19 December 2006

Tangisan Di Rumah Nurhikmah


Pada 13 Disember baru-baru ini, saya ke Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri
mesyuarat kesatuan. Semasa dalam perjalanan, saya hubungi teman saya dan
memberitahunya bahawa saya akan ke sana. Dan kami merangka rancangan untuk
bertemu jika mesyuarat saya berjaya ditamatkan lebih awal. Dan itulah
sebenarnya yang terjadi. Kami korbankan makan tengahari dan dapat menutup
mesyuarat jauh lebih awal.

Sebaik tamat mesyuarat, saya menghubungi teman saya tadi menggunakan sistem
pesanan ringkas (SMS). Tidak lama kemudian, keretanya pun muncul di hadapan
bangunan pejabat syarikat tempat saya bekerja. “Ada apa-apa program tak
lepas ni?” tanyanya. Saya menggelengkan kepala. “Cuma malam nanti la nak
balik Terengganu.” “Ok… Ni nak ajak pergi Kajang ni…”

Kajang? Kalau sebut Kajang, yang terbayang di kepala saya hanyalah sate
Kajang. Tetapi kemudian teman saya menjelaskan bahawa kami akan menuju ke
Rumah Nurhikmah, yang menempatkan anak-anak yatim dan ibu tunggal. Oh…
Detik hati saya. OK juga. Sebenarnya saya pernah menulis tentang Rumah
Nurhikmah ini tetapi, saya masih belum pernah berpeluang melihat keadaan
sebenar mereka. Mungkin inilah peluang saya.

Perjalanan dirasakan terlalu jauh. Sebenarnya saya begitu ghairah untuk
melihat keadaan rumah tersebut. Kerana fikir saya, selepas artikel itu saya
poskan ke internet, ramai yang menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk
membantu. Dan pula saya sering terbaca di sebuah grup tentang perkembangan
Rumah Nurhikmah ini. Saya terbayangkan suasananya tentu bukan lagi seperti
gambar yang pernah dikirimkan kepada saya dahulu.

Sampai ke Kajang, dan setelah membelok ke beberapa sekolah (yang
mengelirukan terutama bagi orang yang pertama kali seperti saya), kami
akhirnya tiba di hadapan Rumah Nurhikmah. Dari luaran ianya kelihatan
seperti rumah biasa. Hanya papan tanda yang bertulis nama rumah tersebut
menjadikan ianya berbeza dari yang lain. Lalu teman saya tadi mengajak saya
masuk ke rumah tersebut.

Sebaik melangkahkan kaki melepasi pagarnya, saya amat terkejut melihat
keadaan dalamannya. Allahu Akbar! Ramainya anak-anak! Rumah yang pada
asalnya saya lihat seperti besar tadi tiba-tiba saya rasakan terlalu kecil
dan tidak mencukup untuk mereka. Namun saya lihat di wajah anak-anak yang
berada di situ kesemuanya penuh dengan keceriaan. Ada yang tersenyum
melihat kami lalu segera bersalaman dengan kami.

Sopan sungguh, bisik hati saya. Jika melihat seorang kanak-kanak yang
bersopan, tentulah hati kita akan aktif memuji orang yang menjaganya.
Bukan? Kerana adab anak-anak banyak dipengaruhi oleh orang yang membesarkan
mereka. Iya… Bergantung kepada pendidikan yang mereka terima di rumah. Dan
melihat keadaan mereka, saya agak yakin bahawa penjaga mereka di rumah itu
telah menjalankan tugasnya dengan baik.

Saya diperkenalkan kepada Hj. Othman, orang yang bertanggung jawab ke atas
anak-anak ini. Tetapi kami hanya sempat berbual untuk satu tempoh yang
pendek kerana ada banyak perkara yang menuntut perhatian Hj. Othman. Tak
mengapalah. Kerana saya tidak ada urusan penting di situ. Hanya teman saya
yang mahu berbincang tentang projeknya untuk menyediakan sudut bacaan di
rumah tersebut.

Jadi saya mundar-mandir di hadapan rumah tersebut sambil menunggu Hj.
Othman punyai masa untuk bercakap dengan teman saya. Tiba-tiba saya ditegur
oleh seorang dari anak-anak yang duduk di kerusi panjang berhampiran.
“Pakcik! Pakcik duduk mana?” tanyanya kepada saya. Saya kira anak ini mahu
beramah mesra dengan saya. “Johor.” Jawab saya lalu segera duduk di sebelah
mereka.

“Pakcik… Boleh pinjam telefon tak?” tanyanya. Telefon? Pelik juga saya. Apa
yang anak di sini hendak buat dengan telefon? Hendak bermain permainan java
kah? Tanya hati saya sendirian. “Nak buat apa?” saya cuba mendapatkan
kepastian. “Nak telefon mak. Mak janji nak datang hari ni. Tapi tak sampai
lagi…” jawabnya sambil titisan air jernih mula bergenang di kelopak
matanya.

Saya mengangguk sambil segera mengeluarkan telefon bimbit saya. Anak tadi
menyebut nombor ibunya dan saya serahkan telefon itu kepadanya selepas
mendail nombor yang disebutnya. “Tak ada orang angkat…” katanya sedih
sambil menyerahkan semula telefon itu kepada saya. “Tapi mak saya pakai 2
nombor” sambungnya lagi membayangkan kemungkinnan untuk mencuba nombor yang
kedua pula.

Sekali lagi saya serahkan telefon kepadanya selesai mendail nombor yang
disebutkan. “Off la…” jawabnya. Kali ini genangan airmata terus meleleh di
pipinya. Saya menyambut telefon yang dihulurkannya kepada saya. Saya semak
senarai nombor yang dipanggil dan kemudian cuba menelefon sekali lagi.
Tiba-tiba saya dengar suara perempuan menjawab. Lalu segera saya serahkan
kepada anak tadi.

“Mak… kenapa tinggalkan kami kat sini? Kami nak balik…” tutur anak itu
dikuti esakan yang memilukan. Seketika kemudian talian diputuskan.
“Kenapa?” tanya saya. “Nanti mak telefon balik” jawabnya dan seketika
kemudian telefon saya berdering semula. Si anak segera menjawab dan dengan
nada penuh syahdu, saya mendengar si anak merayu kepada ibunya untuk
mengambil mereka kembali.

Saya tidak dapat menahan sebak. Tetapi sebolehnya saya tidak mahu
melelehkan air mata di hadapan orang. Seketika kemudian telefon itu
diserahkan kepada abangnya yang berada di sebelah saya. Sama juga. Abangnya
juga merayu untuk pulang. Kemudian si abang menyerahkan semula kepada
adiknya. Rasa bersalah mula menyelubungi hati saya kerana membenarkan
mereka menggunakan telefon saya…

“Bila datang sini?” saya tanya kepada si abang. “Isnin.” Jawabnya pendek.
Oh… patutlah. Baru dua hari… Fikir saya. “Kami tak nak duduk sini. Kami nak
balik rumah nenek kami…” rintih si abang dengan nada pilu. Lalu saya
memeluknya. Untuk seketika tangisannya berkurangan tetapi gerak pada
tubuhnya menunjukkan sedan yang dirasakannya. Seketika kemudian terasa
titisan hangat air mata menitis di atas paha saya.

Saya bercadang untuk memberikan mereka sedikit nasihat tetapi sebelum
sempat saya berbuat demikian, datang seorang anak lain yang memanggil
mereka masuk. Entah. Mungkin mereka ada mesyuarat petang. Saya hanya
biarkan mereka berlalu pergi. “Budak macam ni jangan halang dia. Kalau dia
nak keluar, biar dia keluar. Nak simpan buat apa?” ujar seorang lelaki yang
entah dari mana datangnya saya sendiri tidak pasti.

