?

ISU 3: Da Vinci Code.
Dua, tiga hari ini benyakan akhbar kita sibuk membicarakan tentang filem terbaharu lakonan Tom Hanks yang diadaptasikan dari novel karya penulis Dan Brown yang berjudul Da Vinci Code yang baru sahaja memasuki pasaran pawagam kita. Apa sebenarnya yang menjadi kontroversi adalah kerana jalan cerita ini yang dikatakan cuba mengubah fakta tentang Jesus dan mengada²kan tohmahan kepada pihak gereja.

Sebenarnya file mini berkisar kepada lukisan The Last Supper oleh pelukis agung Da Vinci. The Last Supper menurut kebanyakan gospel adalah peristiwa penting di dalam agama Kristian di mana di dalam ‘majlis’ itu Jesus mengumumkan bahawa salah seorang ‘pengikutnya’ akan mengkhianatinya. Dan orang yang dimaksudkan adalah Judas. Kecuali di dalam Gospel of Judas, cerita ini dikisahkan dalam bentuk yang sama dalam setiap gospel.

Tetapi di dalam filem ini, Dan Brown telah mengubah fakta dengan mengatakan imej John di sebelah Jesus dalam lukisan The Last Supper adalah sebenarnya Mary Magadalene, isteri kerpada Jesus yang juga sebenarnya sedang mengandung. Pihak Gereja Roman dikatakan telah berusaha melindungi perkara ini dari pengetahuan ramai sehingga menyebabkan berlakunya beberapa pembunuhan.

Inilah yang menimbulkan kemarahan kepada penganut Roman Khatolik. Berkurun lama mereka mempercayai bahawa Jesus tidak beranak, kini dikatakan pula keturunan Jesus masih hidup. Ianya sesuatu yang memalukan. Tambah menghina apabila pihak gereja dikatakan menipu dengan melindungi perkara yang sebenar. Bagi saya, pembesar Kristian telah terjerat dalam lilitan sekularisme yang pernah mereka banggakan dahulu.

Dalam konteks kita sebagai penganut Islam pula, kita memang mempercayai bahawa Nabi Isa as (yang juga dikenali sebagai Jesus menurut penganut Kristian) tidak mempunyai keturunan. Kita juga mempercayai bahawa Isa as tidak mati disalib sebaliknya diangkat ke suatu tempat yang Allah lebih mengetahui dan akan turun nanti sebagai umat Nabi Muhammad saw bagi membantui Imam Mahadi menghapuskan dajjal.

Seorang ustaz pernah menceritakan kepada saya tentang satu riwayat, di kala Nabi Isa as telah turun, hanya Imam Mahadi yang mengenali beliau. Kemudian, ketika hendak bersolat berjemaah, Imam Mahadi telah meminta Nabi Isa as untuk menjadi imam tetapi beliau telah menolak dengan mengatakan bahawa ada orang telah ditakdirkan menjadi imam pada zamannya sebagai bukti beliau hanya seorang umat biasa, bukan seorang nabi.

Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimanakah filem sebegini, dan terdahulu novelnya, bias terlepas untuk pasaran? Bagaimana? Apakah sebenarnya yang terkandung di dalam pemikiran lembaga panel Penapisan Filem Nasional sehingga filem yang sesat lagi menyesatkan sebegini boleh terlepas untuk tayangan? Sungguh menyedihkan kerana ini bukan berkaitan dengan akidah penganut Kristian sahaja bahkan akidah muslim juga!

Saya belum menonton filem ini lagi. Jadi saya tidak tahu bagaimana hebatnya ia mampu mempengaruhi penonton. Tetapi menurut sebuah kajian, 60% (jika saya tidak salah) dari mereka yang membaca novelnya telah terpengaruh dan mempercayai fakta yang dikemukakan. Semoga pihak penapisan filem akan lebih berhati² lagi selepas ini.

