04 April 2006

Akal


Petang tadi, sebelum masuk kerja, saya singgah dahulu ke galley untuk
mendapatkan secawan air. Kelihatan beberapa orang sedang menikmati makan
malam sambil menonton dokumentari di televisyen saluran National Geographic
. Kisahnya berkisar tentang sekumpulan monyet yang sedang mencari makanan.
Saya tidak tahulah apa yang monyet² ini makan tetapi bentuknya seakan buah
ceri.

Rasanya dokumentari itu begitu menarik kerana saya melihat hampir semua
mata tertumpu terhadap skrin televisyen tersebut. Namun saya tidak berminat
menonton sepenuhnya. Hanya sekadar duduk untuk meneguk air di tangan. Namun
sebaik saya melabuhkan punggung, seorang tukang masak yang turut menonton
dokumentari tersebut tiba² bersuara kepada saya.

"Tengoklah. Ekor pun dia (monyet) boleh gunakan" katanya sambil merujuk
kepada seekor monyet yang sedang bergayut pada dahan pokok dengan
menggunakan ekornya. Tidak tahu dari mana datangnya idea (dari Allah
tentunya), saya katakan kepadanya "Haiwan tidak mempunyai akal. Kerana itu
ia menggunakan segala anggotanya untuk mencari makan. Tak macam manusia
yang mempunyai akal."

Selesai berbicara saya pun mengundur diri untuk segera berada di bilik
kawalan. Tetapi sepanjang dalam perjalanan ke bilik kawalan, fikiran saya
ligat memikirkan tentang ayat yang saya sebut tadi. Terus terang, ia
bukanlah sesuatu yang memang sedia ada di dalam kotak fikiran saya. Ianya
satu ayat yang spontan tetapi saya rasakan saya amat menyukai ayat
tersebut.

Betullah. Memang semua orang ketahui bahawa haiwan adalah makhluk yang
tidak mempunya akal. Ia mempunyai otak untuk mengawal fungsi badannya
tetapi bukan akal yang boleh digunakan untuk menganalisa. Namun begitu,
haiwan² ini, walaupun tanpa akal, cukup bijak menggunakan segala anggota
tubuhnya. Sepertinya zirafah yang berleher 'jinjang' dan helang yang
mempunyai cengkaman yang kuat.

Tetapi manusia, yang dibekalkan dengan kelebihan yang cukup hebat ini,
telah menggunakan akal untuk membolehkan dia mencari makan tanpa
menggunakan anggota tubuhnya. Di hari ini, bukan sedikit manusia yang
sanggup menipu manusia yang lain hanya untuk mendapatkan sedikit laba
dunia. Skim itulah, skim inilah, waris jutawanlah dan bermacam² lagi bentuk
penipuan.

Mana ada orang yang kaya tanpa berusaha? Mana ada Ahmad Albab dalam dunia
ini? Mungkin ada tetapi kesnya mungkin satu dalam sejuta kalaupun tidak 1
dalam sebilion. Namun masih ada juga manusia yang mahu percaya dengan
penipuan begitu. Apabila terbaca dengan modal sekian banyak sudah boleh
jadi jutawan, berebut²lah orang kita hinggakan bergolok bergadai.

Apabila dengar sahaja wang, harta dan kekayaan, maka serta mertalah manusia
jadi lupa untuk menggunakan akalnya untuk berfikir secara rasional. Jika
dengan bermodal beberapa ratus sahaja kita sudah boleh kaya, boleh beroleh
sehingga puluhan ribu sehari, alamat akan jemlah dunia. Kerana tidak ada
lagi orang yang akan bekerja. Siapa pula yang akan tanam dan jual beras
nanti agaknya?

Saya tidak mahu bicara banyak tentang hal ini. Takut nanti ada yang terasa
dan marah² pula. Hanya, memang saya akui segala skim yang ada ini
memungkinkan kita memperolehi pendapatan 5 angka dalam sehari. Cuma
persoalannya sampai bila? Dan persoalan yang lebih sukar adalah, dari
sumber manakah duit yang kita perolehi? Janganlah tanya berapa sahaja yang
masuk. Cubalah tanya dari mana ia datang pula...

Sebenarnya, akal telah menyempurnakan penciptaan manusia. Dengan akallah,
yang dapat membezakan manusia dengan haiwan. Kerana itulah manusia yang
kejam dianggap binatang kerana tidak menggunakan akal untuk berfikir.
Namun, biarpun akal menyempurnakan penciptaan manusia, akal semata² tidak
mampu untuk menjadikan seorang manusia itu sempurna.

Kerana akal juga makhluk. Sudah menjadi dasar sifat makhluk itu lemah, dan
memerlukan sandaran. Seperti hendak mengoperasikan sebuah mesin, kita
memerlukan prosedur agar tidak membahayakan keselamatan kita dan juga dapat
menggunakan mesin tersebut secara optimum, begitu juga akal kita. Ia
memerlukan rujukan dan panduan untuk 'beroperasi'.

Dan tidak ada rujukan atau panduan selain dari panduan yang 'turun terus
dari langit' iaitulah kitab suci al-Quran, qalam Allah yang disampaikan
melalui lidah mulia Nabi Muhammad saw. Dan di dalam kitab ini, yang
terkandung adalah iman. Maka, untuk menyempurnakan pemikiran kita, akal
kita mestilah dipandukan oleh iman. Akal yang bertindak tanpa iman adalah
pemikiran yang tidak sempurna.