Saya hanya tersenyum. Malas untuk memberika apa-apa komen. Tetapi apabila
dia kerap mengulangi perkataan yang sama, saya segera berkata “Masalahnya,
mak dia yang tinggalkan dia di sini. Bukan orang rumah ni yang datang
ambil” membuatkan dia terdiam. Kemudian teman saya bertanya tujuannya di
situ. “Adik saya ada dalam ni.” Jawabnya sambil menyebut satu persatu nama
4 orang adik-adiknya yang tinggal di rumah itu.

Ah… Biarlah lelaki itu dengan mulutnya yang becok itu. Hati saya begitu
tensentuh dengan tangisan dua beradik yang meminjam telefon bimbit saya
sebentar tadi. Sedihnya… Yalah… Siapa yang tidak sedih terpaksa berjauhan
dengan ibu dan keluarga sendiri. Terpaksa pula tinggal di rumah yang
dikongsi dengan puluhan yang lain. Tetapi… Mesti ada sebab mengapa mereka
ditinggalkan di situ oleh ibu mereka…

Saya mengirim SMS kepada isteri saya. Bercerita tentang apa yang sedang
saya lalui dan lihat ketika itu. Ah… Beruntungnya anak kami. Walaupun kami
bukan orang kaya, tetapi sekurang-kurangnya anak kami tidak perlu berpisah
dengan kami. Anak kami tidak perlu melalui perasaan yang dilalui oleh
anak-anak di rumah Nurhikmah ini. Betapa beruntungnya mereka berbanding
anak-anak ini…

Saya terfikir, mungkin patut saya bawa anak-anak saya ke tempat seperti
rumah Nurhikmah ini agar mereka mengerti, betapa wajibnya bersyukur dengan
apa yang kita ada kerana sentiasa ada orang yang hidupnya kurang daripada
apa yang kita miliki. Kalau boleh saya mahu anak saya berkawan dengan
mereka. Tetapi… Rumah kami jauh nun di Johor Bahru. Mungkin saya patut
mencari rumah seperti ini di tempat saya sendiri…

Sebenarnya ini pengalaman pertama saya melawat rumah perlindungan seperti
ini. Sebelum ini, ketika menuntut dulu pernah juga saya ke rumah anak-anak
yatim. Tetapi ketika itu perasaan saya tidak sama seperti keadaan saya
ketika di Rumah Nurhikmah. Entahlah. Mungkin kerana sekarang saya sendiri
sudah bergelar ayah maka saya sudah punyai naluri kebapaan yang menerbitkan
emosi saya ketika itu.

Apapun, saya merasakan pengalaman di Rumah Nurhikmah sesuatu yang cukup
bernilai. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman saya (sengaja tidak
saya sebut namanya di sini kerana bimbang dia tidak selesa) yang membawa
saya ke sana… Sesungguhnya hidup ini adalah sebuah keindahan hanya apabila
hati kita diindahkan dengan cahaya kesyukuran. Dan hidup ini asalah
kesuraman jika kita semai ianya dengan benih kekufuran…

17 December 2006

Selamat Hari Jadi Ayah.....


Hari ini 17 Disember. Genap 66 tahun yang lalu, pada hari inilah lahirnya
seorang lelaki yang menjadi asbab saya dilahirkan. Dan lelaki itu, pada
hari ini saya panggil sebagai ayah. Alhamdulillah, ayah masih mampu melalui
hari ulangtahun kelahirannya yang ke 66 dan kami 6 adik beradik berserta
ibu dan juga 18 orang cucunya sempat meraikan bersamanya. Meskipun kini
saya berada ratusan kilometer dari daratan...

Pagi tadi, seawal jam 9 pagi saya telah menelefonnya untuk mengucapkan
selamat hari lahir. "Tapi sorry lah ayah sebab tak ada hadiah. Nanti balik
darat baru beli eh?" ujar saya cuba menutup kesilapan. "Tak payahlah. Nak
buat apa?" tanya ayah. "Dah tua ganyut dah. Tak payahlah hadiah-hadiah
ni..." sambung ayah lagi. Saya hanya tersenyum. Katanya tidak mahu, tetapi
kalau saya beri juga, pasti dia gembira.

Ayah memang tidak pernah meminta hadiah. Bukan setakat hadiah, 10 sen pun
ayah tidak pernah meminta daripada anak-anaknya. Apa yang ayah mahukan dari
kami hanyalah hidup dengan bahagia bersama keluarga kami tanpa melupakan
dia dan ibu kami. Yang ayah mahukan hanyalah anak-anaknya sering pulang ke
rumah untuk menjengah keadaan mereka berdua. Itu sahaja.

Jika hendak dikira, rasanya seluruh dunia dan isinya pun tidak akan mampu
membalas segala kebaikan dan jasa ayah membesarkan kami adik beradik. Kami
bukan orang senang. Ayah juga bukan orang terpelajar. Ayah tersingkir dari
sekolah akibat keluarga yang kucar-kacir. Ayah juga tidak punya tanah untuk
diusahakan. Tanpa pelajaran dan tanah, apa yang ayah mampu lakukan hanyalah
dengan menjadi buruh kasar.

Bermacam kerja yang ayah lakukan. Menjadi nelayan, menjual aiskerim,
menoreh getah melombong timah dan berbagai lagi. Hinggakan terpaksa tingga
di dalam estet yang lebih mirip kepada hutan. Makan hanya makanan dalam tin
seperti sardin dan sotong kering kerana sukarnya hendak ke pekan membeli
barang keperluan. Bahkan ayah pernah tertimbus di dalam lombong yang runtuh
tebing tanahnya.

Namun itu semua tidak pernah melunturkan semangat ayah untuk terus mencari
nafkah untuk kami anak-beranak. Setiap detik dan ketika, kami sekeluargalah
yang menjadi keutamaan dalam hidupnya. Ayah bekerja siang dan malam bukan
untuk hidup mewah, tetapi sekadar bagi memastikan tidak ada dari
anak-anaknya yang nanti kebuluran. Malah ayah sanggup memakai baju buruk
asalkan wajah anak-anaknya berseri dengan baju yang baru.

Ketika saya mendaftar di UTM, umur ayah sudah menjangkau 54 tahun. Pada
usia begitu, ayah sepatutnya sudah mula kurangkan bekerja. Tetapi usahanya
terpaksa dilipat-gandakan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan saya di
universiti. Mujurlah pada ketika itu ada abang saya yang sudah bekerja dan
membantunya untuk meringankan beban keluarga. Jika tidak, tentu ayah perlu
berusaha dengan lebih teruk lagi.

Kini, pada usia 66 tahun, ayah sudah tidak saya benarkan bekerja. Saya mahu
ayah berehat dan menghabiskan masanya bermanja dengan cucu-cucunya
(anak-anak saya kerana mereka tinggal bersama saya). Kerana saya tahu, ayah
tidak dapat bermanja dengan kami ketika kami masih kecil. Ketika itu ayah
begitu sibuk mencari rezeki. Seronok melihat anak saya begitu manja kepada
datuknya. Biarlah ayah mengisi semula kekosongan yang dia tinggalkan dulu.

Tetapi ayah tidak betah duduk berehat di rumah. Jika ada keluangan, ayah
pasti akan ke kampung kami bagi mengerjakan sebidang tanah yang kami
miliki. Di tanah itu, ayah tanamkan durian, cempedak, jambu batu dan
berbagai tanaman lain. Pulang dari kebun pasti ayah seronok bercerita
tentang kebunnya. Yang menyedihkan, ayah pernah berkata "Aku tak taulah
sempat ke tak makan buahnya. Kau orang aje la yang rasa hasilnya nanti..."

