19 July 2007

Setelah Sekian Lama

Sudah agak lama saya tidak menulis. Mungkin sudah hampir sebulan. Dan
rasanya dalam tempoh hampir tiga bulan ini, hanya ada satu posting sahaja.
Saya juga sudah lama tidak menjenguk ke blog saya. Agaknya sudah berhabuk
dan bersawang, seperti rumah yang sudah lama ditinggalkan. Mujur tidak
diduduki jin kerana, kata orang tua-tua, rumah yang ditinggalkan lebih 40
hari akan diduduki oleh 'makhluk ghaib' ini.

Sebenarnya saya sudah berkira-kira untuk berhenti menulis. Rasanya saya
sudah tidak larat lagi melakukan 'kerja' yang suatu ketika dahulu sangat
saya sukai ini. Saya berfikir untuk menguburkan Diari Abu Naqibah setakat
di sini sahaja. Dan saya juga terfikir untuk keluar dari semua milis yang
saya sertai. Tetapi sebenarnya saya tidak ada alasan khusus untuk berbuat
begitu. Hanya kerana saya rasa saya sudah tidak mampu menulis lagi.

Tetapi saban hari ada saja emel yang menjengah kotak masuk saya. Ramai juga
yang tertanya-tanya mengapa saya menyepi. Ada juga yang menyatakan sokongan
kepada saya. Tidak kurang juga yang meminta saya menulis suatu tajuk
artikel untuk mereka tujukan kepada orang tertentu. Saya jadi terharu.
Tetapi saya tidak mampu menulis lagi. Hanya saya pohon kepada Allah untuk
memberikan saya hidayah, nusrah, kekuatan dan ilham.

Dan hari ini Alhamdulillah, kekuatan untuk menulis kembali ada di dalam
diri. Untuk berapa lama saya tidak pasti. Tetapi insyaAllah, ada beberapa
topik yang ingin saya kupas dan kongsikan bersama anda semua, sahabat yang
sentiasa menghulurkan sokongan buat saya. Tetapi tulisan saya bukan untuk
memperbetulkan orang lain. Ianya sekadar luahan isi hati dan lebih kepada
pengislahan diri sendiri…

Akhirnya keputusan saya bulat dan tekad. Saya tolak tawaran kerja yang saya
ceritakan dalam artikel 'Hanyut' sebelum ini. Saya nekad. Wang ringgit
bukan penentu kebahagiaan hidup. Saya ada perjuangan di sini. Saya masih
ada perjuangan yang belum selesai dalam kesatuan. Biarlah saya selesaikan
perjuangan ini dahulu, dengan izin Allah, sebelum saya mengejar harta untuk
memuaskan nafsu (semoga Allah pelihara saya dari sifat begini).

Dan Alhamdulillah, saya dikurniakan sebuah keluarga yang tidak
materialistik. Ibu saya tidak menyokong saya meninggalkan kerja saya
sekarang. Malah beliau mahu saya fikirkan tentang kesatuan sebelum membuat
keputusan. Begitu juga dengan isteri saya. Baginya, apa yang penting saya
gembira dengan kerjaya saya. Tidak semestinya gaji besar hidup gembira dan
sebaliknya. Sesungguhnya merekalah orang yang sangat saya cintai.

Begitu juga beberapa rakan yang tidak gembira dengan berita tawaran yang
saya terima. Saya terharu apabila ada yang mengatakan mereka memerlukan
saya di sini untuk berkhidmat di dalam kesatuan, untuk membela nasib
mereka. Saya akui, saya bukan hero. Saya seorang tidak akan mampu mengubah
apa-apa. Tetapi kata-kata beginilah yang menjadi perangsang dan sebab untuk
saya terus kekal di sini. Semoga Allah manjadikan pilihan saya ini betul.

Bekerja di tengah laut ini adakalanya membosankan. Terutama di hari-hari
pertama. Tetapi apabila sudah menghampiri hari pulang, keseronokan mula
terasa. Tetapi yang menjadi beban terbesar adalah ketika meninggalkan
rumah. Sedihnya rasa untuk meninggalkan keluarga terutamanya anak-anak yang
masih kecil. Entah kembali lagi atau tidak, belum dapat dipastikan.
Suasanya sungguh memilukan.

