13 February 2006

Untuk Apa Saya Menulis?


Sudah beberapa hari saya tidak ada ilham untuk menulis. Sebenarnya bukan
tidak ada ilham tetapi... Tidak dapat menterjemahkan ilham saya dalam
bentuk tulisan. Sebenarnya sebelum artikel ini, sudah hampir sepuluh
artikel lain yang telah saya siapkan. Tetapi apabila membacanya semula,
saya tidak bercadang untuk menyiarkannya seraya menekan butan delete pada
papan kekunci.

Sudah lebih setahun saya menulis di dunia siber ini. Ramai teman baru yang
saya perolehi. Semuanya bermula secara suka². Selepas artikel 'Belajar
Untuk Berkata Cukup', saya mula merasa seronok. Dan akhirnya saya
menyumbang secara tetap ke egroups yang saya sertai sehinggalah saya
menghasilkan blog saya sendiri, Diari Abu Naqibah. Dari semasa ke semasa
respon yang saya terima menggalakkan walaupun ada juga yang mencemuh.

Kadangkala, apabila kehabisan ilham, saya berhenti menulis untuk seketika.
Tetapi apabila terbaca emel² yang masuk ke inbox saya bertanya tentang
artikel baru, saya gagahkan diri untuk menulis juga. Jadilah saya menulis
kerana terpaksa. Terpaksa. Inilah yang mula saya persoalkan sejak
kebelakangan ini. Untuk apa saya menulis? Benarkah saya ikhlas menulis atau
sebenarnya ada tujuan lain?

Saya tidak dapat menjawab soalan saya sendiri. Tidak tahu mengapa. Jika
diikutkan memang saya menulis dengan ikhlas. Tidak ada sebarang imbuhan
untuk saya setiap kali artikel saya tersiar. Tetapi mengapa saya menulis?
Adakah orang yang membaca? Tidakkah saya rasa apa yang saya buat ini sia²
dan membuang masa? Allah... Mengapa soalan ini bertalu² mengetuk jendela
minda saya? Mengapa?

Dalam enam orang adik beradik, saya paling rapat dengan abang sulung saya.
Keakraban kami ini turut disedari oleh isteri kami. Abang sayalah yang
menjadi tempat saya meminta pendapat dan nasihat. Terkadang terasa bagai
hendak berhenti menulis. Lalu saya teringat dengan kata² abang saya.
"Maulana Zakariya kata, kita perlu gunakan kelebihan kita untuk berdakwah.
Kelebihan adik adalah menulis dan internet. Teruskanlah..."

Apabila teringat kata² ini, semangat saya datang semula. Tetapi seketika
kemudian saya mula terfikir. Adakah orang yang hendak membaca tulisan saya?
Terkadang saya rasakan seperti berbuat sesuatu yang sia². Terfikir juga
mungkin setelah saya poskan artikel saya ke egroups, kemudian penerimanya
terus saja padamkan sebaik terpandang nama saya. Tercapaikah maksud dakwah
jika sebegitu?

Teringat lagi saya nasihat abang saya. Bukan semua pendakwah orang dengar
cakapnya. Nabi saw sendiri pernah berdakwah di hadapan 2 atau 3 orang
sahaja. Tetapi Baginda tidak pula mengalah. Ah... Betul benar kata abang
saya. Maka saya harus teruskan kerja ini. Sama ada orang baca atau tidak,
itu soal kedua. Yang penting Allah tahu keikhlasan hati saya. Yang penting
Allah tahu apa saya buat.

Tetapi... Benarkah saya menulis kerana Allah? Bukan untuk nama? Bukan untuk
glamour? Sekali lagi, saya tidak dapat menjawab pertanyaan diri saya
sendiri? Glamour? Popular? Popularkah aku? Kemudian saya teringat kata
kawan saya "...kira engkau sekarang ni internet celebrity la..." Celebrity?
Betulkah? Saya kira tidak. Teman saya hanya bersenda. Tidak, tidak, tidak.
Bukan populariti yang saya cari. Saya bukan calon pilihanraya.

Saya termenung seketika. Masih lagi mencari tujuan saya menulis. Layakkah
aku untuk menulis? Aku siapa? Aku tidak lain seorang manusia hina. Keji.
Penuh dosa. Seorang pendosa yang cuba lari dari dosanya dan kini cuba
menyelamatkan orang pula? "You're no Superman, Abu Naqibah" Usik hati saya.
Betul... Betul... Betul... Saya bukan Superman. Saya tidak mungkin mampu
menyelamatkan siapa².

Jadi untuk apa saya menulis? Tidak ada apa? Jika begitu, lebih baik saya
tidak perlu menulis. Masa lapang saya lebih baik saya isikan dengan
perkara² lain. Perkara lain? Apa dia? Erm... Saya tidak tahu juga. Selain
menulis, saya tidak tahu apa yang saya minat. Dulu² memang saya gila muzik.
Masa lapang saya habiskan dengan bermain gitar atau mencipta lagu atau
pergi jamming di studio.