Saya yakin, bahawa kebanyakan ayah di dalam dunia ini menyayangi anaknya
seperti mana ayah saya menyayangi kami adik-beradik. Mungkin di dalam
drama-drama Melayu banyak ditunjukkan sifat ayah yang mata duitan, yang
mengongkong hidup anak dan sebagainya tetapi saya percaya, bilangan ayah
yang sebegitu mungkin terlalu kecil jumlahnya. Malah, jika ayah mengongkong
hidup kita pun, ianya hanyalah untuk kebaikan kita juga.

Seperti mana suatu ketika dulu ayah 'bising' mendesak saya membeli kereta.
Sangka saya, sebenarnya ayah yang teringin memakai kereta. Saya belikan
juga kerana ingin menjaga hatinya. Rupanya ayah tidak berpuas hati
hinggalah saya menjual motor saya. Sebenarnya ayah tidak pernah inginkan
kereta saya sebaliknya ayah hanya mahu keselamatan saya lebih terjamin
kerana risaukan bahaya menunggang motorsikal.

Ayah kita hanyalah manusia biasa. Sebagai manusia biasa, pastinya akan ada
sifat yang negatif di dalam dirinya. Namun itu bukan alasan untuk kita
menjauhkan diri daripadanya. Saya percaya, dalam diri kita juga terdapat
sedikit sebanyak sifat negatif yang tidak mereka senangi tetapi kerana
berpegang kepada hakikat bahawa kita anaknya dan mereka ayah kita, maka
dengan rela mereka menelan semua keburukan itu.

Hari ini saya juga ayah kepada dua orang anak. Saya juga terpaksa berjauhan
dengan anak-anak seperti mana yang dialami oleh ayah suatu ketika dulu atas
nama kerja. Rasanya, hari ini saya semakin faham perasaan ayah ketika
meninggalkan kami. Namun anak-anak saya masih kecil. Mungkin saya masih
belum memahami bagaimana peritnya perasaan apabila seorang anak
mengenepikan atau meninggikan suara terhadap saya...

Tidak ada jaminan kami akan menyambut hari lahirnya yang ke 67 bersama
lagi. Namun kesempatan masih belum tertutup buat saya untuk mencurahkan
lebih kasih sayang dan, jika boleh, kemewahan buatnya dalam saki baki hari
yang ada. 3/4 dari hidupnya sudah dihabiskan untuk membahagiakan sebuah
keluarga. Tetapi saya tidak pasti dapatkan saya luangkan 1/10 dari hidup
saya untuk membahagiakan dia dan ibu saya?

Ya Allah! Ampunilah kami. Dan ampunilah kedua ibu-bapa kami. Dan
kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami masih
kecil. Kurniakanlah kepada mereka kesihatan. Dan limpahkanlah hidup mereka
dengan kesejahteraan dan rahmatMu ya Allah! Jika mereka jauh dari
hidayahMu, maka dekatkanlah. Sesungguhnya, tidak ada pemberi kebaikan
melainkan Engkau ya Allah... Amin... Ya Robbal 'Alami.....

12 December 2006

Susulan Kejadian 5 November

Tempohari, sebaik melangkahkan kaki ke Lapangan Terbang Kerteh, saya
terpandangkan wajah seorang yang telah lama tidak saya temui. Segera saya
menuju ke arahnya dan bersalam dengannya. Kemudian saya memeluknya sambil
menyatakan syukur kerana masih berpeluang untuk bertemu dengannya. Ya.
Memang saya sangat bersyukur masih dapat bertemu dengannya kerana ada suatu
kejadian yang menimpa dirinya baru-baru ini.

Saya telah dikhabarkan bahawa teman saya itu telah terkena serangan angin
ahmar. Dan saya dapat melihat kesan itu pada raut wajahnya. Namun, bukan
itu yang menyebabkan kegembiraan saya apabila bertemu dengannya.
Sebenarnya, teman saya itu adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam
kejadian helikopter terhempas berdekatan pelantar Tapis B pada 5 November
yang lepas.

“Abang dah Subuh bang?” Tanya saya. “Dah… Baru lepas.” “Kalau macam tu,
biar saya ke surau dulu eh?” saya meminta izin untuk berdar ke surau.
Sebenarnya, hari itu saya tiba lewat di lapangan terbang. Maka saya harus
bergegas agar tidak terlepas peluang untuk berjamaah. Harapan saya, selepas
solat nanti dapat saya duduk berbual dengannya dan bertanya tentang keadaan
sebenar pada tarikh kejadian tersebut.

Selesai solat, ketika melangkah menuju ke kantin, saya tersua teman saya
itu sekali lagi. “Jom sarapan bang,” pelawa saya. “Dah… baru lepas. Ni nak
ke tandas pula ni” jawabnya sambil tersenyum. Saya mengangguk sambil
berjalan menuju ke kantin. Harapan untuk berbual dengannya masih menebal.
Malang sekali, sebaik selesai bersarapan, kelibat teman saya tidak lagi
kelihatan. Maka hilanglah peluang untuk mendapatkan cerita yang sebenar…

Sudah lebih sebulan lamanya kemalangan itu berlaku. Sudah lebih sebulan
juga lamanya Allahyarham Capt. Salleh meninggalkan kami dan rakan-rakannya
di MHS (Malaysia Helicopter Services). Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama. Begitulah Capt. Salleh. Allahyarham
meninggal dunia dengan meninggalkan kisah pengorbanannya bagi mengelak
kemalangan yang lebih besar.

Namun, sebelum laporan rasmi dikeluarkan, terdapat juga suara-suara sumbang
yang berkata perkara yang tidak elok berkenaan Allahyarham. Paling
menyedihkan, apabila ada yang mengatakan kemalangan tersebut berpunca dari
kesilapan juruterbang yang merujuk kepada Allahyarham. Saya sememangnya
sakit hati mendengarnya tetapi disebabkan saya juga tidak mengetahui kisah
sebenar, terpaksalah saya mendiamkan diri.

Mujur, pada 23 November lalu pihak pengurusan syarikat tempat saya bekerja
telah memanggil kami dari pihak kesatuan untuk mendengar hasil siasatan
yang mereka dan pihak MHS lakukan berserta dengan langkah yang mereka ambil
selepas kejadian (sebenarnya, kami dari pihak kesatuan yang meminta acara
penerangan itu diadakan). Sekurang-kurangnya, dapatlah juga kami dengar
berita yang lebih sohih.

Majlis diadakan serentak dengan makan tengahari. Ianya dibuat secara tidak
formal agar lebih santai dan lebih mudah untuk bertukar-tukar fikiran.
Ketika itu, hati saya tidak berapa tenteram. Saya risau jika siasatan juga
akan meletakkan kesalahan kepada Allahyarham Capt. Salleh. Al-maklumlah,
orang yang sudah tiada tentu tidak dapat membela diri. Dan ini sememangnya
biasa terjadi dalam kebanyakan syarikat…

“Apa yang juruterbang lakukan adalah bersesuaian dengan garis panduan yang
dikeluarkan oleh DCA (Jabatan Penerbangan Awam).” Tutur sang pengurus yang
membuatkan saya menarik nafas lega. Alhamdulillah… Menurutnya lagi, tidak
ada siapa yang boleh dipersalahkan. Bukan juruterbang, dan bukan juga
pesawat Super Puma itu sendiri. Jika ada yang hendak dipersalahkan,
hanyalah cuaca pada hari tersebut.

Sebenarnya, ketika pesawat itu meninggalkan landasan, cuaca agak buruk.
Juruterbang telah mengambil keputusan untuk menerbangkan pesawat secara
automatik dengan berpandukan bearing yang telah disetkan. DCA membenarkan
perbuatan ini di dalam garis panduannya. Dengan syarat, pada jarak yang
ditetapkan (maaf, saya terlupa berapa meter), juruterbang perlu mengambil
alih dan mengawalnya secara manual.

