26 April 2006

Seekor Anak Harimau Dan Sekumpulan Kambing

Arakian tersebutlah kisah, di sebuah negeri bernama Antah Berantah,
terdapat seekor anak harimau yang tersesat jalan. Maka berjalanlah si anak
harimau ke sini dan ke sana mencari keluarganya yang entah di mana. Maka
dijadikan cerita, secara tiba² sang anak harimau telah sampai di luar
sebuah kandang kambing pada satu tengah malam yang sejuk lagi gelita.

Maka menggigillah si anak harimau di luar kandang tersebut. Melihat keadaan
sang anak harimau, maka timbullah rasa simpati di hati bapa dan mak
kambing. Maka diajaknya anak tidur bersama mereka. Maka bermulalah hidup
anak harimau bersama keluarga kambing tersebut. Adapun anak² kambing yang
lainnya tidak dapat menerima kehadiran anak harimau yang kelihatan jauh
berbeza dari mereka.

Lalu dipinggirkanlah anak harimau dari segala aktiviti mereka. Andai kata
anak harimau cuba hampiri, maka akan disondollah anak harimau itu tadi
dengan tanduk mereka yang masih baru hendak tumbuh. Sedihnya bukan kepalang
bagi si anak harimau. Hendak ia pergi, tidak tahu ke mana hendak ditujui.
Lagipula, si mak dan bapa kambing begitu baik terhadapnya.

"Aduhai..." Keluh si anak harimau. "Bukankah baik jika aku juga memiliki
tanduk seperti mereka. Pasti akan ku sondol mereka semula seandainya mereka
menganiayai ku. Aduhai..." Ratap si anak harimau dengan kesedihan. Tatkala
kambing² bersaudara enak meragut rumput di padang yang hijau, si anak
harimau hanya mampu memerhatikan dari jauh sahaja.

Tiba² dari celahan rumput, muncul harimau dewasa. "Auuummm!!!" laung sang
harimau. Bertempiaranlah lari kesemua kambing yang ada termasuklah si anak
harimau. Adapun sang harimau dewasa terlihat kelibat sang anak harimau yang
turut berlari bersama kumpulan kambing tadi. Lalu dikejarnya dan dibawa ke
sisi. Menggigillah sang anak harimau kerana bimbang dijadikan santapan.

"Mengapa engkau lari?" tanya si harimau dewasa. "Saudaraku kesemuanya lari.
Aku juga takut engkau akan membaham aku." jawab si anak. "Hahahaha...
Engkau bukan saudara mereka! Lihat, kau juga seperti aku. Malah ngaumanmu
juga bisa membuatkan mereka ketakutan..." "Aku juga bisa mengaum?
Ajarkanlah aku! Ajarkanlah aku!" teriak si anak harimau tidak sabar.

Kemudian si anak harimau pulang ke kandang dengan riang. Di sana, anak²
kambing yang lain sedang sedia menanti. Tiba² datang seekor yang paling
besar menyondol badan sang anak harimau. Si anak harimau hanya tersenyum
seraya berpaling kepada mereka. Ia kemudian menyeringaikan giginya sebelum
mengaum. Maka bertempiaranlah si anak² kambing. Puaslah hati sang anak
harimau...

*****

Sebenarnya kisah anak harimau ini ada kaitannya dengan kehidupan kita
sebagai muslim. Setelah sekian lama sang anak harimau dibuli, sehinggakan
dia mengharap juga memiliki tanduk seperti kambing² yang lain, akhirnya
anak harimau dapati cara terbaik untuk menangani anak² kambing itu adalah
dengan kembali kepada asalnya. Iaitu kembali menjadi harimau semula.

Cuba lihat diri kita sebagai muslim hari ini. Rasanya hampir kesemua kita
sedia maklum betapa kita hidup di bawah injakan kafir laknatuLlah. Sama ada
di dalam mahupun di luar negara. Maka berlaunganlah para pemimpin kita
bahawa kita diinjak kerana kita tidak memiliki kekayaan dan teknologi
seperti orang² kafir. Maka disuruhnya kita berusaha untuk mencapai itu.

Persoalannya, benarkah jika kita memiliki segala kecanggihan dunia hari ini
kita akan disanjung semula? Marilah kita cuba mengingat dan mengenang
keagungan zaman Nabi saw dan para sahabat. Kesemua mereka ini disanjung di
seluruh dunia dan seluruh zaman. Mengapa? Apakah kerana mereka ini kaya
dengan harta dan teknologi? Tidak. Bahkan mereka sebenarnya orang² yang
miskin.

Tetapi mereka dihormati kerana aqidah dan akhlaq mereka yang tinggi dan
terpuji. Inilah hakikat. Iman pada diri kita sebenarnya adalah ngauman si
anak harimau. Seperti mana si anak harimau tidak memerlukan tanduk untuk
melawan anak² kambing, begitu juga kita tidak memerlukan harta seperti
orang kafir untuk menguasai mereka. Persoalannya adalah iman.

Saya tidak menafikan kepentingan harta di dalam kehidupan. Dan amat benar,
ilmuwan Islam juga pernah mendominasi sebahagian besar dari bidang
teknologi. Tetapi sebenarnya, sejauh manakah harta dan teknologi itu mampu
membawa kejayaan kepada kita tanpa dorongan dan pimpinan iman dan aqidah
yang sempurna. Di sinilah letak persoalannya.

Kita sedia melihat bukan sedikit sebenarnya orang Islam yang telah berjaya
di dalam hidup mereka. Tetapi pernahkah kita fikir berapa ramaikah di
kalangan mereka yang masih kekal Islamnya? Rasanya bukanlah perkara asing
untuk melihat orang Islam yang kaya mengunjungi kelab² eksklusif, memegang
secawan wine dan berpelukan dengan perempuan yang bukan mahram.

Itu tidak dikira lagi dengan kerja² merampas harta milik orang lain dengan
jalan yang bukan haq dan juga menipu serta menindas orang miskin dan bodoh.
Apakah ini yang dilihat sebagai pembelaan kaum muslimin? Tidak! Bahkan
inilah jarum Yahudi yang disuntik di dalam jiwa muslimin supaya Islam itu
mereput dari dalam. Supaya orang Islam yang merosakkan Islam itu sendiri.

Maka sebenarnya yang paling kita perlukan adalah pengukuhan iman di dalam
hati dan jiwa. Dan setelah kukuh iman, maka barulah kita usahakan yang
selainnya. InsyaAllah, dengan pengukuhan iman, harta yang dicari adalah
yang barokah. Mungkin juga kita akan hidup kurang atau miskin dari orang
kafir tetapi ukhwah kita lebih teguh dan lebih sempurna.

Dengan itu, akan teballah tembok kita dalam menghadapi tujahan Yahudi,
Nasrani dan para penyembah berhala serta yang lainnya. Jadi sebenarnya kita
tidak perlu berkejar² untuk mencapai apa yang kafir capai sebaliknya apa
yang perlu kita kejar adalah mencapai apa yang Nabi saw dan para sohabat
Baginda telah siapkan untuk kita. Sepertimana anak harimau yang tidak
memerlukan tanduk kerana ngaumannya bisa membuatkan kambing ketakutan,
begitu juga kita tidak memerlukan harta dan kemajuan kerana orang kafir
lebih gentar dengan iman kita yang menebal terhadap kaAgungan Allah dan
RasulNya...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.