Takkanlah sekarang saya hendak berbuat begitu lagi? Jadi... Bolehlah saya
kata saya menulis sebagai mengisi masa lapang. Ok. Saya sudah bertemu
jawapannya. Untuk mengisi masa lapang. Tetapi... Mengapa tatkala sibuk pun
saya masih mahu menulis? Kerana emel² yang masuk bertanya tentang artikel
terbaru? Kau menulis untuk siapa ni Abu Naqibah? Carilah jawapan yang
logik...

"Engkau siapa? Kenapa kau soal aku dengan soalan yang bertubi²? Sama ada
aku hendak menulis atau tidak, ikhlas atau tidak, engkau apa peduli? Engkau
siapa?" Senyap. "Siapa yang bertanya tadi?" Masih juga senyap. "Ah... Apa
ni? Aku berperang dengan diri aku sendiri? Akukah tadi? Kalau aku, mengapa
tidak tahu apa yang aku sendiri fikirkan? Argh!" Dunia menjadi semakin
kusut. Kusut... Apa yang perlu saya lakukan?

Saya masih hendak menulis. Tetapi saya tidak tahu patutkah saya menulis.
Terkadang apabila membaca emel yang menggemari sesuatu artikel itu, saya
menjadi tertekan. Tertekan untuk menulis sesuatu yang lebih baik. Akan
tetapi... Bukankah perbuatan begitu menunjukkan saya sebenarnya tertarik
dengan pujian? Ya... Tetapi tidak! Tidak! Bukan nama yang saya cari. Bukan.
Nama tidak akan beri saya apa² di sini... Habis tu untuk apa?

Selepas menghadiri kursus penulisan oleh PTS dalam bulan lepas, saya terasa
seperti hendak menulis buku pula. Hari itu saya pulang dengan penuh azam
untuk menulis. Malam itu juga saya mula merancang untuk membuat satu
proposal dan hantarkan kepada syarikat untuk dinilai. Sayangnya semangat
saya tidak lama. 2, 3 hari kemudian soalan yang saya mula berlegaran di
minda saya. Untuk apa saya menulis?

"Pergi! Pergi kau syaitan! Aku tahu ini kerja kau! Aku tahu! Engkau cuba
untuk menyesatkan aku, bukan? Pergi! Pergi! Pergi!!!!!" Ah... Ini kerja
syaitan rupanya. Syaitan cuba mengelirukan saya. Iblis laknatullah mahukan
saya keliru. Supaya dengan perasaan keliru itu saya akan terpesong niat
ketika menulis. Atau supaya dengan perasaan keliru itu saya akan berhenti
menulis. Memang wajarlah engkau jadi makhluk terkutuk wahai syaitan...

Ini memang kerja syaitan. Setiap masa syaitan tidak akan pernah leka dalam
menjadikan kita leka. Dan setiap masa syaitan tidak akan pernah lupa untuk
membuat kita lupa. Syaitan ini makhluk yang penyabar. Maka kerana itu kita
harus sentiasa berwaspada dengannya. Kita bukan anbiya yang dibimbing
dengan wahyu. Kita manusia yang lemah. Kata hati kita belum tentu betul.
Yang betul adalah pertimbangan yang didorong oleh iman.

Saya akan terus menulis, insyaAllah. Bukan kerana emel yang bertanya. Bukan
juga kerana nama. Dan bukan untuk mengisi masa lapang. Saya menulis kerana
ini sahaja yang saya ada dalam menegakkan kalimah Allah. Yang saya harap
saya tidak tersesat. Jika penulisan saya lemah, maafkanlah. Jika
kandungannya salah, betulkanlah. Terima kasih atas sokongan dan dorongan
semua selama ini. Dan doakanlah saya tidak terkeluar dari landasan
keikhlasan...

1 comment:

Anonymous said...

Insya'Allah Debort! Teruskan usaha ko. Aku suka baca artikel2 yg ko tulis, alhamdulillah semuanya sedikit sebanyak mendidik hati aku agar tidak terpesong. Teruskan usaha! Memang, ko mungkin tidak dapat menyelamatkan sesiapa tapi tulisan ko mungkin menyedarkan banyak pihak, menambahkan ilmu pengetahuan tentang isi Quran dan mungkin dapat dijadikan panduan dan teladan... teruskan jihad... Mungkin ko tak perlu keluar 40 hari utk berjihad, mungkin inilah cara ko utk berjihad...mungkin di sisi Allah, pahalanya sama. siapa tahu? Tetapkan hati, tetapkan iman. Aku sentiasa sokong ko selagi ko menulis kerana Allah **yana**

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.