30 March 2007

Menghargai Kasih

Adakalanya, apabila bertemu dengan teman atau saudara-mara, ramai yang
menegur wajah anak sulung saya mirip wajah ibunya. Dengan kulit cerahnya,
matanya dan segalanyalah, sering dikaitkan dengan ibunya. Terasa juga di
hati saya. "Macam mana dengan aku? Aku kan ayahnya?" gerutu saya di dalam
hati. Takkanlah tidak ada sedikitpun rupa fizikal Naqibah yang mirip kepada
saya?

Tetapi bila ada orang yang mengatakan Naqibah mirip ayahnya, hati saya
kembang bagaikan dipam-pam. Ah… Ini semua mainan perasaan. Sama ada mirip
ibunya atau mirip saya, ayahnya, itu tidak penting. Yang penting anak itu
anak kami dan amat manja dengan kami. Lagipun, bukankah anak sebagai
pengerat kasih sayang? Sememangnya terbukti, anak-anak kami menjadi lambang
keikhlasan kami mencintai antara satu sama lain.

Kadangkala saya terfikir, sedangkan apabila orang menyebut Naqibah hanya
mirip ibunya, tercetus satu perasaan kurang enak di benak saya. Bagaimana
pula agaknya keadaan orang yang ditakdirkan berpisah dengan pasangannya?
Yang anaknya dipelihara oleh bekas teman hidupnya yang lagi satu.
Contohnya, bagaimana perasaan seorang ibu apabila anaknya dipelihara oleh
bekas suaminya.

Manakala dia hanya berpeluang untuk menjenguk anaknya sebulan sekali. Tentu
mengecewakan. Apatah lagi apabila bekas pasangannya itu berkahwin lain dan
anak-anaknya pula semakin rapat dengan 'ayah atau ibu baru' mereka. Tentu
menyedihkan. Tentu wujud perasaan seakan-akan anak itu akan dirampas kasih
sayangnya dari mereka. Maka kerana itulah perceraian sesuatu yang perlu
dielakkan pada setiap masa.

Seperti kata khadi selepas upacara pernikahan dan pembacaan taklik, lebih
baik perkataan cerai itu dibuang terus dari otak seorang lelaki. Jangan
sekali-kali terfikir untuk melafazkannya. Begitu juga sang isteri. Jangan
sekali-sekali cuba ucapkan "Ceraikan saya". Kerana impaknya bukan kecil.
Banyak. Terlalu banyak. Bukan setakat kepada diri pasangan yang bercerai,
tetapi juga kepada anak-anak dan ibu bapa mereka.

Tetapi ada yang berkata, kalau sudah tidak sehaluan, bagaimana lagi hendak
hidup bersama? Ya… benar juga. Tetapi, saya juga sering bertanya kepada
diri saya sendiri, pernahkan saya sehaluan dengan pasangan saya? Saya tidak
pasti apakah yang orang lain maksudkan dengan sahaluan tetapi bagi saya,
sehaluan bererti kita bersedia untuk membuat keputusan yang sama dan
berpendirian yang sama pada hampir setiap masa.

Tetapi saya seorang lelaki dan isteri saya seorang wanita. Bagaimana
agaknya kami hendak sehaluan? Sememang dari azalinya kami berbeza. Bukan
setakat kami, bahkan boleh dikatakan semua orang. Pandangan seorang lelaki
berbeza dengan pandangan seorang perempuan. Jadi dari mana agaknya datang
perkataan sehaluan itu? Sedangkan hakikat menyatakan, corak pemikiran
lelaki dan wanita sentiasa berbeza.

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah sikap toleransi. Inilah sifap yang
cukup jelas kelihatan pada pasangan yang sedang asyik dilamun cinta.
Contohnya, seorang wanita sanggup berhabisan demi mendapatkan jersi
bolasepak pasukan kesayangan teman lelakinya. Atau sang lelaki yang sanggup
berjalan berjam-jam demi menemankan teman wanitanya yang hendak membeli
sehelai sapu tangan.