ISU 4: Mensyukuri Nikmat Allah.
Susulan kisah saya menghadiri kursus di Wisma MTUC tempohari, saya sebenarnya sempat berkenalan dengan seorang perserta dari Puchong. Saya perserta ini beberapa kali pergi makan bersama dan ada di antara peserta lain yang mengusik kami dengan mangatakan kami adik beradik berikutan fizikal kami (terutama rambut) yang hampir serupa.

Apa yang menarik perhatian saya adalah pada suatu ketika, sewaktu kami membuat pesanan air untuk makan tengahari, teman saya tadi telah memesan air teh ‘0’ ais limau tanpa gula. Terkejut juga saya lalu saya tanyakan apakah dia sedang menguruskan badan. Dia hanya tersenyum dan mengatakan memang caranya sebegitu. Pada mulanya saya juga ingin mencuba tetapi saya batalkan niat kerana bimbang tidak mampu meminumnya nanti.

Sebaik tiba minuman yang dipesannya di atas meja, teman saya tadi segera mengeluarkan sekotak gula Equal yang saya rasakan khusus untuk mereka yang diabetes. Lalu saya bertanya apakah dia diabetes dan dia mengangguk sambil mengiyakannya. Menurutnya, diabetes yang dialaminya adalah peringkat kritikal dan dia terpaksa disuntik dengan insulin (yang kosnya melebihi RM500 sebulan).

Lalu saya bertanya untuk mengetahui dengan lebih lanjut kerana rasa saya, dia terlalu muda untuk mencapai tahap tersebut. Katanya lagi, apa yang berlaku adalah pankreasnya gagal berfungsi, bukan rosak sebagaimana penghidap diabetes yang lain. Pemeriksaan oleh doktor membuktikan bahawa pankreasnya sebenarnya sihat tetapi gagal merembeskan insulin. Dan ini dikesan semenjak dia bersekolah rendah lagi.

Saya menggeleng²kan kepala. Bukan kerana tidak percaya dengan kejadian yang Allah ciptakan tetapi menggeleng kerana kesal betapa saya tidak mensyukuri saya dilahirkan dalam keadaan yang sihat tanpa ada sebarang kerosakan pada organ badan yang penting. Apa yang lebih mengharukan hati saya, teman saya tidak pernah menyesali apa yang berlaku bahkan dia sebenarnya seorang yang menjaga solatnya.

Dalam perjalanan ke masjid al-Falah, kami teruskan perbualan kami berkenaan situasi yang di alaminya. Saya juga memperkenalkan kepadanya klinik homeopathy tempat saya pernah berubat dahulu jika dia berminat. Dan sempat juga saya katakan kepadanya betapa dia beruntung kerana setiap masa, pahala berterusan tertulis di ‘buku akaunnya’ selagi mana dia tidak mengeluh dan menyesali apa yang terjadi.

Sebenarnya saya kagum dengan orang² yang sebegini. Seperti juga seorang penulis blog, Pak Ngah yang pernah bercerita bahawa beliau adalah seorang OKU yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya. Bukanlah saya kagum kerana kesusahan yang mereka alami sebaliknya saya kagumi katabahan mereka menghadapi dugaan yang Allah turunkan kepada mereka. Bukan setakat tidak menyesal bahkan pegangan iman mereka juga begitu kental.

Jika dibandingkan dengan kebanyakan kita, ambil diri saya sendiri sebagai contoh, yang Allah ciptakan sempurna sifat dan sihat tubuh badan, sering saja menyesal apabila ditimpa kesusahan. Padahal kesemua kesusahan yang Allah berikan tidak sampai pun 10% malah mungkin kurang dari 1% berbanding kesusahan yang mereka alami. Semoga Allah memberikan mereka sebaik² balasan atas sifat sabar yang mereka miliki.

Kita sebagai muslim WAJIB mempercayai hari akhirat. Kerana di akhirat nantilah Allah akan membalas segala apa yang telah kita usahakan ketika di dunia ini. Dan mereka ini memilih untuk menghargai ribuan nikmat Allah yang lain daripada menyesali kesusahan yang mereka miliki kerana, saya percaya, disebabkan iman mereka kepada Allah dan hari akhirat. Semoga Allah menjadikan saya setabah mereka.

