Perjuangan Hidup
Hidup ini adalah sebuah perjuangan. Tidak lain tidak bukan hanyalah semata2 perjuangan. Maka kita ini, dibangkitkan olehNya adalah sebagai khalifah. Dan sebagai khalifah, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berjuang. Apakah layak seseorang yang hanya menghabiskan masa di dalam istana menikmati hasil cukai dipanggil sebagai khalifah? Tentu sekali tidak.
Perjuangan khalifah atau pemimpin adalah untuk pimpinannya. Memperjuangkan nasib mereka. Mempastikan kesejahteraan mereka. Seperti mana kita sebagai khalifah bumi, memperjuangkan nasib bumi dan terus2an mesti memastikan bumi ini sejahtera. Sayang sekali, kita lebih acap memporak-perandakan bumi dari mensejahterakannya. Maka sesungguhnya kita telah khianat kepada amanah Allah.
Terdapat berbagai jenis perjuangan. Ada yang menganggap perjuangan adalah dengan mengangkat senjata untuk memerangi orang kafir. Ada juga yang menganggap perjuangan adalah meletupkan diri di pusat2 membeli belah atau mana2 tempat tumpuan warga2 kafir. Saya tidak mahu mempersoalkan adakah itu perjuangan yang haq atau batil. Bagi saya itu semua adalah perjuangan.
Kerana perjuangan adalah memperjuangkan atau menegakkan apa yang kita rasakan, kita percaya dan kita yakin benar. Seorang pejuang Islam berjuang menegakkan Islam kerana yakin Islam adalah semata2 agama yang diiktiraf Allah. Begitu juga pejuang bangsa. Mereka adalah manusia yang yakin bangsa mereka berhak mendapat apa yang mereka perjuangan. Dan lagi sekali, bukan itu isu saya di sini.
Apa yang ingin saya kisahkan adalah perjuangan kita sebagai manusia. Perjuangan sebagai hambaNya dan perjuangan sebagai mukmin yang muslim. Sama ada sedar atau tidak, setiap masa kita hidup dalam sebuah perjuangan. Bangkit dari tidur juga merupakan suatu perjuangan. Manakan tidak, bukannya semudah ABC untuk menghadap sejuk pagi bersuci semata2 kerana hendak sujud kepadaNya.
Kemudian ketika makan, berjuang makan sekadar yang mencukupi. Di tempat kerja, berjuang untuk kerja dan jujur dan di mana2 sahaja. Ada sahaja perjuangan yang kita lakukan. Dalam perjuangan tersebut, kita akan berdiri sebagai tentera manakala musuh kita adalah nafsu kita sendiri. Sesuatu yang wujud dalam diri kita. Sesungguhnya inilah sebuah perjuangan yang begitu rumit sekali.
Allah telah menciptakan nafsu sekali dengan manusia. Nafsu jugalah sebenarnya yang mengangkat darjat manusia lebih tinggi dari para malaikat. Di malam israk mikraj, Jibrail tidak mampu terus mengikuti Nabi saw bertemu Allah hanya semata2 kerana dia diciptakan tanpa nafsu. Akan tetapi, nafsu juga adalah yang menjerumuskan ke lembah jahim. Dengan sokongan syaitan yang direjam, nafsu bukanlah mudah untuk ditundukkan.
Diriwayatkan, selepas Allah menciptakan nafsu, maka Allah telah memanggilnya. Dalam pertemuan itu, nafsu telah menafikan sifat ketuhanan Allah walaupun disiksakan dengan berbagai siksaan yang keras. Hanya setelah disiksakan dengan kelaparan, barulah nafsu mengalah. Maka itu dikatakan cara terbaik mengekang nafsu adalah dengan berpuasa. Kerana kelaparan mampu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.
Teringat saya kepada seorang teman saya. Menurut teman saya yang lain, teman saya ini secara terang2an telah mengaku bahawa dia adalah seorang ‘gay’. Astaghfirullah… Terkedu saya mendengarkannya. Patutlah belum kahwin2 lagi. Akan tetapi, seketika kemudian rasa kagum mula menebal dalam hati saya. Rupanya teman saya ini sedang bermujahadah dengan menentang nafsu songsangnya itu.
