29 May 2006

Oh! Kad Kredit


Baru petang tadi saya berbual² dengan seorang pekerja kontrak. Beliau ini
melakukan kerja² yang sama seperti saya hanya beliau digaji secara kontrak.
Umurnya masih muda iaitu lingkungan 22 ke 23 tahun. Topik perbualan kami
ialah tentang gajinya kerana bulan ini beliau akan menerima gaji keduanya
di syarikat ini yang dijangka agar 'kasar' apabila dicampurkan dengan upah
kerja lebih masa.

Entah bagaimana, terpacul soalan dari bibirnya berkenaan kad kredit. Saya
memandang tepat ke mukanya. Sebelum ini, ada beberapa pelatih yang bertanya
soalan yang sama kepada saya. Hm... Anak² muda. Baru beroleh sedikit
mulalah berfikir yang macam². Yalah... Bagi yang tidak biasa, tentu sahaja
penggunaan kad kredit ini boleh dikaitkan dengan gaya.

Namun pengalaman saya, kad kreditlah yang telah berjaya menjadikan saya
'pada kedana' suatu ketika dahulu sebelum saya menyertai syarikat saya
bekerja sekarang ini. Hendak dikatakan gaji saya dahulu kecil, tidak juga.
Tetapi disebabkan dengan adanya kad kredit di sisi, saya merasakan bagaikan
segalanya tidak mustahil untuk dimiliki. Apa sahaja yang terlintas di
hadapan mata!

Lain orang lain pendapat. Mungkin sesetengah orang kata, kad kredit adalah
'penyelamat' mereka di kala kesempitan. Ada juga yang berkata, jika kita
pandai mengawal perbelanjaan kita, insyaAllah tidak ada masalah menggunakan
kad kredit ini. Betullah tu. Saya juga kata begitu dahulu. Memang jika kita
pandai mengawal perbelanjaan, kad kredit bukan satu bencana sebaliknya satu
'rahmat'.

Akan tetapi, bolehkah kita mengawal nafsu kita? Apabila kita melihat
sesuatu yang menarik, hati akan mula membisik untuk kita milikinya. Maka
nafsu akan mencarikan jalan dan akal pula akan menimbangkan jalan yang
diberikan oleh nafsu itu boleh dipakai atau tidak. Jika akal yang dipandu
oleh iman, tiada masalah. Setiap masa kita akan berfikir "Oh! Tak boleh ni.
Riba...", sebagai contoh.

Kalau begitu, Alhamdulillah. Tetapi yang selalu terjadi, iman diletakkan di
dalam peti besi yang dipateri di luarnya agar bukan sahaja tidak boleh
dilihat, malah tidak boleh didengar kewujudannya. Apa yang akan dibisikkan
oleh akal yang dipandu oleh nafsu ialah; "Boleh saja. Pakai saja kad tu.
Nanti bulan² kau bayarlah." atau paling tidak pun, "Kalau tak hutang, macam
mana nak berharta?"

Memang, mungkin kita boleh berkata, ah, gaji nanti aku akan bereskan
segalanya. Tetapi, bila tiba waktu gaji, melihatkan angka yang besar di
dalam akaun, kebanyakan masa kita tidak akan tergamak untuk menyerahkan
segalanya kepada syarikat penyedia kredit. Itulah masalahnya. Akhirnya kita
hanya bayar minimum payment. Bakinya, ah... gaji bulan depan aku
bayarlah...

Hutang kad kredit saya hampir mencecah RM20 ribu suatu masa dahulu. Saya
benar² tersepit. Duit gaji saya hanya dihabiskan di kaunter² bank bagi
menjelaskan bil. Hinggakan ketika hendak berkahwin, hendak beli katil pun
saya tidak mampu. Terpaksa pula meratu kepada 'Tok Mamot' untuk beli secara
ansuran. Hidup saya sentiasa dikelilingi oleh riba.

