07 April 2006

Warkah Buat Isteriku


Ayang…,

Hari ni 7hb kan? Selamat Hari Lahir sayang. Erm… Dah bertambah umur Ayang
kalau ikut perkiraan kalendar Masihi. Dah tua tau! :) Agaknya macam mana
perasaan Ayang hari ni? Tentu gembira kan? Tapi Abang tak ada bersama
Ayang. Abang jauh di tengah lautan mencari rezeki. Jauh macamana pun, Abang
tetap ingat hari lahir Ayang…

Ayang…,

Ayang masih ingat tak hari ini sepuluh tahun dulu? Masa tu mungkin Ayang
masih sekolah lagi. Ingat tak? Agaknya, masa tu Ayang pernah tak terfikir
akan lalui apa yang Ayang lalui hari ni? Tentu tidak, kan? Sepuluh tahun
dulu, Ayang pun tak pernah terfikir kewujudan Abang. Apatah lagi nak
membayangkan akan menjadi suri hidup Abang. Betul tak?

Tapi hari ni semua yang berlaku bukanlah perancangan kita. Semuanya
perancangan dariNya. Dan Abang cukup² bersyukur dan berbangga kerana Dia
telah memilih Abang sebagai sebahagian dari perancanganNya untuk hidup
Ayang. Hari ini, Abanglah antara manusia yang paling bahagia dalam dunia
ini kerana berpeluang menjadi orang penting dalam hidup Ayang.

Tapi itu semalam dan hari ini. Macamana dengan sepuluh tahun akan datang?
Sama macam sepuluh tahun dulu, hari ini kita tidak dapat membayangkan yang
bakal berlaku untuk sepuluh tahun lagi. Jika diizinkanNya, sepuluh tahun
lagi kita tetap akan bersama. Ayang takut tak nak menhadapi hari mendatang?
Terkadang Abang pun takut. Tapi… Kita mesti berserah & percaya kepadaNya.

Ayang…,

Peningkatan umur bererti kita juga semakin dewasa. Corak pemikiran kita
hari ini tak sama seperti corak pemikiran kita sepuluh tahun dulu. Namun,
walaupun kita telah dewasa sebagai manusia, kita masih lagi mentah di dalam
menempuhi cabaran hidup sebagai suami isteri. Usia perkahwinan kita masih
terlalu muda. Masih banyak yang perlu kita pelajari dan fahami.

Namun, walaupun masih muda, kita telahpun diuji dengan berbagai dugaan dan
cabaran. Dan Alhamdulillah, dalam setiap cabaran itu, kita masih bersama.
Kita telah diduga dengan kesusahan dan kita telah berjaya mengatasinya
dengan izin dari Tuhan. Dan sampai masanya nanti, mungkin kita akan diduga
pula dengan kesenangan. Ayang dah bersediakah untuk itu?

Memang adat hamba itu lemah. Dan memang adat manusia itu mudah lupa. Maka
Abang harap Ayang akan segera mengingatkan Abang di kala Abang lupa jika
nanti kita diuji dengan kesenangan. Syaitan tak akan senang dengan
kebahagiaan kita, sayang. Dia pasti akan berusaha untuk memecah belahkan
antara kita. Oleh itu perlu kita saling ingat mengingati

Ayang…,

Ayang ingat tak masa Abang kata akal lelaki ada sembilan? Itu maknanya
lelaki itu tidak sempurna akalnya. Masih kekurangan satu lagi. Begitu juga
Abang. Tetapi Abang bersyukur bahawa akal Abang yang hilang itu sebenarnya
ada pada Ayang. Ayang telah melengkapkan diri Abang. Itukan fungsi sepasang
suami isteri, untuk saling melengkapi dan saling menyempurnakan.

Ayang mungkin bukan isteri yang terbaik. Mungkin Ayang tak sehebat
Saidatina Fatimah az-Zahra. Tapi Ayang adalah isteri yang terbaik buat
Abang. Jodoh kita ni ditentukan olehNya. Apakah Allah akan merosakkan kita
dengan ketentuan yang tidak baik? Oleh itu Abang yakin, Ayanglah yang
terbaik untuk Abang. Tapi kalau ada yang tidak baik, itu cumalah kesilapan
kita sendiri.

Apa yang Abang sebagai suami inginkan dari seorang isteri hanyalah sifat
sabar dan taat. Inilah ilmu pengasih yang paling mujarab sekali. Dan
Alhamdulillah, kedua² sifat ini Abang temukan dalam diri Ayang. Abang bukan
suami yang terbaik. Tetapi Abang janji pada diri Abang sendiri untuk
berusaha menjadi suami yang terbaik buat Ayang. Tapi Ayang mesti bantu
Abang untuk mencapainya.

Ayang…,

Perjalanan hidup kita insyaAllah masih panjang. Masih banyak yang akan
berlaku. Janganlah kita harapkan segalanya akan indah sentiasa. Tapi kita
mesti tabah menghadapi semua yang bakal kita lalui. Allah tak menduga kita
supaya kita jauh daripadaNya. Tidak. Sebaliknya Allah menduga kita supaya
kita akan lebih dekat kepadaNya dan akan lebih mengingatiNya.

Kita tak boleh cepat putus asa. Kita ada anak. Kita akan menjadi contoh
untuk anak² kita. Kita mesti jadikan diri kita yang terbaik untuk anak²
kita contohi nanti. Kita mesti menjadi pakar motivasi untuk anak² kita
sendiri nanti. Jadi kita mesti kuat. Semangat, jiwa… Segala²nya. Semoga
dengan meningkatnya umur kita, semakin tabah dan cekallah kita hendaknya.

Ayang…,

Abang tak hendak menjadi suami Ayang untuk hari ini sahaja. Bukan juga
cukup sampai esok. Bukan juga setakat salah seorang dari kita pergi
menyambut panggilanNya nanti. Tetapi Abang mahu menjadi lelaki yang akan
Ayang cari, yang akan Ayang beratur di belakangnya ketika kita dibangkitkan
di hari pembalasan nanti. Abang mahu Ayang yang menyambut Abang ketika
Abang melangkah masuk ke syurga nanti. Akan tercapaikah impian Abang nanti?
InsyaAllah…

Abang tahu apa yang Abang coretkan hari ini bukan yang pertama kali Abang
sebutkan buat Ayang. Tapi Abang tetap akan sebutkan lagi dan lagi. Bukan
semata² untuk mengingatkan Ayang tapi juga untuk mengingatkan diri sendiri…

Sekali lagi, selamat hari lahir wahai isteriku yang tercinta. Semalam yang
berlalu biarkanlah terus menjadi sejarah. Hari ini yang sedang dilalui
marilah kita hadapi dengan tabah. Esok yang menanti semoga menyinarkan
cahaya yang lebih cerah. Semoga Allah merahmati Ayang kerana redha Abang
sentiasa bersamamu…..

1 comment:

Anonymous said...

alhamdulillah mendapat seorang suami yg berfikiran spt ini... semoga jodoh kalian dipanjangkan dan diberkati keluarga kalian... doakan juga saya sekeluarga hidup bahagia...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.