ISU 5: Alhamdulillah…
Minggu lepas, sehari selepas pulang dari pelantar, isteri saya telah mengkhabarkan barita yang saya kira cukup menggembirakan. Nampaknya Naqibah terpaksa berkongsi kasih sayang kami dengan adiknya yang bakal lahir nanti, insyaAllah. Alhamdulillah, Allah telah mengkurniakan kami apa yang kami ingin dan mengqabulkan doa kami.

Apa lagi yang boleh diperkatakan selain dari memanjatkan syukur kepada Allah. Naqibah sekarang sudah berusia setahun empat bulan dan sementara kelahiran adiknya kelak, insyaAllah, dia sudah berusia 2 tahun. Harap² di ketika itu Naqibah sudah boleh diharapkan untuk membantu ibunya menjaga adik yang masih kecil. Dan harap², Naqibah tidak mencemburui kehadiran adiknya di antara kami.

Tetapi, semenjak isteri saya hamil, keadaan Naqibah sedikit sebanyak berubah. Dia sudah mula kurang menyusu. Dan yang paling ketara, dia kini menjadi begitu manja dengan kami. Seolah² dia sudah sedia tahu bahawa tumpuan kami tidak lagi akan ditumpahkan kepadanya seorang tetapi terpaksa ula dikongsi sama rata. Begitulah kuasa Allah. Jika Allah menghendaki Naqibah mengetahuinya, pasti puteri saya itu akan mengetahuinya.

Seronok mendapat anak ini memang tidak boleh diluahkan dengan kata². Tetapi sebenarnya anak adalah amanah dari Allah buat kita. Sebagai pemegang amanah, bagaimanakah agaknya bentuk amanah yang kita jaga nanti ketika kita menyerahkannya semula kepada Yang Punyai Hak? Persoalan inilah yang serba sedikit mengganggu kegembiraan saya menyambut berita yang telah isteri saya sampaikan itu.

Dunia hari ini sentiasa dipenuhi dengan maksiat dan kerusakan. Sembunyi ke mana sekalipun maksiat tetap juga berleluasa. Kadangkala saya teringat dengan keadaan saya ketika mengharungi usia remaja. Apakah anak saya akan menjadi seperti saya nanti? Wana’uzubillah. Tetapi kata orang, jika kita jahat, tentu sahaja anak kita akan berbuat sebagaimana yang telah kita buat.

Tetapi tatkala terlintas perkara sebegini di fikiran saya, segera saya akan teringat kata² seorang teman saya. Katanya, “Allah tidak zalim. Jika kita sudah bertaubat, Allah tidak akan membalas kejahatan kita dengan membiarkan anak kita mengulanginya. Dengan syarat taubat kita adalah nasuha dan kaedah kita mendidik anak kita perlulah betul berlandaskan apa yang telah Nabi saw ajarkan.

Ya. Bertaubat. Saya sudah bertaubat tetapi saya tidak pasti sekuat mana taubat saya. Kata orang, anjing jika sudah biasa memakan bangkai, satu hari jika tidak memakannya, menciumnya juga sudah memadai. Tetapi saya bukan anjing. Dan saya perlu buktikan saya bukan anjing sebaliknya manusia yang diberikan aqal dan dikurniakan iman untuk mengekang nafsu.

Saya amat bersyukur dengan kahadiran janin di dalam rahim isteri saya itu. Dan saya amat² berharap agar saya mampu menjadikan peristiwa ini sebagai titik tolak untuk menjadi seorang yang lebih dan lebih berguna. Setiap anak adalah rezeki. Bukan setakat rezeki zahir yang berbentuk wang dan harta. Jika kelahiran seorang anak itu mampu mengubah peribadi seseorang itu kepada yang lebih sempurna, bukan itu juga bererti anak itu hadir bersama rezeki? InsyaAllah…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.