15 October 2006

Fenomena Filem Melayu


Pada suatu malam, saya memasuki bilik seorang teman. Niat di hati untuk
berbual² sambil 'menunggu mata mengantuk'. Atau mungkin juga boleh
'menonton' dia bermain konsol permainan video PS2. Namun sebaik memasuki
biliknya, saya dapati teman saya dan seorang yang lain sedang asyik
menonton sebuah filem Inggeris. Saya tidak berminat untuk menonton tetapi
untuk terus meninggalkan mereka, saya rasa bukan perbuatan yang manis.

Jadi saya duduk² sebentar. Disebabkan saya tidak berminat dengan filem yang
ditayangkan, saya alihkan perhatian saya kepada deretan vcd yang terletak
di atas mejanya. Dalam banyak tajuk yang ada di situ, yang cukup saya
tertarik sekali ialah sebuah filem Melayu yang sedikit masa lalu menjadi
topik perbualan hangat akibat adegan² 'separa lucah' yang terdapat di
dalamnya. Filem tersebut berjudul 'Remp-It'.

Saya tidak pasti dari mana datangnya nama Remp-It tersebut tetapi rasanya
ianya terhasil akibat usaha untuk mengkomersilkan nama 'Mat Rempit', kutu
jalanan yang terkenal dengan lumba motorsikal haram dan aksi bahaya mereka
di jalan raya. Filem 'Remp-It' ini dikatakan mengutarakan isu kehidupan
sebenar golongan ini yang juga sering dikaitkan dengan seks rambang dan
beberapa aktiviti songsang yang lain.

"Banyak bogel ke dalam cerita ni?" tanya saya kepada teman saya sambil
memegang sampul vcd berkenaan. "Mana ada bogel... Pegang² dada adalah..."
jawabnya sambil mata tidak dialihkan dari kaca televisyen. Fooh!, kata saya
di dalam hati. Hebat filem Melayu sekarang ini. Saya meneliti nama
pelakonnya... Farid Kamil & Julia Hana. Melayu! Bermakna adegan itupun
membabitkan pelakon Melayu... Hebat pelakon Melayu sekarang ini!

Bukanlah saya tidak tahu bahawa filem ini tidak menampilkan adegan bogel.
Saya telah mengetahui banyak fakta berkenaan filem ini walaupun belum lagi
menontonnya. Semuanya dari pembacaan dan juga 'laporan' dari teman² yang
pernah menonton. Tetapi sengaja saya tanyakan begitu kepada teman saya.
Mungkin boleh dikatakan sebagai gurauan atau sindiran walaupun saya tahu
sindiran itu tidak ada kena mengena dengan teman saya tadi sebenarnya.

Kemudian saya teringat kepada isu yang hangat diperkatakan di ruangan cyber
melalui perbincangan dalam milis sekarang ini. Iaitu mengenai kenyataan
Mawi yang menetapkan syarat menolak adegan berpegangan tangan dengan wanita
jika mahu dia membintangi sesuatu filem. Dikatakan kenyataan ini telah
menyinggung perasaan pelakon² senior seperti pelakon terbaik, Rosyam Noor
dan pelakon tua, M. Rajoli.

Saya sebenarnya tidak mempunyai maklumat yang sempurna mengenai perkara ini
kerana saya agak jarang membaca suratkhabar. Apa yang saya perolehi adalah
berdasarkan email² yang saya terima dan juga cerita dari teman² yang memang
fanatik. Sama ada fanatik meminati Mawi atau fanatik membenci Mawi. Sudah
tentulah ada yang menyokong pernyataan Mawi dan ada juga yang
menyifatkannya sebagai 'perasan baik'.

Saya tidak mahu dikatakan berada di mana² pihak. Saya juga tidak mahu
memberi komen sama ada patut atau tidak Mawi memberikan kenyataan yang
sedemikian. Baik atau buruknya seseorang, tidak boleh dinilaikan hanya
kerana patah perkataan yang dituturkannya semata². Juga kita tidak boleh
mengatakan seseorang itu jahat hanya kerana kita melihat amalannya kurang
dari apa yang kita amalkan.

Tetapi yang menarik, apakah perlu untuk seorang pelakon Melayu yang mengaku
Islam berpendirian sebegitu dalam menilai sesebuah tawaran lakonan yang
diterimanya. Dan apakah perlu seorang penonton Melayu yang mengaku Islam
menyokong kenyataan sebegitu atau sebaliknya mentertawakannya kerana
dikatakan cuba berlagak baik di dalam industri yang memang sudah terkenal
dengan maksiat dan kemungkarannya.