Akhirnya, saya membuat pinjaman peribadi dengan Bank Islam Malaysia Berhad
(BIMB). Dengan wang tersebut saya lunaskan hutang² saya termasuklah dengan
Tok Mamot tadi. Alhamdulillah... Pinjaman dengan BIMB ini berdasarkan jual
beli matawang. Jadi sekurang²nya saya bebas dari riba. Dan yang penting
pinjaman ini di insuranskan atau ditakafulkan.

Sekiranya saya mati sebelum sempat melunaskan hutang, isteri saya tidak
akan terbeban. Pihak insurans akan mebereskan segala²nya, insyaAllah.
Harimau mati meninggalkan belang, disebabkan saya tidak ada belang, saya
tidak mahu pula mati meninggalkan hutang. Kini, walaupun secara hakikatnya
masih berhutang, ada ketenangan jiwa di dalam hati saya. Alhamdulillah...

Kini saya percaya dengan 'kuasa tunai'. Jika berbelanja atau apa sekalipun,
saya lebih seronok menggunakan wang tunai. Teringat ketika saya ke Pulau
Pinang sekitar pertengahan tahun lepas. Duit minyak kereta, tol, makan
bahkan bil hotel pun saya gunakan wang tunai. Memanglah baki di dalam poket
hanya tinggal sedikit untuk berbelanja tetapi saya berasa puas.

Berbanding jika menggunakan kad kredit, saya akan miliki lebih tunai di
dalam poket. Tetapi, apakah saya akan gunakan tunai yang di dalam poket
saya itu untuk menjelaskan hutang kad kredit saya nanti? Tidak. Sebaliknya
saya akan gunakannya untuk berbelanja sesuka hati pula. Macam orang kaya.
Seperti lirik lagu Ka-Ching yang berbunyi (lebih kurang) "spend the money
you don't posses".

Sekarang ini saya masih mempunyai kad kredit. Masih lagi. Cuma tidaklah
lagi berhutang seperti dahulu. Saya berjanji kepada diri sendiri bahawa
kad² itu hanyalah untuk kecemasan sahaja. Tetapi nafsu saya sering juga
memberontak. Paling sukar apabila melihat barangan ICT. Kadang² sudah tahu
diri tidak mampu tetapi tetap juga mahu membelinya. Cara terbaik ialah
dengan tidak melihat barang² tersebut.

Kerana itu saya sering terkenangkan tindakan mantan Timbalan Perdana
Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim yang memperketatkan syarat untuk memiliki
kad kredit. Inilah tindakan yang bijak sebenarnya. Sayangnya tidak lama
selepas beliau dipecat secara zalim, mantan Perdana Menteri telah
mempermudahkan semula syarat² ini sehingga akhirnya ramai orang muda di
kalangan kita yang diisytiharkan muflis.

Begitulah dunia kapitalis. Untuk mengkayakan seseorang, beberapa orang
mesti disusahkan. Sayangnya dengan jarum halus seperti kad kredit ini,
mangsa² tidak pula mengelak untuk dikenakan, bahkan turut pula merasakan
keseronokannya. Hm... Susah benar menjadi manusia akhir zaman ini. Celik
mata sahaja duit. Bil itu, bil ini hingga akhirnya, duit pula menjadi tuhan
kerana nawaitu kita sentiasa kerananya...

Setelah bercerita dengan panjang lebar, saya tanyakan semula kepada teman
saya tadi dari bank mana dia berminat untuk memohon kad kreditnya. Dia
menggelengkan kepada sambil berkata "Tak jadilah. Dah dengar cerita
begini." Saya hanya tersenyum. Hanya katanya, beberapa temannya yang
melihat jika stesen minyak dijaga oleh gadis² jelita, teman²nya akan dengan
bangganya menggunakan kad kredit mereka. Saya tersenyum sambil berkata
"Memang orang pakai kad kredit ni nampak bergaya. Macam orang kaya. Tapi
sebenarnya kaya hutang!" diikuti oleh gelak ketawa semua yang berada di
situ...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.