10 April 2006

Mawlid


Selasa ini, 12 Rabi’ul Awwal bersamaan 11 April, insyaAllah kita akan
menyambut hari ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad saw, penutup segala nabi
yang hadir dengan membawa 1001 rahmat. Seperti kebiasaan, hari keputeraan
Baginda, yang juga lebih kita kenali sebagai mawlid, akan disambut dengan
meriah. Maka akan penuhlah papan hitam di suaru dan masjid dengan senarai
ceramah mawlid.

Saya tidaklah menyokong apatah lagi membantah sambutan ini. Juga, saya
tidak mahu termasuk dalam kelompok yang membicarakan tentang boleh atau
tidaknya sambutan seperti ini diadakan. Cuma pada prinsip saya, menyambut
mawlid memang baik tetapi jika keterlaluan sehingga mengakibatkan
pembaziran, maka akan menjadi kesalahan juga akhirnya. Matlamat tidak
mungkin menghalalkan cara.

Lalu saya teringat di zaman kanak² dahulu. Kami di Johor Bahru biasa
menyambut mawlid dengan mengadakan perarakan sambil melaungkan selawat ke
atas Baginda saw. Ini salah satu acara yang sangat saya nantikan dahulu.
Memang meriah dan memang seronok. Kata orang tua², perarakan itu adalah
sempena mengingati peristiwa hijrah Nabi saw. Lalu saya jadi tertanya
mengapa tidak dibuat ketika Maal Hijrah?

Kemudian, kata mereka lagi, apabila Sultan Iskandar menaiki takhta, beliau
telah mengharamkan upacara tersebut dengan alasan majlis itu memberikan
kesempatan untuk pasangan bercinta berdua²an dan berkepit memadu asmara.
Sama ada betul atau tidak cerita ini, wallahu’alam. Lagipun, bukan itu yang
ingin saya kisahkan. Bukan tentang cara menyambut mawlid itu sendiri.

Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah, mawlid ini dikatakan sebagai
meraikan Nabi saw. Tentulah, kerana Baginda bukanlah calangan personaliti.
Jadi, meraikan sebegini dikatakan akan memuliakan Baginda. Persoalannya,
setelah kita membuatkan Baginda saw kelihatan benar² dimuliakan, apakah
benar kita sebenarnya memuliakan Baginda dalam ertikata sebenar?

Sebagai contoh, sultan adalah salah seorang manusia yang dimuliakan di
Tanah Melayu ini. Maka kerana itu sambutan hari kelahiran mereka juga
disambut dengan besar²an. Mulianya sultan ini hinggakan terdapat perkataan
yang dikhususkan hanya untuk kegunaan mereka sahaja seperti beta, santap
dan sebagainya. Puncak segalanya ialah apabila segala titah sultan
‘diletakkan di atas batu jemala patik’.

Tetapi cuba kita lihat dengan Nabi saw. Apakah benar perintah Baginda saw
kita letakkan di atas ‘batu jemala’ kita, atau ‘sekadar di pinggiran’
sahaja? Apabila Baginda saw perintah agar solat di awal waktu, kita katakan
kerja yang diamanahkan lebih penting. Dan apabila Baginda saw katakan
‘seburuk² perbelanjaan adalah untuk bangunan’, kita bina pula masjid
kristal. Taatkah begitu?

Bagaimanakah dapat kita kaitkan kemuliaan dengan mengingkari perintah orang
yang kononnya kita muliakan? Apakah, seorang anak yang menderhaka kepada
bapanya boleh kita sifatkan sebagai anak yang menghormati dan memuliakan
bapanya? Jika kita seorang yang beriman, tentu kita katakan tidak. Lalu,
apakah mawlid ini boleh menjadikan kita orang yang memuliakan Baginda
padahal kita mengingkarinya?

Semua orang ingat kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Beliau dikatakan memiliki pemikiran yang kritis dan ada juga yang
menganggapnya sebagai genius. Sememangnya beliau dihormati di seluruh
negara malah hingga ke peringkat antarabangsa sehinggalah ditubuhkan sebuah
institut untuk mengkaji pemikiran Dr. Mahathir.