Dan inilah yang dilakukan oleh Allahyarham. Hanya, pada ketika dia
mengambil alih pemanduan secara manual, cuaca masih buruk dan kadar
penglihatan begitu rendah. Namun Allahyarham mengambil keputusan untuk
meneruskan penerbangan setelah bertanya kepada rakan juruterbang yang lain
yang telah mendarat di pelantar yang berdekatan berkenaan cuaca yang mereka
hadapi.

Malang sekali, saat Allahyarham mampu melihat sekitaran, pelantar Tapis B
sudah berada betul-betul di hadapan mata mereka. Dengan kecekapan dan
pengalaman, Allahyarham berkeupayaan mengelak dari melanggar pelantar
tersebut tetapi kemudiannya dipukul angin yang menyebabkan pesawat terjunam
ke dalam laut. Dan di situlah berakhirnya riwayat seorang juruterbang yang
profesional dan cekap bernama Capt. Salleh…

Di dalam majlis itu juga kami diterangkan bahawa khabar yang menyebut
kebanyakan penumpang menyelamatkan diri melalui ekor pesawat yang terputus
adalah salah sama sekali. Hanya seorang atau dua orang yang melalui jalan
itu. Kebanyakan yang lain telah keluar sama ada melalui tingkap atau
melalui pintu yang ada. Entahlah. Berita sekecil inipun ada orang yang mahu
menyelewengkannya…

Pihak pengurusan MHS dan juga ExxonMobil juga telah bertindak dengan segera
apabila telah mengupah pakar psikologi bagi memberikan kaunseling kepada
mangsa dan juga kepada pekerja yang lain yang bakal menaiki pesawat.
Alhamdulillah… Sebagai pekerja, saya amat menghargai usaha yang telah
mereka lakukan. Mungkin bukan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya telah
menunjukkan keprihatinan mereka.

Dan yang paling penting, mereka telah membuktikan tidak ada apa silapnya
kepada pesawat Super Puma AS332L yang biasa kami naiki. Maka para penumpang
dan keluarga mereka tidak perlu risau tentang keselamatan mereka.
Sungguhpun begitu, kemungkinan untuk kemalangan sentiasa ada. Apa yang
boleh kita lakukan hanya berusaha dan bertawakkal agar Allah memelihara
keselamatan kita.

Dan jika hendak dikira, jumlah mereka yang terbabit dalam kemalangan yang
membabitkan kereta dan motorsikal ketika hendak ke tempat kerja adalah jauh
lebih besar berbanding dengan kemalangan helikopter terhempas seperti ini.
Hanya mungkin kerana kemalangan sebegini jarang terjadi dan kedengarannya
pelik maka ia selalu dijadikan berita utama di dalam akhbar dan televisyen.

Kisah sebenar sudahpun kini diketahui (walaupun masih belum rasmi kerana
kotak hitam yang telah diambil dari pesawat oleh DCA dan telah dihantar ke
Australia untuk penterjemahan masih belum diumumkan penemuannya). Semoga
selepas ini suara-suara sumbang yang hanya tahu menyalahkan orang lain,
sama ada juruterbang, pesawat mahupun syarikat, akan faham mengenainya dan
berhenti bercerita tentang cerita yang paslu.

Semoga roh Allahyarham Capt. Salleh tenang dan sentosa di alam sana. Hanya
Allah yang mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dan sebesar mana
pengorbanan Allahyarham. Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah selalu.
Allahyarham telah pergi dengan meninggalkan nama yang baik. InsyaAllah,
iktibar dari peristiwa ini akan kami ambil dan nama Allahyarham akan tetap
dikenang…

11 December 2006

Oh! Rufaqa


Baru-baru ini negara kita dihebohkan oleh berita kegiatan Rufaqa, sebuah
kumpulan bimbingan Ashaari Muhammad yang juga digelar Abuya oleh
pengikutnya. Rufaqa, yang dikatakan membawa konsep pegangan aqidah
al-Arqam, didedahkan kepada media oleh bekas pemimpin tinggi pergerakan itu
yang telah diharamkan sekitar tahun 1993 atau 1994 dahulu kerana
kesongsangan dalam aqidah yang mereka amalkan.

Berbagai keserongan dalam ajaran yang dibawa oleh Ashaari didedahkan kepada
media dengan harapan, pihak berkuasa akan segera bertindak bagi mengekang
kesesatan ini. Malang sekali pihak berkuasa telah ‘memandai-mandai’ berkata
bahawa pengaruh Rufaqa adalah kecil dan hanya di sekitar Selangor sedangkan
pada hakikat, banyak tempat di Asia Tenggara telah tertanam ajaran aurad
Muhammadiah pegangan mereka.

Apabila menyebut tentang al-Arqam, memori saya akan mengimbas kembali
kenangan zaman persekolah ketika saya di sekolah beasrama penuh di Jasin,
Melaka dahulu. Saya ingat lagi, ketika itu, sebelum saya mendaftar di
sekolah berkenaan, saya adalah seorang pelajar yang liar. Apabila saya
diterima masuk ke sekolah tersebut, ibu saya menyatakan harapan untuk
melihat saya berubah menjadi baik.

Tersentuh dengan harapan ibu, saya mula merapatkan diri dengan surau dan
rakan-rakan ‘kem anak soleh’. Keaktifan saya di sekolah rupanya mengundang
perhatian dari seorang senior. Dan jujurnya, saya juga memerhatikan senior
ini yang pada saya agak pelik dari senior yang lain. Dia sentiasa bergamis
(jubah yang labuh ke buku lali) hijau dan berserban besar juga berwarna
hijau jika tidak berpakaian sekolah.

Sebagai seorang yang hendak berubah, tentulah saya tertarik dengan orang
yang ‘tampak alim’ seperti senior saya tadi. Tambahan pula dia juga
memberikan perhatian kepada saya. Maka persahabatan kami menjadi akrab.
Dari perbualan, tahulah saya bahawa senior ini yang akan saya namakan
sebagai Abang N adalah pengikut kumpulan al-Arqam. Pada ketika itu, saya
tidak benar-benar mengerti motif dan perjuangan al-Arqam.

Yang saya tahu, masyarakat ketika itu menyebut al-Arqam sebagai kumpulan
yang sesat. Disebabkan sifat ingin tahu, akhirnya saya bersetuju untuk ke
markas mereka di Kandang dan bermalam di sana. Saya tidak boleh menganggap
mereka sesat sehinggalah saya lihat sendiri kesesatan mereka. Tambahan
pula, saya lihat Abang N beribadah sama seperti kami, malah berjemaah
bersama.

Sampai hari yang dijanjikan, saya bersama Abang N menuju ke Kandang (nama
tempat di Melaka). Di sana, kami masuk ke sebuah rumah dua tingkat (saya
tidak ingat sama ada rumah teres atau banglo) yang cantik dan tersusun di
dalamnya. Tidak ada perabut mewah malah tidak ada kerusi untuk
bermalas-malasan. Hanya hamparan permaidani yang sering saya panggil
sebagai ‘karpet surau’.

Tidak lama setelah saya tiba, datang seorang lelaki masuk ke dalam rumah
itu. Lelaki itu memberi salam kemudian menuju ke seseorang yang saya
jangkakan sebagai ketua di situ. Setelah berbual beberapa ketika (tentang
subjek yang tidak saya fahami), saya mendengar lelaki tadi berkata “Ana
kurang lima ribu la Syeikh” kepada si ketua. Dengan tenang si ketua
menyeluk saku dan mengeluarkan segulung duit yang saya agak bejumlah
RM5000.