Sayangnya, sikap toleransi sebegini kian lama kian pupus sebaik mendirikan
rumah tangga. Ianya berpunca dari sikap kita sendiri yang sentiasa
mengharapkan pasangan kita memahami apa sebenarnya yang kita inginkan.
Tanpa sedikitpun kita peduli apa sebenarnya yang pasangan kita mahukan dari
kita. Kita sibuk mengubah pasangan kita mengikut acuan yang kita suka tanpa
mengubah diri kita untuk bersesuaian dengan acuannya.

Saya tidak mahu mengatakan diri saya baik. Sebagai lelaki, saya tidak
nafikan tebalnya sifat ego dalam diri saya. Melihat arahan dan permintaan
saya yang tidak dilaksanakan bukanlah perkara yang boleh menggembirakan
saya. Namun, apabila saya bawa bertenang, berfikir dengan akal yang waras
dan dengan iman, akhirnya saya akan dapati, saya sebagai suami yang
keterlaluan mengharapkan sesuatu dari isteri saya.

Sebenarnya, kita perlu tanamkan dalam diri kita perasaan untuk menghargai
pasangan kita. Harus sentiasa percaya, bahawa dialah pasangan kita yang
terbaik. Mungkin dia bukan yang terbaik tetapi dialah yang terbaik untuk
kita. Malah mungkin kita juga perlu yakinkan di dalam diri bahawa betapa
beruntungnya kita memiliki pasangan sepertinya dibandingkan dengan
kelemahan-kelemahan yang wujud pada diri kita.

Mungkin, pada satu ketika, kita akan melihat orang lain jauh lebih hebat
dari pasangan kita. Bagi lelaki, akan bertemu dengan perempuan yang lebih
jelita, yang bentuk tubuhnya lebih menggiurkan, lebih bersopan-santun,
lebih berbudi-bahasa, lebih beragama dan lebih dari segala segi. Tetapi,
satu perkara yang perlu kita ingati. Bersediakah wanita ini berkorban lebih
dari apa yang isteri kita pernah korbankan sehingga ke hari ini?

Saya sering katakan kepada anak saya. "Naqibah, jadilah seperti ibu. Ayah
bangga berkahwin dengan ibumu. Ibumulah yang terbaik untuk ayah." Anak saya
mungkin masih kecil dan masih belum faham apa yang saya katakan. Tapi
insyaAllah saya akan ulangkan berterusan. Supaya satu hari nanti, apabila
hati saya ini terniat untuk mengkhianati kasih sayang kami, anak itu akan
mengulangkan apa yang pernah saya lafazkan ini.

Kerukunan rumah tangga itu antaranya terletak kepada sifat saling
menghargai. Hargailah pasangan sendiri dan insyaAllah, pasangan kita juga
akan menghargai kita. Bukan saya hendak mengajar kerana saya sendiri masih
terlalu mentah di alam rumah tangga. Apa yang saya coretkan di sini adalah
sebagai peringatan buat diri saya sendiri. Supaya kita boleh saling
ingat-mengingati.

Mungkin ada yang berkata, aku telah banyak berkorban untuk pasangan aku
tetapi tidak ada yang pernah dihargainya. Saya tidak boleh komen tentang
itu. Manusia diciptakan dalam pelbagai bentuk dan sifat. Saya tidak kata
kesemua manusia itu pasti bersifat mulia. Tidak Allah ciptakan neraka itu
untuk dibiarkan kosong. Pasti ada penghuninya. Tetapi yang penting,
berusaha dan bertawakkal kepada Allah…

Sesungguhnya, Allah telah mencurahkan kasih sayangNya terhadap kita lebih
dari pasangan kita. Namun kita masih juga gagal menghargai kasih dariNya.
Masih ingkar terhadap suruhanNya. Maka apabila pasangan kita gagal
menghargai apa yang kita lakukan terhadapnya, wajarkah kita menyalahkan
dia? Sedangkan kita sendiri pada dasarnya, gagal menghargai kasih yang
lebih besar dan lebih hebat nilainya…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.