Dia sentiasa mendekatkan diri kepada Allah bagi mengelak nafsunya bergelora. Setiap malam dia bangkit mengerjakan solat tahajjud. Setiap hari membaca al-Quran hingga akhirnya menjadi seorang hafiz dan bermacam2 lagi. SubhanAllah. Begitu hebatnya dia menghadapi dugaan Allah. Bukan sahaja dia beroleh kemenangan menewaskan nafsunya, bahkan dia menggunakan ia untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Sedang diri kita lebih ‘akrab’ dengan nafsu kita. Lihatlah bagaimana kita berbangga mengumpul harta dunia hingga terlupa istana kita di syurga masih kontang dari hiasan yang sepatutnya. Akan tetapi, dalam masa yang sama kita mengutuk kaum gay ini dengan mengatakan mereka hanya mengikut nafsu. Apakah kita berbeza dari mereka? Bahkan kita adalah segolongan dari mereka.
Kita lupa tujuan asal kita ‘dikirimkan’ ke bumi. Bukan lupa tetapi buat2 lupa. Kita asyik memenuhi permintaan nafsu kita sedang Allah telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa tidak Dia menciptakan manusia melainkan semata2 untuk beribadah kepadaNya. Kita sibuk mengejar dunia seolah2 kita akan hidup seribu tahun lagi sambil menafikan kemungkinan kita mungkin mati pada esok hari. Astaghfirullah…
Saya tidak mengatakan tentang orang lain sebaliknya tentang diri saya sendiri. Tentang kesemua kita. Tentang sesiapa sahaja yang bersikap sedemikian. Kita lupakan hakikat perjuangan kita. Kita bukan setakat melakukan ‘gencatan senjata’ dengan nafsu bahkan kita dengan redha membiarkan nafsu memimpin kita. Apakah jawapan yang akan kita berikan kepadaNya nanti ketika dibangkaitkan pada hari kebangkitan nanti?
Di dalam surah ar-Rahman, terdapat banyak ayat yang bermaksud “Dan nikmat aku yang manakah kamu dustakan?”. Memang benar sangatlah ayat ini. Allah telah memberikan kita berbagai2 nikmat termasuklah bijian emas dalam perut bumi. Sayangnya, kerana bijian emas ini kita nafikan haq Allah untuk disembah dan dimuliakan. Beginikah cara kita bersyukur? Inilah yang dikatakan menafikan nikmat Allah…
Astaghfirullahal Azim… Begitu jauh kita tersasar dari matlamat pengutusan kita. Begitu jauh kita terkeluar dari garisan perjuangan kita. Alangkah malunya kita apabila berhadapan dengan Nabi saw di sana nanti… Nabi saw dihina, dikeji, dicederakan semata2 kerana hendak menyampaikan utusan buat kita. Agar kita keluar dari kegelapan, agar kita tidak songsang dalam perjuang tetapi kita dengan rela memadamkan api perjuangan tersebut.
Semoga Allah memberikan keampunanNya buat kesekalian kita. Semoga Allah menjadikan kita orang2 yang menang dalam perjuangan menentang nafsu kita. Hidup ini sebuah perjuang. Dan ia akan berterusn begitu, insyaAllah. Sama ada kita mahu capai kemenangan walaupun syahid atau kita sanggup lari dari medan pertempuran dan kekal menjadi hamba yang hina. Buatlah pilihan sendiri.
Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk adalah akibat kejahilan saya sendiri.
1 comment:
Allah!!!
aku juga begitu...
kerana Allah aku ingin kembali kepadaNya...
aku mahu mencari siapa diri ini...
moga kelapangan ini aku berjaya mengecapi dan memahami seterusnya menjiwai apa itu 'La Ila Ha Ilallah...'
yg jauh..
Post a Comment