Begitu juga dengan perdana menteri kita sekarang. Beliau juga dihormati dan
dimuliakan. Sehingga beberapa ayat yang beliau sebut seperti "Bekerja
dengan saya bukan untuk saya" dan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" menjadi
ikutan dan sering disiarkan di media² perdana. Semua ini membuktikan betapa
mereka 'dimuliakan' dan betapa pentingnya kedudukan mereka dalam hirarki
pemerintahan negara.

Sayangnya, kita tidak pula mendengar mana² pihak di dalam negara kita cuba
menubuhkan Institut Mengkaji Pemikiran Nabi Muhammad saw. Jangankan itu,
kata² Nabi Muhammad saw juga tidak sering kita dengar diulang sebut oleh
orang ramai sebagaimana kata² pemimpin² di atas diulang sebut. Malah bagi
sesetengah orang lebih gemar mengulangi lirik sesebuah lagu lagi dari kata²
Nabi sendiri.

Saya tidak mengatakan mengulang sebut kata² orang lain selain Nabi saw itu
sebagai salah. Asalkan ianya kata² yang baik, teruskanlah. Tetapi yang cuba
saya ungkitkan di sini ialah konsep menghormati dan memuliakan kenabian
Muhammad saw. Iaitu konsep sambutan mawlidur rasul. Adalah agak pelik untuk
kita katakan kita sambutan ini sebagai memuliakan Baginda padahal kita
sebenarnya menghinanya.

Cuba lihat apa yang terjadi hari ini? Orang yang cuba mengikut sunnah Nabi
saw dianggap sebagai selekeh dan jumud. Kanak² yang berserba ke sekolah
diarahkan membuka serban mereka dan diberhentikan sekolah pula apabila
enggan. Manakala pelajar perempuan yang berpakaian tudung labuh (juga
dikenali sebagai tudung bulat) pula dikerat tudungnya kerana dikatakan
tidak mematuhi kod berpakaian sekolah.

Tidak kurang juga yang menghina undang² yang dilaksanakan oleh Baginda
Rasulullah saw ketika hayatnya. Mereka menganggap hukuman potong tangan,
qishash dan rejam atau rotan sebagai kuno dan tidak bertamaddun. Sementara
orang yang cuba berdakwah seperti mana yang Nabi saw pernah jalankan
dipandang hina, dikatakan mengabaikan keluarga serta dikatakan perbuatan
yang sia².

Para ulama yang Nabi saw sebutkan sebagai pewaris Baginda pula dihina dan
dikatakan sebagai orang² yang bodoh. Semua penghinaan ini, walaupun tidak
ditujukan kepada Nabi saw secara langsung, tetapi tetap menghina baginda
kerana ianya perbuatan Baginda sendiri. Nyatalah, kita sebenarnya lebih
menyanjungi sultan, perdana menteri malah para artis hiburan lagi dari Nabi
saw...

Menyambut mawlid memang baik jika benar tujuannya untuk memuliakan
kedudukan Nabi saw sebagai penyelamat ummah. Tetapi mengadakan majlis
mawlid semata² adalah tidak mencukupi. Ianya hanya satu perkara kecil dalam
perkara² yang perlu dilakukan untuk benar² menjadi seorang mukmin dan
muslim yang bertaqwa. Mawlid semata² tidak boleh meletakkan kita dalam
golongan yang memuliakan Baginda saw.

Untuk benar² menghormati Baginda saw, adalah lebih baik jika kita mengikut
segala perbuatan yang telah Baginda lakukan. Sifat shiddiq (benar), amanah,
tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana) perlu kita jadikan sifat
kita sendiri. Kemudian, berusaha untuk menghidup dan mengamalkan setiap
sunnah dan perintah serta meninggalkan larangan Baginda. Itulah baru
dikatakan menyanjungi dan memuliakan Baginda dalam ertikata sebenarnya...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.