Salam Ma'al Hijrah (Kini Ku Kembali)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Jikalah blog saya ini diibaratkan sebuah rumah, pastinya sekarang sedang sarat dengan sawang dan habuk. Apa tidaknya, sudah sekian lama saya tidak menjenguk di sini. Hanya baru sebentar tadi saya memasukinya. Alangkah terkejutnya saya bila melihat tarikh posting saya yang terakhir adalah 11 Oktober 2007. Bermakna sudah lebih setahun saya tidak membuat apa-apa posting ke blog saya ini.
Mengapa menyepi? Panjang ceritanya… Anggaplah saja saya dalam tempoh ‘pertapaan’. Tetapi yang menariknya, dalam tempoh pertapaan tersebut, ada juga yang menghantar email mahupun sms bertanyakan khabar. Alhamdulillah… Ramai juga yang mengambil berat tentang diri ini. Akan tetapi, dalam keadaan dan tekanan yang saya hadapi, banyak email yang tidak dapat saya berikan balasan.
Bukan saya ketandusan idea. Alhamdulillah, sepanjang ‘pertapaan’ ini, mencurah-curah ilham yang Allah kurniakan. Malangnya saya tidak berkemampuan untuk menterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Bukan kerana sibuk. Allah… sibuk dunia tidak akan ke mana. Dan bukan juga saya sakit. Alhamdulillah, saya dikurniakan dengan kesihatan fizikal yang cukup cemerlang sepanjang tempoh ini.
Cuma… Iman saya yang dalam keadaan tenat. Dan dalam keadaan sebegitu, saya melarang diri saya untuk menulis apa-apa artikel. Saya tidak mahu tulisan saya nanti akan menjadi asbab kepada salah faham atau sekurang-kurangnya, menjadi bahan debat yang tidak berfaedah, seperti mana pernah terjadi suatu ketika dulu. Jadi sebelum saya menulis apa-apa artikel, lebih baik saya berusaha menyembuhkan iman saya terlebih dahulu.
Tetapi saya tunggu punya tunggu punya tunggu, iman saya masih di takuk lama. Sembuh sekejap kemudian kembali layu. Ya Allah… Apa yang harus aku lakukan? Dalam bayan, selalu disentuh tentang pengislahan diri. Di mana kita bukan memperbetulkan diri orang lain, sebaliknya memperbetulkan diri saya sendiri. Akhirnya saya pasti apa yang saya perlu lakukan. Kembali ‘bercerita’ seperti dahulu. Semoga dengan ini, iman saya pulih kembali.
Jadi di awal Muharam, bersempena dengan sambutan Ma’al Hijrah ini, saya mengambil kesempatan untuk menghijrahkan diri saya. InsyaAllah saya mahu kembali aktif seperti dahulu. Terima kasih kepada teman-teman yang masih sudi menantikan posting dari saya. Dan sama seperti dahulu, saya bukan hendak mengajar. Sebaliknya setiap tulisan saya adalah sebagai teguran untuk diri saya sendiri. Dan kepada yang baru mengenali saya, salam perkenalan yang ikhlas saya hulurkan. Sesungguhnya diri ini lemah dan terdedah kepada banyak kesilapan. Mohon ditegur dan diperbetulkan atas sebarang kesalahan…
Dan bercakap tentang hijrah, tidak dapat tidak saya akan teringat kepada suatu peristiwa yang berlaku ketika penghijrahan Muhammad saw dari Makkah ke Madinah lebih kurang 1430 tahun yang lampau. Kisah terjadi ketika Nabi saw bersama sohabat yang paling dikasihinya, Abu Bakr ash-Shiddiq ra dalam perjalanan menuju ke Kota Madinah sambil dikejar oleh orang-orang kafir musyrik di belakang mereka.
Dek kerana keletihan, maka kedua mereka berehat di dalam sebuah gua. Dan di dalam gua tersebut, Baginda Rasulullah saw telah terlena di atas pangkuan (paha) Abu Bakr ra. Ditakdirkan, tiba-tiba datanglah seekor ular hendak mematuk Rasulullah saw. Maka Abu Bakr ra telah menahan patukan ular itu dengan tangannya. Bisanya patukan itu telah membuatkan Abu Bakr mengalirkan air mata.
Beliau tidak sedikitpun berganjak, mahupun mengerang kesakitan kerana enggan mengganggu tidurnya Rasulullah saw. Namun air mata yang mengalir di pipinya akhirnya jatuh ke wajah Nabi Muhammad saw sehingga mengejutkan Baginda saw. Lalu Baginda bertanyakan Abu Bakr yang terjadi dan beliau telah menceritakan segalanya. Dengan kuasa Allah, Nabi saw telah memulihkan tangan Abu Bakr dalam sekelip mata.
Saya cukup tertarik terhadap dua perkara sebagai pengajaran dari kisah ini. Pertamanya, bagaimana sayangnya Abu Bakr ra terhadap Nabi saw sehingga mengorbankan dirinya demi nyawa Rasulullah. Bukan setakat itu, Abu Bakr ra sedikitpun tidak mengerang kesakitan kerana bimbang, erangannya nanti akan mengejutkan Nabi saw yang sedang nyenyak tidur di pangkuannya. Manakala pengajaran yang kedua, betapa besar iman mereka terhadap kenabian Muhammad saw, mereka tetap enggan menyerahkan keselamatan Nabi saw bulat-bulat kepada Allah semata-mata.