Benarkah industri perfileman tanahair dipenuhi dengan maksiat dan
kemungkaran? Ya juga. Tetapi bukankah kita ada beberapa filem yang menyeru
kepada kebaikan? Ataupun sekurang²nya cuba membangkitkan realiti masyarakat
setempat dengan harapan, ianya mampu membangkitkan kesedaran sekaligus
mengubah masyarakat untuk menjadi yang lebih baik, mirip kepada apa yang
pengarah filem itu mahukan?

Kita ada filem seperti Abang yang berkisar tentang konflik kekeluargaan.
Juga filem seperti Matinya Seorang Patriot, Bukit Kepong, Paloh dan Embun
untuk menyemarakkan semangat perjuangan. Tidak lupa filem Sepet dan Gubra
yang 'menegur' masyarakat tentang isu perkauman dan juga Islam yang sedang
diliberalkan. Filem seperti KL Menjerit dan terbaru, Remp-It yang dikatakan
mengungkap permasalahan sebenar golongan remaja kita.

Tidak baguskan filem sebegini? Bukankah filem² sebegini, selain dari
menyediakan hiburan bahkan juga 'memberikan nasihat' (walaupun nasihat yang
merosakkan terutama seperti Sepet dan Gubra) kepada penontonnya? Benar...
Mungkin filem begini ada kebaikannya tetapi yang lebih utama, berapa
banyakkah pula kerosakan yang dibawa oleh filem² ini selain dari kebaikan
yang ada bersamanya.

Tidak perlu pergi jauh, kita jengah sebentar filem Remp-It yang saya
perkatakan di awal tadi. Filem ini dikatakan menyingkap kehidupan mat²
rempit yang hidup di sekitar bandaraya. Menurut pengarahnya, Ahmad Idham,
dia cuba menjadikan filem itu benar² hidup dan hampir kepada realiti. Dan
kerana itulah diselitkan adegan memegang buah dada dan adegan perempuan
bertenggek atas tubuh lelaki untuk menzahirkan hakikat sebenar seorang
bohsia.

Cuba kita selusur kembali perkembangan filem negara kita. Tidak perlu
bercerita tentang teknik² penggambaran tetapi tentang pengarahannya.
Bagaimana suatu ketika dahulu, adegan pelakon lelaki memegang tangan
pelakon wanita tidak begitu ketara di dalam filem. Kemudian, sejajar dengan
'kemajuan negara', adegan begitu mulai menjadi biasa dan adegan lelaki dan
perempuan berpelukan pula mula menjamu mata penonton filem tempatan.

Hingga sekarang ini, bolehlah dikatakan adegan berpelukan malah berciuman
antara pelakon lelaki dan perempuan (dengan alasan ayah atau ibu mencium
anak) sudah semakin menjadi² di dalam filem kita. Dan kini, telah ada pula
adegan raba-meraba, adegan betenggek dan adegan lain² lagi. Apakah mungkin
pada masa hadapan akan muncul pula watak pelakon wanita mandi bogel di
kamar mandi? Tidak mustahil, jika melihat trend hari ini.

Maka kerana itu, sesuatu perlu dilakukan. Kita sebagai penonton, seharusnya
'melarikan' diri dari filem² yang sedemikian. Supaya nanti, jika tidak laku
di pasaran, ia akan diberhentikan. Tetapi, jika penonton enggan, apatah
lagi pengarah dan penerbit yang sememangnya mementingkan keuntungan, yang
perlu memainkan peranan yang pro aktif hanyalah tinggal para pelakon yang
perlu menolak sekiranya ditawarkan watak yang sedemikian.

Tetapi alangkah memalukan sekiranya si pelakon mendakwa terpaksa menerima
tawaran sedemikian semata² atas nama seni. Berseni sangatkah filem Sepet
sehingga mempamerkan betapa murahnya anak gadis Melayu demi cinta kepada
seorang anak Cina? Apakah yang seninya dengan lelaki dan perempuan yang
bukan mahram berbaring di atas katil yang sama tanpa sebarang ikatan? Untuk
melahirkan suasana reliti pasangan suami isteri?

Sudahlah filem kita dipenuhi dengan watak² perempuan yang mendedahkan
aurah. Sudahlah rambutnya terdedah, pangkal paha, pangkal buah dada dan
pangkal segala pangkal pun turut didedahkan. Seperti menjaja buah yang
tidak laku gamaknya. Apakah kita mahu filem² kita terus dirosakkan dengan
babak² asmara semata² atas nama seni? Apakah Allah dapat menerima alasan
'atas nama seni' ini nanti di akhirat kelak?

Saya tidak menyalahkan orang jika mahu membenci Mawi. Mungkin ada perbuatan
yang pernah dilakukannya menyakitkan hati orang awam. Atau mungkin juga ada
peminat artis lain yang cemburu kerana artis yang diminati tidak sepopular
Mawi. Atau mungkin juga di kalangan artis, mereka cemburu dengan kejayaan
'artis mi segera' seperti Mawi. Lantaklah. Mawi tidak ada kena mengena
dengan saya.