Seperti baru-baru ini. Naqibah turut bersama ketika ayah saya menghantar
saya ke Terminal Bas Larkin. Sepanjang perjalanan, macam-macam yang Naqibah
bualkan dengan saya. Tiba di stesen bas, segera Naqibah menghulurkan tangan
untuk bersalam. Seronok rasanya melihat anak saya yang berusia dua tahun
setengah itu pandai menghulurkan tangan sebelum saya keluar dari kereta
dengan tanpa perlu disuruh.

Namun ketika melambai, saya terlihat genangan air di kelopak matanya.
Begitu juga di rumah. Isteri saya bertanya kepada Naqibah apa yang saya
pesankan kepadanya. Petah Naqibah mengulangi pesan saya tetapi dalam nada
sebak. Kemudian dalam perjalanan, saya dikejutkan oleh panggilan dari
isteri saya. Naqibah tidak mahu tidur, menangis katanya. Hanya setelah
mendengar suara saya, barulah Naqibah diam dan melelapkan matanya.

Kasihan anak kecil ini. Turut sama terkorban perasaannya. Malam itu saya
juga tidak lena tidur di dalam bas. Air mata saya menitis membasahi pipi.
Terbayangkan senyuman, gelak tawa dan tangisan Naqibah. Terkadang terasa
zalim meninggalkannya. Tetapi ini kerja pilihan saya sendiri. Saat-saat
begini, rasanya saya mahu kerja di darat semula. Supaya hari-hari dapat
berjumpa anak kesayangan saya ini.

Tetapi jika difikirkan semula, kerja di darat tidak menjanjikan kami boleh
sentiasa bersama. Melihat orang lain, rasanya kualiti masa saya bersama
anak-anak lebih dari mereka. Manakan tidak, sekarang ini jika minggu tidak
bekerja, saya bersama anak-anak hampir 24 jam sehari. Tetapi jika kerja di
darat, saya terpaksa keluar rumah ketika mereka masih tidur dan pulang
mungkin setelah mereka terlena. Begitulah. Setiap perkara ada lebih dan
kurangnya…

Suasana di dalam bas juga tidak menyelesakan. Semuanya disebabkan
sekumpulan penumpang berbangsa Tionghua yang turut sama di dalam bas
tersebut. Suara mereka yang berbual dengan nada yang tinggi diikuti hilaian
tawa mereka yang kuat benar-benar mengganggu lamunan saya. Sesekali timbul
juga di hati rasa untuk mengherdik mereka kerana tidak pandai menghormati
perasaan penumpang yang lain.

Tetapi akhirnya perasaan itu saya pendamkan. Saya terfikir, mungkin mereka
tidak selalu dapat peluang begitu. Sesekali naik bas ekspress
beramai-ramai, tentu menyeronokkan. Agaknya, saya juga akan berbuat perkara
yang sama. Biarlah, kata hati saya. Telatah anak muda. Lambat laun mereka
pasti mengantuk dan akan tertidur juga nanti. Dengan berdiam diri dan
bersabar, sekurang-kurangnya saya tidak menambah koleksi musuh saya.

Dan ditakdirkan pagi itu saya terlajak. Saya hanya terjaga dari tidur
ketika bas berada di Paka. Sepatutnya saya turun di Kerteh. Dalam
kelam-kabut itu, saya dapati satu beg saya yang mengandungi komputer riba
saya telah tiada di tempatnya, di tempat simpanan bahagian atas tempat
duduk. Saya jadi menggelabah. Tiba-tiba salah seorang dari kumpulan remaja
Tionghua tadi menunjukkan beg saya ada di tempat duduk hadapan sekali.

Rupanya beg saya terjatuh ketika saya sedang tidur. Dan mereka telah
meletakkan di tempat duduk itu setelah melihat saya tidak tersedar.
Syukurlah… Mujur saya tidak mengherdik mereka. Akhirnya mereka yang
membantu saya. Sesungguhnya sabar itu ada kebaikannya, bukan? Dan tidak
semua orang berbangsa asing itu jahat dan tidak berbudi pekerti. Inilah
satu lagi pengajaran dalam hidup saya…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.