Wow! Jerit hati saya. “Nampak kampungan tapi duit banyak!” hati saya mula
jadi teruja. Seketika kemudian seseorang mula melaungkan azan di dalam
rumah tersebut. Dan kami bersolah berjemaah bersama. Selesai solah, saya
mendengar mereka melafazkan zikir yang tidak pernah saya dengari sebelum
ini. Kerana bimbangkan aqidah saya, maka saya memilih untuk berzikir cara
sebagaimana yang saya belajar di sekolah agama dahulu.

Selesai solah, makan tengahari pun dihidangkan. “Dalam dulang?” tanya hati
saya. Ya… kami makan bersama di atas sebuah talam. “Untuk merapatkan
silaturrahim sesama kita…” tutur Abang N bagaikan mengerti persoalan yang
bermain di kotak fikira saya. Hendak atau tidak saya terpaksa menyertai
mereka. Pada awalnya saya juga merasakan jijik tetapi lama kelamaan, saya
akui ianya menyeronokkan.

Selepas makan, kami bersantai menonton rakaman konsert. Bukan konsert Amy
Search atau Inul Daratista tetapi konsert kumpulan Nada Murni yang diketuai
oleh Asri Ibrahim (kini Rabbani). Lama sebelum ke markas, sememangnya saya
sudah tertarik dengan nasyid-nasyid dendangan Nada Murni. Jadi menonton
rakaman konsert mereka tentu saja mampu menghiburkan hati saya ketika itu.

Suasana konsert juga bukan calang-calang. Siap dengan sinaran laser sebagai
latar belakang mereka. Seperti konsert artis dari Hollywood pula rasanya,
getus hati saya. Sambil-sambil itu, sempat saya menjengah ke sekeliling
rumah. Ternyata dinding rumah mereka dipenuhi dengan gambar-gambar Ashaari.
Malah gambar abuya mereka jauh lebih banyak dari khat ayat yang dipetik
dari al-Quran.

Dalam perjalanan pulang, Abang N bertanyakan pendapat saya tentang
al-Arqam. “Hebat!” kata saya. Sesungguhnya saya teruja. Dan dari cerita
mereka, saya yakin Ashaari bukanlah calang-calang orangnya. Tentu sahaja
dia orang yang cukup hebat. “Nak ikut tak?” tanya Abang N pula. Saya hanya
mendiamkan diri. “Ada apa-apa soalan nak tanya?” tanyanya lagi melihat saya
terus mendiamkan diri.

“Kenapa mereka bersolat berjemaah dalam rumah bang?” tanya saya. “Oh… Untuk
merapatkan silaturrahim sesama ahli.” Saya mengangguk-anggukkan kepala.
“Oh… Sesama ahli je? Dengan penduduk kampung?” tanya saya pula. Abang N
memalingkan mukanya yang masam ke luar tingkap bas yang terbuka. Soalan
saya tidak bejawab. Malah beberapa hari kemudian pun dia masih enggan
bertegur sapa dengan saya.

Setahun kemudian, ketika saya tahun pertama di UTM, saya dapat berita
gerakan al-Arqam diharamkan. Saya agak terkejut. Ramai di kalangan kami
yang berpendapat pergerakan al-Arqam diharamkan kerana kelancangan Ashaari
yang berkata mahu bertanding di dalam pilihanraya menentang Perdana Menteri
ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammed. Kesesatan al-Arqam hanyalah
sebagai satu alasan untuk memusnahkan mereka.

Ashaari didakwa membuat pengakuan mampu bertemu Nabi saw secara sedar.
Ashaari juga didakwa membuat pengakuan bahawa malaikat akan datang bertemu
dengannya untuk bercerita tentang ajal maut pengikutnya. Saya yakin Ashaari
tidak pernah berkata begitu, Saya yakin itu semua hanyalah fitnah
terhadapnya. Saya harap, di lintas langsung di tv nanti Ashaari akan
membuat penafian.

Sayang sekali apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Bagaikan orang bodoh,
Ashaari telah mengaku kesemua tuduhan yang dilemparkan. Hati saya remuk.
Mengapa boleh seorang yang saya lihat sebagai hebat boleh membuat
dakwaan-dakwaan yang bodoh dan songsang seperti itu? Mulai hari itu, saya
meletakkan Ashaari sebagai seorang manusia yang langsung tidak boleh
dipercayai…

Apabila saya menyertai sebuah grup beberapa tahun dahulu, ada beberapa
manusia cuba menanamkan Ashaarisme dalam grup tersebut. Tetapi kali ini,
mereka tampil dengan nama Rufaqa. Setiap posting yang mereka hantar selalu
saya jawab dengan komentar yang sinis dan menyakitkan hati mereka. Hingga
satu peringkat saya telah menerima satu emel penuh dengan caci dan maki
dari anggota mereka.

Benar. Ahli Rufaqa telah memuliakan Ashaari lebih dari Nabi saw sendiri.
Bahkan ketika media Denmark menghina Nabi saw, mereka duduk diam. Tidak
seperti ketika Ashaari dihina. Bagi mereka, Ashaari adalah orang yang
menolong mereka di akhirat kelak. Bukan amalan yang mereka amalkan. Bagi
mereka, Ashaari mempunyai keupayaan untuk memberikan syafaat sama seperti
keupayaan Baginda Nabi Muhammad saw.

Di tempat saya bekerja hari ini juga terdapat dua orang pengamal
Ashaarisme. Kedua-dua manusia ini, sanggup memutuskan persahabatan jika ada
yang berani mengutuk abuya mereka. Malah mereka sanggup berhabis ratusan
malah ribuan ringgit semata-mata untuk bertemu Ashaari (Ashaari tidak mahu
berjumpa dengan semua orang. Hanya orang tertentu sahaja, termasuk mereka
yang telah membayar sekian banyak yuran pernyertaan).

Ashaari telah terbukti seorang penipu. Dia telah secara terang mengaku
menipu orang ramai apabila mendakwa mampu bertemu Baginda Rasulullah saw
secara sedar. Tetapi ada yang mengatakan bahawa dia telah dipaksa. Baiklah,
tetapi dia tetap menipu apabila mengaku mengucapkan sesuatu yang tidak dia
ucapkan. Apakah layak seorang lelaki yang tewas kepada paksaan untuk
menjadi pemimpin.

Yang memelikkan saya, mengapakah setelah jelas status penipuannya, dia
masih mampu menarik kepercayaan umum? Soalan yang mudah. Semuanya kerana
lemahnya sistem pendidikan kita yang secara terang, jelas dan nyata menolak
pendidikan agama dan aqidah sebagai teras pendidikan asas. Dalam sibuk
mengajar anak-anak kita ilmu sains dan Bahasa Inggeris, sang pemerintah
terlupa untuk memberikan penekanan terhadap pendidikan agama.

Dan inilah natijahnya. Sehinggakan seorang yang melafazkan sesuatu yang
mustahil pun dipercayai bulat-bulat. Lebih menyedihkan lagi, golongan ini
telah bertaqlid buta. Berikanlah penerangan sehebat mana sekalipun, mereka
tidak akan celik dan tidak akan berpaling dari ajaran Ashaarisme. Mungkin
selepas ini jika Ashaari mengaku sebagai anak Tuhan pun mereka akan percaya
dengan sepenuhnya.

Saya tahu, jika ada pengikut Rufaqa yang terbaca artikel ini pasti akan
melenting. Tetapi lihatlah. Saya memang bukan seorang yang alim tetapi
apabila mufti dan ulama telah mengharamkan pergerakan ini, apakah jalan
sebenar yang sepatutnya anda semua pilih? Sesungguhnya, tidak ada pemimpin
lebih agung melebihi Nabi Muhammad saw. Apa sahaja yang melebihi Baginda,
maka terang dan nyata ianya suatu dusta.