Tetapi benci bagaimana sekalipun, janganlah sampai menyetujui perkara
mungkar semata² untuk bersifat kontra dengan Mawi. Sama ada Mawi bersifat
'perasan baik' atau tidak, bukan pokok persoalan. Perkara yang paling
penting, bentuk filem yang bakal dilahirkan di negara kita perlu diubah.
Apakah kita tidak teringin hendak menonton sebuah filem buatan tempatan
yang tidak ada babak bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan
mahram?

Atau mungkin sebenarnya kita tumpang seronok melihat babak² sebegitu
ditayangkan? Mungkin juga satu hari, kita turut seronok jika melihat yang
melakonkan babak tidak senonoh itu adalah anak kita sendiri?
Wana'uzubillahi minzalik. Untuk mengelakkan sebidang tanah bertukar menjadi
belukar, kita perlu menghalangnya ianya menjadi semak terlebih dahulu.
Rumput dan lalang perlu diracun hingga ke akar umbi. Jangan nanti sampai
menjadi hutan rimba. Akhirnya kita pula yang dibaham oleh haiwan buas yang
tinggal di dalamnya. Wana'uzbillahi minzalik......

6 comments:

Lidah Penghunus said...

assalamualaikum. Nampaknya kes Mat Rempit dah makin teruk, ianya sudah menggantikan kumpulan Black Metal yang ketika dahulu turut membimbangkan.

inxps said...

Assalamualaikum.. apa yg saudara "bapa" naqibah katakan saya setuju sangat2 mengenai 'kemajuan' menggalakkan filem melayu kita, bermula dari pegang2an hinggalah ramas2an, adegan2 ranjang.. dan sekarang aksi ciuman! Mungkin belum terjadi pada filem Melayu kta, tp sudah ada dlm filem Melayu Indon. Terbaru adalah filem "My Heart" yg video trailer/clip nya di tayang di TV3, yang juga pengedar filem tersebut di Malaysia melalui GB. Yang mengemutkan hati saya adalah kerana TV3 sanggup menyiarkan adegan cium gigit bibir secara berulang2 kali di TV3 sebagai pelaris filem. Lepas ni jgn terkejut kalau filem kita juga akan mengikut jejak yang sama..

Anonymous said...

Salam Alaykum,
I hope you are well. I stopped by to request you visit my blog and this site www.haqislam.org and link them up here if you think them of benefit.

Wasalam

Anonymous said...

Assalamualaikum. Saya tertarik dengan apa yg dinyatakan penulis. Saya telah lama berpendapat sedemikian. Apa yg tulis seolah-olah keluar dari lubuk hati saya. Saya ada meng'forward'kan apa yg telah saudara tulis ke ruangan yahoo groups yg sesama kami (kumpulan rakan2 satu sekolah dulu 'post'kan message). Apa yg menyedihkan saya, niat saya hanyalah untuk renungan bersama. Kalau fikir2 dan renung2 tu rasa macam betul dan boleh diterima, terimalah.Kalau rasa2 tak berapa nak setuju,delete sajalah dlm mail box. Tapi apa yg berlaku adalah adalah seorang hamba allah ni tak setuju dengan perkara yg dinyatakan dan menegaskan bahawa yg penting adalah 'nawaitu'. Niat yg penting. Pada fikiran saya yg masih waras ini, niat tak pernah menghalalkan cara. Walaupun niat kita suci murni, tetapi caranya salah, maka ianya tetap jatuh hukum salah. Itu hukum agama. Tak perlu dipersoalkan lagi. Saya rasa mcm nak reply komen tu, tapi rasanya mcm tak memberi apa2 makna. Tapi saya tetap rasa ada sedikit terbuku di hati. Sedih dengan mentaliti org Melayu (khususnya Islam) di Malaysia sekarang,sudah tidak dapat membezakan yang halal haram, dan yang mana hak & batil.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya setuju dengan pandangan penulis. Masyarakat melayu sekarang terlalu disogokkan dengan budaya barat. Media pula seakan mengiayakan segala budaya yang merosakkan akidah masyarakat melayu.Saya ada melihat satu talk show mengenai saudara baru baru2 ini. Insaf, bila melihat mereka menitiskan air mata betapa mereka bersyukur diberi hidayah menjadi seorang islam. Sedih, bila saya bandingkan keadaan sesetengah golongan melayu yang tak pernah rasa bersyukur dilahirkan sebagai seorang islam.Walluhuallam.

The Pisces Man said...

Selamat berhari raya dan Maaf zahir batin.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.