14 April 2006

Ketika Hujan Turun


Hujan begitu lebat ketika saya melangkah keluar dari masjid selepas menunaikan solat Jumaat tadi. Terdapat beberapa jemaah sedang berbual² di perkarangan masjid sambil menunggu ujan teduh. Manakala beberapa jemaah ain, yang mungkin dihambat oleh masa untuk kembali bekerja, terpaksa meneruskan perjalanan, merempuh hujan untuk sampai ke tempat kerja dalam waktu yang ditetapkan.

Saya juga terpaksa merempuh hujan. Bukan kerana perlu kembali ke tempat kerja kerana saya sedang bercuti. Tetapi kerana janji untuk bertemu dengan teman saya. “Hm…” saya mendengus sendirian. Sepatutnya hujan² sebegini boleh dijadikan alasan kuat untuk saya duduk lebih lama di masjid. Supaya dapat saya melakukan sedikit ibadah memandangkan saya sudah semakin jauh dari Ilahi rasanya.

Tetapi apakan daya. Janji mesti ditunaikan. Kata Nabi Muhammad saw, salah satu sifat orang munafiq adalah orang yang memungkiri janji yang dituturkannya. Lalu, suka atau tidak, hujan saya tidak mahu jadikan alasan untuk membolehkan diri saya digelar sebagai munafiq. “Bismillahi tawakkaltu ‘alallah…” lalu terus saya masuk ke dalam titisan hujan yang turun membasahi bumi.

Dalam perjalanan, saya teringat kepada pesan ibu semasa masih kecil. Kata ibu, jangan main hujan, nanti demam. Dari kecil hingga besar kita biasa mendengar kata² seperti itu. Benarlah kerana memang terdapat banyak kes orang yang terkena hujan akhirnya jatuh demam. Setidak²nya, demam selsema. Maksud saya, selsema biasa. Bukan selsema burung…

Menurut guru sains saya pula, hujan di kampung dan di kawasan bandar memang berbeza. Kawan bandar penuh dengan pencemaran. Karbon monoksida (CO) yang dibebaskan oleh asap kenderaan dan asap kilang akan bertukar menjadi asid nitrik (H2CO3) yang kemudiannya menyebabkan demam. Betul atau tidak, saya tidak berminat untuk pastikan.

Jika begitu, terbuktilah hujan ini, terutama di kawasan bandar, cukup hebat. Cukup berkuasa kerana mampu mendatangkan penyakit kepada manusia. Bermakna, hujan mempunyai keupayaan sama seperti keupayaan Tuhan. Kerana bukankah segala penyakit itu hanya datangnya dari Allah? Jadi bagaimanakah agaknya dengan kepercayaan kita bahawa hujanlah yang menyebabkan penyakit demam?

Sebenarnya, hujan juga adalah makhluk. Dan tidak akan menitik walau setitis air hujan pun jika tidak dengan izin Allah. Maka ternyatalah anggapan bahawa hujan mendatangkan penyakit itu salah. Tidak. Hujan tidak mampu mendatangkan penyakit kepada manusia. Biarlah hujan itu mengandungi asid nitrik mahupun asid sulfurik sekalipun. Yang mendatangkan penyakit hanyalah atas izin Allah.

Hujan hanyalah sebagai asbab atau sebab untuk Alah menurunkan sesuatu penyakit itu kepada kita. Seperti penyakit AIDS. Apakah kita pasti bahawa AIDS ini asalnya daripada seks luar tabii atau perkongsian jarum? Bahkan sebenarnya AIDS adalah bala yang Allah turunkan akibat perbuatan kita yang mengenepikan perintahNya dan ajaran yang dibawa oleh rasulNya. Itu sebenarnya.

Maka untuk mengekang ’kemaraan’ penyakit AIDS bukanlah dengan mengedarkan jarum suntikan dan kondom percuma. Lebih baik jika kita ‘edarkan iman’ secara percuma. Alangkah baik jika peruntukan untuk membeli jarum dan kondom serta dadah gantian itu digunakan untuk membangunkan lebih banyak sekolah agama dan untuk membayar lebih ramai guru agama. Bukan?

Tetapi ini sebenarnya masalah aqidah. Aqidah kita, umat akhir zaman bukan seperti aqidah mereka yang hidup di zaman Rasulullah saw. Bukan seperti sahabat Baginda dan bukan juga seperti kafir Quraisy. Kita hidup di perantaraan mereka. Kerana kita mengaku beriman seperti para sahabat r.anhuma tetapi dalam masa yang sama tetap mensyirikkan Allah.

Dalam hal mensyirikkan Allah ini pula, ramai mempunyai sifat yang unik. Kerana ada segelintir manusia yang bersifat kafir di siang hari manakala Islam pula di malamnya. Manakan tidak, di malam hari sibuk beribadah. Bersolat Maghrib dam Isyak berjemaah, membaca Quran terutamanya surah YaaSin, dan berbagai² lagi ibadah yang begitu hebat.

Tetapi di siang harinya sibuk pula dengan hal² keduniaan. Dek kerana sibuk melakukan kerja, zuhur ditunaikan jam 4 petang. Asarnya pula jam 6, setelah pejabat hampir tutup. Lebih hebat, kita beriktikad di dalam hati bahawa kerja mesti disiapkan jika tidak kita mungkin kehilangan kerja atau ketua akan memarahi kita. Sedangkan kita lupa bahawa ketua kita juga adalah makhluk.

Ketua kitakah yang menyuapkan nasi ke dalam mulut kita? Tidak. Bahkan Allah lah yang memberi rezeki. Duit ketua kitakah yang membayar gaji kita? Tidak! Bahkan Allah lah yang memberikan rezeki. Dan apakah dengan izin ketua barulah kita boleh dinaikkan pangkat? Tidak! Bahkan Allah lah yang memberikan rezeki. Lebih dari itu, tidak ada apa yang boleh berlaku tanpa izin Allah.

Seperti seorang suami yang sedang menunggu kelahiran anaknya. Dia boleh menangguhkan solatnya dan menemani isterinya. Tetapi apakah dia yang mampu menyelamatkan isterinya? Tidak! Bahkan Allah telah memerintahkan kita supaya memohon pertolongan dengan sabar dan solat. Bukan? Jadi, dengan hadirnya doktor dan jururawat atau tidak, keselamatan isterinya Allah yang menentukan.

Ini mungkin hal yang dilihat kecil tetapi ianya adalah sesuatu yang cukup besar sebenarnya. Perihal aqidah. Mampukah kita meletakkan aqidah ini sebagai perkara yang sisi sahaja? Wana’uzubillahi minzalik. Semoga Allah melindungi kita daripa kekufuran yang tidak kita lihat sebagai kekufuran ini. Semoga Allah menjadikan kita tergolong dalam golongan orang² yang menyerah diri…

Hanifa muslima wama anaminal musyrikin. Jadilah kami cenderung kepada orang² yang berserah diri dan janganlah jadikan kami orang² yang menyekutukan Allah.Dan Alhamdulillah, saya masih sihat selepas merempuh hujan tadi. Tidak demam walaupun sekadar selsema. Semua ini, bukanlah kerana antibodi saya kuat tetapi kerana Allah telah mengizinkan saya sihat hari ini. Segala puji hanya bagi Allah….

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.