Al-Arqam, Rufaqa dan Ashaari adalah satu dari permainan syaitan untuk
menarik manusia jauh dari kebenaran Illahi. Dengan dakwaan yang dibuat,
tidak banyak bezanya antara Ashaari dan Ayah Pin.

Wahai pengikut Rufaqa sekalian. Ayuhlah! Kembali ke jalan kebenran…..

10 December 2006

Kisah Sepuluh Ringgit


Sebelum saya memulakan tulisan saya untuk kali ini, ingin saya mengucapkan
terima kasih kepada mereka yang mengucapkan tahniah kepada saya atas
kelahiran anak kedua saya. Apa yang saya bakal ceritakan juga sebenarnya
berlaku 2 hari sebelum kelahiran Nazhurah. Satu kejadian yang mengundang
air mata saya dititiskan. Ianya berlaku di pekan Kuala Selangor sewaktu
perjalanan pulang ke Tanjung Karang.

Disebabkan saya tiba lewat di rumah kakak ipar saya di Teluk Panglima
Garang, maka kami menukar rancangan untuk pulang ke Tanjung Karang keesokan
harinya. Apabila bangun pagi keesokan harinya, isteri saya mendapati badan
Naqibah mulai panas. Tetapi kami merancang untuk meneruskan rancangan kami
dan akan singgah ke klinik apabila tiba di pekan Kuala Selangor nanti.

Di dalam teksi, Naqibah hanya tidur di pangkuan saya sepanjang perjalanan.
Dia hanya terjaga sebaik teksi berhenti di sebuah klinik di deretan sebuah
rumah kedai berhampiran stesen minyak Shell di Kuala Selangor. Kami segera
masuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan untuk Naqibah. Doktor mengesahkan
Naqibah hanya demam biasa. Alhamdulillah. Mungkin kerana telalu kepenatan
semalam.

Setelah mengambil ubat dan membayar kos rawatan, kami keluar dari klinik
dan singgah di butik Anakku yang terletak di sebelahnya. Tiba-tiba isteri
saya dihampiri oleh seorang perempuan dengan anak kecilnya. Dari segi
rupanya kelihatan seperti seorang berbangsa India tetapi dia mengenakan
tudung di kepalanya. Mulutnya pula berkata sesuatu yang sukar untuk kami
fahami sambil menunjukkan duit seringgit di tangan kanannya.

Saya berfikir mungkin perempuan ini seorang peminta sedekah. Saya segera
mengeluarkan duit seringgit dari beg duit saya dan menghulurkan kepadanya.
Dia mengucapkan terima kasih sambil mulutnya masih terus membebel yang saya
tidak faham biji butirnya. Hanya yang saya faham, dia berkata bahawa dia
dan anaknya masih belum makan. Timbul rasa simpati di hati saya
mendengarnya.

Sebelum menaiki teksi di Kelang, sempat saya singgah di mesin ATM untuk
melihat gaji. Jumlah yang tertera mengundang senyuman di bibir. Maklumlah,
bulan ini bonus kami dikreditkan ke dalam akaun kami. Mengenangkan gaji
saya yang agak lebih di bulan ini, saya kira tidak ada salahnya jika saya
hulurkan kepada perempuan itu lebih sedikit juga. Bukan banyak pun. Hanya
RM10 sahaja.

Sebaik melihat kertas merah di tangan saya, wanita itu melonjak
kegembiraan. Lantas dia segera merentap tangan isteri saya dan menciumnya.
Isteri saya kebingungan dengan reaksinya. Saya juga terkedu melihatnya. Dan
yang paling menyedihkan, apabila wanita itu meneriak anaknya sambil berkata
dengan riang “Adik! Kita makan dik!” dan kemudian menarik anaknya ke kedai
makan yang terdekat.

Saya tidak dapat menahan sebak di dada. Saya dapat rasakan ada titisan air
mata di kelopak mata saya. Apabila isteri saya memandang kepada saya, saya
segera menoleh ke arah lain. Malu pula rasanya hendak menangis di hadapan
isteri. Tetapi apa yang berlaku cukup-cukup menyentap emosi saya. Malah
hingga ke hari ini, rasa sebak masih melanda apabila melihat riangnya
wanita itu beroleh duit sebanyak RM10…

“Sedih abang Yang…” kata saya kepada isteri saya sebaik wanita itu jauh
dari kami. “Dia dapat sepuluh ringgit je tapi seronoknya melampau. Abang…
Gaji abang lebih bulan ni. Tapi abang tak ingat pun abang cakap
Alhamdulillah ke tak masa tengok gaji tadi…” Insaf saya. Selama ini saya
menganggap RM10 itu bagaikan kertas yang hampir pupus nilainya tetapi ada
orang lain yang gembira bukan kepalang apabila beroleh wang sebanyak itu.

“Kita ingat Achik dengan Ateh dan cukup susah. Tapi ada orang lain yang
lebih susah, kan?” tambah isteri saya pula yang mengundang lebih keinsafan
dalam diri saya. Betapa saya selama ini kufur dengan nikmat yang Allah
beri. Betapa saya tidak pernah merasa cukup dengan limpahan rezeki yang
dikurniakan. Sedangkan ada orang yang mendapatkan sebahagian kecil dari apa
yang saya perolehi begitu pandai menghargainya.

Saya cuba bayangkan diri saya dalam keadaannya. Tanpa kereta dan tanpa
telefon bimbit, aksesori yang bagi saya sengaja dijadikan keperluan. Bukan
setakat itu, makan juga terpaksa mengharap simpati orang. Bagaimanakan
keadaan saya ketika itu? Akan berimankan saya dengan iman seperti hari ini
ataukah saya menjadi orang yang menyalahkan takdir? Wana’uzubillahi
minzalik. Semoga Allah melindungi kita dari keburukan.

Pulang ke rumah di Johor Bahru, saya bercerita kepada abang saya tentang
apa yang berlaku. “Eh eh dik…” Kata abang saya terharu. “Kalau kita macam
tu entah macamana agaknya” katanya lagi seolah-oleh menyetujui pemikiran
saya. Sebentar kemudian dia menambah… “Tapi… Ada sesetengah tu tipu je. Ada
sindiket. Kadang-kadang tu pengemis ni hidup lagi mewah dari kita. Banyak
berlakon je…” katanya.

Saya terdiam sebentar. Sebenarnya perkara ini pernah ditimbulkan dalam satu
forum di ruang siber. Tetapi bagi saya, ianya sesuatu yang mudah. Setiap
kali tangan ini menghulurkan, saya tidak pernah memikirkan kejujuran orang
yang menadah. Bagi saya, apa yang terlihat di hadapan mata saya ketika itu
adalah kebenaran. Jika dia tiba di hadapan saya sebagai orang miskin, maka
betullah dia seorang yang miskin.

Bagaimana jika dia menipu? Itu urusan dia dengan Allah. Saya tidak risaukan
jika dia seorang kaya yang berlagak miskin. Yang saya risaukan jika dia
benar seorang yang miskin dan memerlukan bantuan tetapi tidak saya bantu
kerana sifat prejudis saya terhadap golongan peminta sedekah. Maka
berdosalah saya sebagai seorang muslim yang tidak menghiraukan saudara
muslimnya yang kelihatan dalam kesusahan.

Lebih dari itu, Allah melalui lidah mulia Nabi Muhammad saw menjanjikan
balasan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersedekah. Tidak pula Allah
meletakkan syarat, jika orang yang kita berikan sedekah itu sebenarnya
adalah seorang yang kaya, maka pahala yang telah dikurniakan kepada kita
akan ditarik balik. Tidak! Allah tidak pernah berjanji begitu. Jadi mengapa
harus saya membebankan fikiran saya dengan perkara yang tidak sewajarnya?