Seorang manusia yang berfikir berpandukan iman, insyaAllah tidak akan
tergamak untuk menyakiti atau menzalimi orang lain. Sebagaimana Nabi saw
dan juga Khulafa ur-Rasyidin yang pernah menjadi ketua negara semasa hayat
mereka. Setiap keputusan dan hukum yang mereka jatuhkan adalah untuk
kemaslahatan umum. Bukan untuk kepentingan peribadi atau sebahagian pihak.
Inilah fungsi iman.

Sayangnya dewasa ini, penggunaan akal tanpa panduan iman telah terlalu
berleluasa. Ilmu yang ada, bukan dijadikan sebagai pengukuh iman sebaliknya
digunakan untuk menghalalkan apa yang tidak boleh dilakukan. Orang
sebegini, apabila berbicara, tampaknya seperti seorang yang bercakap dengan
iman. Padahal dia telah meletakkan iman jauh terperosok akibat kepentingan
peribadinya.

Sebagaimana di dalam sebuah egroup yang saya sertai. Terdapat beberapa
orang yang sedang berbahas mengenai kepentingan solat awal waktu. Asalnya
adalah kerana sebuah email yang bercerita kononnya ada malaikat penjaga tol
yang akan mencampak solat seorang muslim yang didirikan pada akhir waktu.
Secara peribadi, saya tidak bersetuju dengan cara penyampaian penulis itu.

Tetapu hakikatnya, apa yang ditulisnya adalah benar. Iaitu, solat akhir
waktu adalah solat yang hanya sedikit baik dari sia². Malangnya terdapat
beberapa manusia yang mengatakan solat akhir waktu bukan menjadi kesalahan.
Kerana katanya, kita perlu menyelesaikan tugas kita terlebih dahulu. Itu
adalah satu amanah dan menjaga amanah adalah perkara yang diwajibkan.

Lalu berbicara seorang lagi bahawa adapun hikmat diperpanjangkan waktu
bersolat adalah untuk perkara sebegini. Dan bermacam² lagi hujjah yang
kesimpulannya solat itu tidak perlu dikerjakan di awal waktu. Sekali baca,
seolahnya apa yang mereka tuturkan itu adalah benar. Siap disertakan dengan
dalil. Tentu sahaja kita boleh terpengaruh olehnya.

Namun bagi saya inilah contoh orang yang menggunakan akalnya untuk menipu
agama. Mengapa? Kerana mereka hanya mengambil sebahagian dari ajaran Islam.
Benar, Allah membenarkan kita melewatkan solat jika ada perkara yang lebih
penting. Dan benar, amanah adalah wajib ditunaikan dan didahulukan. Tapi
mari kita gunakan iman untuk fikirkan tentang perkara ini.

Yang paling utama di dalam hidup kita ini seharusnya adalah keselamatan
nyawa kita. Maka kerana itu, orang yang terdesak (dharurat) diizinkan makan
babi (sesetengah ulama menyifatkan sebagai wajib) sekiranya itu dapat
menyelamatkan nyawanya. Tetapi, selepas dari nyawa kita, yang terpenting
hanyalah Allah. Tidak ada perkara boleh mendahului Allah dari segala apa
halpun.

Maka benarlah kita dibenarkan menangguhkan solat jika kita di ambang maut
atau mungkin dalam perperangan. Kerana perperangan adalah untuk menegakkan
kalimah Allah. Tetapi, adakah menyelesaikan tugas dipejabat itu lebih
penting atau sama pentingnya dengan menegakkan kalimah Allah? Tidak! Maka
atas logik apakah solat boleh ditangguhkan demi untuk menyiapkan tugasan
harian?

Kerana anamah? Benar juga. Allah mahu kita menjaga amanah dan tugas di
pejabat merupakan amanah kerana kita dibayar untuk itu. Akan tetapi, apakah
kita tidak memandang solat itu sebagai amanah? Manakah amanah yang lebih
utama, dari ketua kita atau dari Allah? Benarlah kita dibayar untuk
menyiapkan tugas tetapi apakah kita kita lupa bahawa kita bernafas, makan,
minum dan segalanya atas pemberian Allah?

Inilah yang saya katakan... Kita berfikir memang menggunakan akal. Tetapi
kita perlukan iman untuk memandu akal kita. Kegagalan kita untuk memandu
akal kita menggunakan iman boleh membahayakan aqidah kita sebagai muslim.
Dan imanlah yang membezakan muslim dengan kafir. Orang kafir juga boleh
berfikir malah mungkin lebih pandai dari kita tetapi tanpa iman, pemikiran
mereka nyata sia².

Terpulanglah untuk kita berfikir dengan tahap pemikiran yang sama seperti
orang kafir atau mahu berfikir sebagaimana selayaknya seorang muslim
berfikir. Saya tidak mengatakan saya baik. Ada masanya saya juga
menangguhkan solat untuk hal yang remeh. Tetapi saya tidak pula meletakkan
kepentingan solat di awal waktu itu di bawah tugas² harian. Walaupun akal
saya berkata begitu, namun Alhamdulillah iman saya mengingatkan bahawa
tidak yang lebih utama selain suruhan Allah swt.

Akal adalah kurniaan yang paling istimewa untuk manusia. Sia²lah sesiapa
yang tidak menggunakan akalnya dengan optimum. Namun penggunaan akal,
selain boleh memudahkan kita, mungkin boleh menyesatkan kita. Akal mungkin
boleh membahagiakan kita di dunia tetapi akal yang dipandu oleh iman,
insyaAllah menjaga kita dari dunia sampai akhirat.....

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.