14 May 2006

Kontroversi - Satu Penjelasan Dari Abu Naqibah


Pertama sekali, saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kerana lama menyepi dari blog ini. Seperti biasa, pulang dari laut pasti ada banyak perkara yang ingin saya lakukan. Maka disebabkan hambatan kerja² dunia, saya tidak berkesempatan untuk menulis di blog ini. Bagaimanapun, terima kasih atas kunjungan anda dan juga komen² yang telah diberikan terhadap penulisan saya.

Jutaan maaf juga saya pohon buat mereka yang tersinggung dengan artikel saya berjudul ‘Artis Kita…’ dan lanjutannya. Terus terang, ketika saya menulis artikel ‘Lanjutan Artis Kita…’, saya masih berada di lautan dan tidak dapat membaca sekaligus memahami keadaan sebenar yang berlaku di blog ini. Hanya setelah pulang barulah saya mengerti apa masalah sebenarnya.

Bagi saya, apa yang berlaku hanyalah akibat dari salah faham. Maka itu perlu bagi saya untuk memberikan penjelasan. Bukan untuk mengeruhkan keadaan yang nampaknya telah mulai pulih, tetapi sekadar mengelakkan salah faham yang tidak sepatutnya wujud ini berterusan. Tetapi bagaimanapun, wujud juga tanda tanya saya bagaimana tulisan saya ini boleh sampai ke pandangan bukan muslim.

Sebenarnya apa yang saya tulis adalah semata² saya tujukan buat sesama muslim. Dan tujuan penulisan saya bukanlah untuk menunjuk pandai sebaliknya hanya mengingatkan. Mengingatkan rakan sesama muslim dan yang paling penting, mengingatkan diri sendiri. Maka kerana itulah ayat “Hina sangat rasanya.” bukan sengaja saya tulis bagi membangkitkan sentimen perkauman atau keagamaan.

Sebenarnya perkataan itu saya tujukan untuk muslim. Untuk orang Islam yang meninggalkan agama Islam. Kerana kami muslim amat yakin dengan kemuliaan agama kami. Jika seseorang muslim meninggalkan kemuliaan agama kami, bukankah itu satu perbuatan yang hina? Di sinilah letaknya maksud perkataan saya. Kehinaan itu untuk mereka yang meninggalkan Islam.

Sekarang, bagi penganut agama lain, apakah yang anda anggap kepada mereka yang meninggalkan agama anda? Adakah anda anggap sebagai perbuatan yang terpuji? Begitulah maksud saya. Bukan saya mengatakan memeluk Hindu itu sebagai hina tetapi perbuatan seorang muslim yang ‘berpaling setelah diberikan hidayah’ itu sebagai perbuatan yang keji dan menghina diri sendiri.

Saya sehingga setakat ini, saya harap semua orang boleh memahami keadaan sebenar. Jadi sekali lagi saya memohon maaf jika perkataan saya sebelum ini menyebabkan salah faham di kalangan anda. Dan, dengan baik saya memohon kepada yang bukan muslim untuk tidak meneruskan membaca apa yang bakal saya tulis sebentar lagi. Jika anda teruskan, saya berlepas diri dari sebarang kekeliruan dan sakit hati yang mungkin wujud.

Untuk Muslim Sahaja.
Sesungguhnya saya amat kecewa bila ada segelintir yang menyokong tindakan orang muslim berbusana ala Hollywood atau Bollywood. Malah ada yang tanpa segan menyatakan ianya sekadar fesyen dan tidak menjadi kesalahan. Sebenarnya, saya tidak tahu sama yang mengomentar itu muslim atau tidak tetapi jika ianya datang dari seorang muslim, ia benar² memalukan.

Sebagai muslim, kita percaya bahawa perintah Allah adalah di atas segala²nya. Begitu juga dengan kehidupan seharian. Kita telah diberikan garis panduan dan telah ditentukan apa yang boleh dan tidak dalam menjalani hidup. Ini adalah sebahagian dari konsep Rukun Iman yang terletak atas 6 perkara. Selain itu, kita juga terikat kepada ungkapan kalimah ‘Laailaha Ilallah’ yang bererti kesediaan untuk menurut segala perintahnya.

Dan salah satu perintah yang telah Allah turunkan adalah untuk menutup aurat. Dan aurat seorang wanita muslim itu sekurang²nya adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangannya. Sebagai muslim yang telah berjanji bahawa ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’, maka adalah menjadi kewajipan terhadap kita untuk menuruti segala arahan yang telah ditetapkanNya.

Dan kata Nabi saw pula, salah satu dari sifat orang yang munafiq adalah apabila dia berjanji, dia akan mungkiri. Bolehkan kita bersetuju ungkapan ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ bererti kita telah berjanji untuk menuruti segala arahan yang diberikanNya sesuai dengan kepercayaan kita yang meletakkan Allah sebagai hanya Tuhan yang layak disembah.

Jadi, jika terjadi seseorang yang tidak besolat, bersetujukah jika kita katakan dia sebenarnya telah memungkiri janjinya kepada Allah? Begitu juga dengan orang yang membuka aurahnya? Bukan itu juga bererti dia mengingkari perintah Allah? Bukankah itu ertinya dia mengkhianati janjinya untuk menjadikan Allah sebagai Tuhan yang tidak ada sekutu bagiNya?

Jadi, apakah boleh dikatakan perbuatan membuka aurahnya itu sebagai perbuatan yang tidak apa? Apakah benar Allah boleh berlebih kurang di akhirat kelak apabila kita katakan bahawa aurah yang dibuka semata² kerana fesyen? SubhanAllah. Tidak begitu. Perintah Allah adalah tetap. Apa yang telah termaktub di dalam al-Quran adalah tetap dan tidak berubah². Fesyen bukanlah alasan untuk menderhakaiNya.

Perintah tentang penutupan aurah wanita ini terkandung dalam al-Quran surah an-Nuur ayat 31. Semaklah al-Quran. Ini bukan perkara yang diada²kan seperti dakwaan sesetengah pemimpin oleh para ulama. Inikan perkara yang telah sedia termaktub? Mengapa hendak dipersoalkan lagi? Bukankah menjadi tanggung jawab kita sebagai hamba untuk menuruti apa² sahaja yang diperintahkanNya?

Begitu juga dengan kedudukan orang kafir di dalam masyarakat kita? Allah mengiktiraf hak mereka dengan memberikan mereka hak untuk hidup di negara yang ditadbir secara Islam dengan hak yang sama rata. Bermakna nyawa dan harta mereka adalah di bawah jaminan pemimpin. Tetapi jaminan ini hanya kepada mereka yang zimmi iaitu yang setia.

Sungguhpun kewujudan mereka di dalam negara Islam diiktiraf, namun ini tidak menghalalkan kita untuk memuliakan mereka. Saya tidak mahu mengomentar perkara ini dengan terlalu panjang lebar. Hanya renungkan ayat ini yang saya petik dari al-Quran.

Firman Allah;
Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. (Quran Surah al-Baiyinah 98:6).

Waalhu’alam…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.