Abang saya mengangguk-anggukkan kepada tanda bersetuju. Begitulah. Jika
hendak melakukan kebaikan, tidak perlu meletakkan syak dan wasangka. Hanya
letakkan harapan dan doa agar wang yang kita dermakan tidak nanti disalah
gunakan. Kedudukan kita sebagai jutawan hari ini tidak mampu menjanjikan
bahawa kita tidak mungkin akan menjadi peminta sedekah pada esok hari. Jika
mahukan bantuan Allah, maka bantulah sesama manusia…

09 December 2006

Kelahiran Anak Kedua


21 November yang lepas saya kembali ke darat selepas bertugas selama 14
hari di tengah lautan. Saya tiba di Johor Bahru kira-kira jam 8 malam.
Dijadualkan untuk menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa kerja kesatuan
pada hari Khamis, maka pada malam keesokan harinya saya berangkat pula ke
Kuala Lumpur. Pada rancangannya, saya akan ke Tanjung Karang selesai
mesyuarat untuk mengambil kereta saya yang baru siap selepas kemalangan.

Disebabkan saya mahu ke Tanjung Karang, maka isteri saya mahu menyertai
saya kerana baginya inilah peluang untuk dia pulang ke kampung sempena cuti
sekolah. Lagipun, isteri saya sedang sarat dan dijangka melahirkan anak
kedua kami pada 20 Disember nanti. Saya hanya bersetuju kerana pada fikiran
saya tidak ada bahaya yang boleh berlaku walaupun tidak digalakkan oleh
doktor untuk berjalan jauh dalam keadaan sarat sebegitu.

Keesokan paginya (Khamis, 23 November), kami tiba di Kelang dengan menaiki
bas ekspress. Mengikut rancangan kami, isteri dan anak saya akan ke rumah
kakak ipar saya di Teluk Panglima Garang dan menunggu saya di sana sebelum
kami bersama bergerak ke kampung di Tanjung Karang. Selepas mendapatkan
teksi untuk membawa anak dan isteri saya ke Tanjung Karang, saya bergegas
mendapatkan bas ke Kuala Lumpur.

Mesyuarat pada hari itu agak panas kerana membabitkan pelan yang memberi
kesan kepada keseluruhan golongan pekerja selain sedikit briefing berkenaan
kejadian helikopter terhempas tempohari (insyaAllah akan saya ceritakan
dalam artikel berasingan). Oleh kerana panasnya isu dan banyaknya perkara
yang diperbincangkan, mesyuarat gagal ditamatkan sebelum jam 5 petang.

Melihat waktu sudah hampir pukul 6, saya meninggalkan mesyuarat sebelum
ianya tamat kerana tidak mahu sampai ke rumah kakak ipar saya terlalu
lewat. Dan malam itu saya tiba di rumah kakak ipar saya sekitar jam 9
malam. Naqibah masih belum tidur. Kami menukar rancangan untuk pulang ke
kampung pada keesokan harinya memandangkan hari telah larut malam dan
kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk ke rumah mertua saya.

Pada pagi Jumaat (24 November), kami bergerak ke kampung dengan menaiki
teksi. Waktu kami tiba, imam masih belum memulakan khutbahnya. Lalu saya
bergegas ke masjid dan Alhamdulillah, sempat menunaikan solat Jumaat tanpa
meninggalkan khutbah. Pulang dari masjid, isteri saya mengadu kesakitan
pada tempat peranakannya dan ada kesan darah. “Mungkin sebab letih jalan
jauh agaknya” tutur isteri saya cuba menenangkan saya.

Kebetulan, kereta saya pula tidak dapat dikeluarkan dengan segera.
Kerja-kerja baik pulih telah beres hanya kelulusan dari pihak insurans yang
belum selesai. Akhirnya, pada petang itu pihak bengkel membenarkan saya
mengambil kereta dan memberitahu bahawa saya perlu datang lagi ke bengkel
itu untuk menandatangani dokumen pelepasan dari insurans. Jadi pada malam
itu juga kami berangkat ke Johor Bahru.

Dalam pada itu, keadaan isteri saya tetap dipantau. Katanya, kesan darah
sudah mula berkurangan tetapi pergerakan bayi di dalam perut juga menjadi
semakin perlahan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berjumpa dengan
doktor pada pagi keesokan harinya (Ahad, 26 November) bagi mendapatkan
pengesahan dan mendapatkan nasihat apa yang terbaik harus kami lakukan.

Setelah menceritakan apa yang berlaku kepada Dr. Noraini, beliau segera
melakukan imbasan pada perut isteri saya. “Bayi normal. Berat dan besarnya
juga normal.” kata doktor membuatkan saya sedikit lega. Kemudian saya
katakan kepada doktor bahawa semenjak pagi bayi kami sudah tidak bergerak
lagi. Dr. Noraini berfikir sekejap sebelum berkata “Masuk wadlah. Nampak
normal tapi kita tak tahu keadaan dia di dalam tu”.

Waktu itu baru jam 1 tengahari. Isteri saya dimasukkan ke dalam satu bilik
yang saya tidak tahu apa namanya. Di situ, perut isteri saya dililit dengan
sejenis tali yang lebar yang kemudiannya dihubungkan kepada satu mesin yang
mencetak graf yang juga saya tidak tahu apa maknanya. Jururawat yang
bertugas memerhatikan graf tersebut kemudian berkata “Eh! Ada sakit ni…”
membuatkan saya bertambah keliru.

Ketika itu Naqibah ada bersama saya. Saya bertanya kepada jururawat yang
bertugas tentang keadaan isteri saya dan dia menasihatkan saya untuk pulang
dahulu untuk menghantar Naqibah dan berjanji akan menelefon saya jika
ada-apa berlaku. Saya pulang dengan keadaan yang bercampur. Gembira kerana
jika isteri saya bersalin hari itu, saya ada bersamanya. Tetapi juga risau
kerana anak saya masih belum cukup bulan dalam kandungan.

Sebelum pulang isteri saya sempat bersalam dan memohon ampun terhadap
apa-apa kesalahan yang pernah dilakukannya. Saya tersenyum sambil mengecup
dahinya. Bagi saya, tidak ada dosa pada diri isteri saya yang perlu saya
maafkan. Tetapi sebagai suami, adalah penting untuk kita menyatakan redho
terhadap isteri terutamanya dalam waktu kritikal sebegini kerana
macam-macam yang boleh terjadi.

Petang itu, selepas Asar saya segera ke hospital semula. Isteri saya telah
ditempatkan ke bilik bersalin. Sewaktu saya menjengah, saya lihat isteri
saya sudah ditukarkan pakaiannya. Saya melihat dahi isteri saya berkerut
manahan sakit. Sesekali dia menekup mulut dan hidungnya dengan alat bantuan
pernafasan yang saya tidak tahu apa namanya tetapi dikatakan boleh
mengurangkan kesakitan yang dialami.

Pada tangan isteri saya tercucuk satu tiub yang terdapat air mengalir di
dalamnya. “Oh… Inilah yang dinamakan induce” bisik hati saya. Sebelum ini,
saya agak induce itu memasukkan air ke dalam kemaluan. Rupanya pada tangan.
Saya ketawakan diri sendiri. Sesekali saya lihat jururawat bertugas
melaraskan kadar titisan seminit apabila melihat erangan isteri saya. Untuk
mengurangkan sakit, jelasnya tanpa dipinta.