Saya cuba tanyakan kepada diri saya sendiri. Jika saya di tempat Abu Bakr ra, apakah saya akan berbuat sepertinya? Mungkin. Tetapi rasanya, saya akan mengejutkan Nabi saw dan mengajak Baginda saw beredar dari gua itu. Begitulah bezanya saya dengan Abu Bakr. Bukan sahaja Abu Bakr, ramai lagi sohabat Nabi saw yang mempunyai nilai kasih dan nilai cinta yang begitu tinggi kepada Baginda saw berbanding terhadap diri mereka sendiri.
Hari ini saudaraku sekalian, kita tidak perlu berhijrah seperti Baginda dan para sohabatnya. Kita juga tidak perlu berjihad mengangkat pedang, apatah lagi menahan patukan ular padang pasir seperti yang dilakukan oleh Abu Bakr ra. Kita tidak lagi perlu berjuang mempertahankan keselamatan nyawa Nabi Muhammad saw. Kerana Baginda saw telah tiada. Baginda telah wafat lebih kurang 1420 tahun dahulu.
Tetapi Baginda masih meninggalkan warisan. Al-Quran, sabdaan Baginda, hadits-hadits, sunnah-sunnah bahkan para ulama sendiri termasuk dalam warisan Baginda saw. Saya tanyakan diri saya sendiri sekali lagi, apakah yang telah saya lakukan untuk mempertahankan warisan-warisan Baginda saw ini? Jawapannya… Entah. Rasanya tidak ada. Tiada apa yang saya lakukan dalam menegakkan apa yang Baginda saw tinggalkan.
Hari ini, sunnah-sunnah Baginda saw menjadi kutukan. Memelihara jambang, cara berpakaian bahkan berpoligami, menjadi kritikan dan bahan gurauan manusia-manusia jahil. Para ulama menjadi bahan cercaan. Apa yang saya lakukan? Hanya menggelengkan kepala. Tidak setakat itu, pengajaran yang Baginda bawakan di dalam al-Quran dikatakan sebagai kuno dan ketinggalan zaman, pun saya setakat menggelengkan kepala.
Sedangkan apa yang terkandung di dalam al-Quran itu bukannya rekaan Nabi saw sebaliknya dibawakan dari Allah terus kepada kita. Pun masih saya tidak berbuat apa-apa. Agaknya, apa yang hendak saya katakan kepada Baginda saw jika saya diberi kesempatan bertemu Baginda saw di akhirat kelak? Apa pula hendak saya katakan kepada Allah ketika menghadapNya di mizan nanti?
“Ya Allah! Aku tidak mampu melaksanakan hududMu kerana aku tinggal di negara yang berbilang kaum. Kaum kafir tidak bersetuju dengannya dan aku tidak memperoleh 2/3 kerusi parlimen untuk mengudah undang-undang ciptaan manusia!” Bolehkah begitu? SubhanAllah. Jika boleh begitu, alangkah leganya hati ini. Selepas itu bolehlah saya berdondang sayang berlenggok berjalan masuk ke syurga Allah… Astaghfirullah…
Tugasan kita terlalu kecil hari ini jika dibandingkan dengan yang dipertanggung jawabkan ke atas Nabi saw dan para sohabat. Tetapi dek kerana kecilnya tugas itu, maka kita sering mengkesampingkan ia. Dek kerana ringannya tanggung jawab itu, maka kita sering mengutamakan kepentingan dunia daripada kepentingan Allah swt. Akhirnya, kita tiada banyak beza dengan mereka yang mengkufuri Allah swt.
Puasa, solat, zakat dan haji tidak cukup untuk melayakkan kita ke syurga Allah. Ibadah kaum yang terdahulu dari kita, umat nabi-nabi yang lainnya, jauh lebih hebat dari kita. Mereka berzikir sehingga bercahaya gua dan lautan tanpa makan dan minum. Mereka hidup ribuan tahun dan banyak peluang untuk beribadah bendanding kita. Malah kita juga tidak berpeluang untuk berperang fisabilillah seperti para sohabat.
Inilah peluang yang Allah berikan kepada kita agar kita mampu seiringan dengan mereka. Menghidupkan sunnah dan menegakkan hukum Allah di dunia akhir zaman, yang mana Nabi Muhammad saw sendiri nyatakan terlalu banyak kekufuran dan kemunafiqan di zaman akhir ini. Maka mengapa kita sanggup melepaskan peluang sebegini? Bukankah inilah masanya untuk kita buktikan betapa kita kasih dan cinta terhadap Allah dan RasulNya?
Benar, agama Allah maka Allahlah yang menjaganya. Tetapi sebagaimana kisah Abu Bakr di dalam gua yang disebut di awal tadi, mengapakah kita tidak boleh bersikap demikian? Benar, Allah lebih mengetahui di dalam hati kita. Tetapi hati (pengakuan), lidah (lisan) dan tangan (perbuatan) berjalan seiringan dalam membuktikan keimanan. Maka sepatutnya, kita buktikan cinta kita kepadanya dengan menegakkan agama dan hukumNya. Bukan?
Sekian dahulu buat kali ini. Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian dan kejahilan saya sendiri.