Baru saya teringat. Rupanya isteri saya masih belum menjamah makan
tengahari. Allah… Kasihannya. Macam mana ni? Takkanlah saya boleh
suapkannya makanan dalam waktu begini? Risau saya. Sebentar lagi isteri
saya perlu menggunakan sekuat tenaganya untuk menolak bayi yang di dalam
perutnya keluar. Dengan tidak makan, saya risau sekiranya ianya bakal
menjejaskan keselamatan isteri saya.

Sebentar kemudian Dr. Noraini datang melawat. “Lagi lebih kurang 3 jam”
katanya kepada saya selepas memeriksa keadaan isteri saya. Waktu itu hampir
jam 5 petang. Dr. Noraini kemudiannya bercakap-cakap sebentar dengan
jururawat sebelum meninggalkan bilik tersebut. Saya masih di sisi isteri
saya membelai rambutnya sambil menyebut-nyebut kalimah Allah untuk dia
menyebutnya bersama.

Jururawat sekali lagi mengurangkan kadar titisan air yang masuk ke tangan
isteri saya apabila melihat keadaan isteri saya yang bertambah sakitnya.
Seketika kemudian telefon berbunyi. Apa yang saya dengar, saya agak, Dr.
Noraini yang menelefon dan bertanya tentang keadaan isteri saya. Sebentar
kemudian saya dengar jururawat berkata, “Doktor baliklah dulu. Nanti
apa-apa saya call doktor.”

Lebih kurang jam 5.40 petang, kesakitan yang isteri saya alami menjadi
semakin kuat. Jururawat bertugas segera mamanggil Dr. Noraini setelah
memeriksa keadaan isteri saya. Kurang 5 minit kemudian doktor pun tiba.
“Saya ada kat klinik. Tak sedap hati nak balik” terang Dr. Noraini apabila
jururawat tersebut terkejut melihat kehadiran doktor dalam masa yang begitu
singkat.

Dalam hati saya begitu memuji komitmen yang ditunjukkan oleh Dr. Noraini.
Iyalah, beliau boleh terus pulang jika mahu. Tetapi, mungkin naluri
kewanitaan yang ada padanya, beliau sanggup menunggu sekejap kerana ‘tidak
sedap hati’. Dan Alhamdulillah, nalurinya tepat kerana tidak lama kemudian,
tanda-tanda untuk isteri saya melahirkan semakin kuat. “Ayah, cepat
sediakan kamera ayah” ucap Dr. Noraini kepada saya.

Saya memang tidak memiliki kamera video. Apa yang ada hanyalah telefon
bimbit dengan kemampuan perakam video yang baru dibeli pada malam
sebelumnya. Itu sajalah yang saya keluarkan bagi merakam detik-detik
bersejarah itu. Doktor dan jururawat mula sibuk dengan tugas mereka. Saya
juga turut sibuk. Sebelah tangan memang kamera (telefon) manakala sebelah
lagi terus mengusap-usap kepala isteri saya.

Sebentar kemudian, saya melihat kepala anak saya mulai keluar. Perlahan,
perlahan dan kemudiannya, tepat jam 5.52 petang, seluruh badannya
‘terpancut’ keluar. “Allahu Akbar! Ucap Dr. Noraini menyambut anak saya
(inilah perkara yang amat-amat saya suka tentang Dr. Noraini. Ketika
kelahiran Naqibah dahulu, inilah juga ucapan yang difazkannya menjadikan
anak saya mendengar ayat Allahu Akbar sebelum sebarang perkataan lain
menjamah telinganya).

Anak saya tidak menangis. Saya jadi kaget. Jururawat yang ada segera
mengambilnya dari tangan doktor dan kemudian memasukkan satu tiub halus
pada hidung dan mulutnya. Setelah beberapa ketika barulah tangisan anak
saya kedengaran. Saya menarik nafas lega. Isteri saya juga kelegaan. Saya
mengiqamahkan anak saya sebelum jururawat meletakkan tanda pada tangannya
dan kemudian disuakan kepada ibunya.

Alhamdulillah si ibu dan anak selamat. Hanya, seperti kata doktor, ada
sedikit kerosakan pada uri (ada bahagian yang mengeras) yang menyebabkan
anak saya tidak bergerak. Lain-lain perkara adalah normal. Luka pada isteri
saya juga kecil. Saya benar-benar bersyukur ke hadhrat Ilahi yang
mengizinkan saya melihat anak kedua saya ini. Kemudian saya ke kereta untuk
mengambil kelengkapan isteri dan anak saya yang baru melihat dunia.

Sewaktu menyerahkan baju untuk anak saya, saya melihat dia diletakkan di
bawah lampu yang dipanggil warmer. “Anak encik normal cuma kami takut dia
kesejukan sebab tak cukup bulan” kata jururawat di dalam bilik itu. Saya
sempat melihat seorang bayi di dalam cermin kata. “Kenapa tu?” tanya saya
mengkepohkan diri saya. “Tak cukup bulan juga tu tapi tujuh bulan. Anak
encik bulan cukup tapi tak cukup minggu (36 minggu)” ujarnya. Ooo…

Dari bilik itu saya ke bilik bersalin melihat isteri saya. Setelah
dibersihkan, isteri saya diusung di atas sebuah katil ke wad. Saya mengekor
dari belakang. Dalam perjalanan, saya memuji isteri saya di hadapan
jururawat yang bertugas. Kata saya, isteri saya tidak makan tetapi cukup
kuat untuk meneran anak kami keluar. Kedua-dua jururawat yang mengusung
isteri saya tertawa mendengar kata-kata saya.

Tetapi sungguh. Jika tugas melahirkan anak ini diberikan kepada lelaki,
mungkin ramai yang tidak sanggup. Mungkin manusia sudah pupus kerana ramai
yang cuba melarikan diri dari tugas mulia ini. Tetapi apabila tugas ini
diberikan kepada perempuan yang selalu dianggap sebagai lemah, mereka mampu
melakukannya. Bukan sekali, bukan 2 kali bahkan ada yang hingga belasan
kali. Begitulah ‘lemahnya’ mereka.

Di wad, saya menyuapkan isteri saya makan. Saya agak tentunya dia kelaparan
tetapi kasihan kerana masih belum ada selera. Akhirnya saya tontonkan
kepada video yang saya rakam sebentar tadi. Sebenarnya, tujuan saya rakam
pun adalah untuk tontonannya. Bukan untuk orang lain. Di bibirnya terukir
senyuman. Saya tahu, di sebalik kesakitan dan kepayahan, wujud perasaan
kepuasan dan keseronokan melahirkan anak, pengikat kasih kami berdua.

Bayi comel seberat 2.7kg itu saya namakan Nurul Nazhurah Izzati yang
bermaksud, Cahaya Pemimpin Agung Kebanggaanku. Semoga Nazhurah akan menjadi
pemimpin agung yang akan memimpin umat di zamannya memperjuangkan agama
Allah pada jalan yang hakiki dan menentang segala kebatilan. Semoga nama
ini memberi kesan kepada keperibadiannya kelak. Amin ya Robbal ‘Alamin…

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih
buat warga kerja Hospital Pakar Puteri yang memberikan komitmen terbaik
mereka dalam memastikan anak dan isteri saya selamat. Juga buat Dr. Noraini
yang begitu profesional tetapi amat peramah. Semoga kemuliaan hati dan
keikhlasan tugas anda sekalian dibalas oleh Allah dengan sebaik-baik
balasan di dunia dan si akhirah.

Saya tahu, kemungkinan besar mereka tidak membaca artikel ini mahupun
menjengah ke blog saya. Tidak mengapa. Yang penting Allah mengetahui betapa
ikhlasnya hati ini berterima kasih kepada mereka. Dan buat mereka yang
belum berkahwin atau masih merancang keluarga, jangan tunggu lagi.
Percayalah Allah datangkan setiap anak itu dengan rezeki masing-masing,
insyaAllah…..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.