31 October 2006

Eidulfitri 1427H


Agak lama saya tidak menulis. Bukan apa. Di musim² raya begini, ada banyak rumah yang perlu dikunjungi selain beberapa perkara lain yang perlu dibereskan. Maaf kepada sesiapa yang mencari updates di blog ini. Juga, rasanya masih sempat untuk mengucapkan Selamat Hari raya Eidulfitri kepada semua pengunjung blog yang sentiasa memberikan sokongan. Dipohon ampun dan maaf sekiranya ada tulisan saya yang melukakan hati anda semua.

Pada hari kedua atau ketiga raya, ada tersiar di akhbar Berita Harian mengenai pengalaman beraya di pelantar minyak milik ExxonMobil iaitu Seligi ‘A’. Untuk makluman, pelantar Seligi ‘A’ adalah pengeluar minyak terbesar dalam milikan ExxonMobil. Manakala pelantar tempat saya bekerja, Jerneh ‘A’ adalah pengeluar gas yang terbesar. Cemburu juga mengenangkan mengapa Seligi yang dipilih, bukan Jerneh.

Dalam pada itu, ada juga yang mengemel saya meminta saya menulis tentang pengalaman beraya di pelantar. Sebenarnya, pada Eiduladha tahun lepas, saya telahpun menulis artikel berjudul ‘Hari Raya di Tengah Lautan’. Tetapi, disebabkan pengalaman beraya di pelantar tidak sentiasa sama pada setiap tahun, saya kira bukanlah sesuatu yang sia² jika saya menulis tentang sambutan Eidulfitri di tahun ini pula.

Biarlah saya menulis bermula dari hari sebelum raya hinggalah pengalaman saya pulang ke kampung menyambut ‘saki-baki’ raya yang masih ada. Sebenarnya, pada Ramadhan tempohari, kami di Jerneh mempunyai projek shutdown bersempena dengan rig gerudi yang telah siap kerjanya dan ingin meninggalkan pelantar kami. Demi keselamatan, jika ada heavy lifting, maka produksi akan dihentikan. Maka dikesempatan inilah projek shutdown diadakan.

Maka dalam pada berpuasa, kami dibebankan dengan kerja² yang berat. Bayangkanlah, dalam keadaan tidak boleh minum di siang hari, kami terpaksa bekerja lebih dari kerja di hari² biasa. Nafsu di dalam meronta² meminta ditinggalkan puasa untuk barang sehari dua. Tetapi, bila dikenang² kembali, terasa rugi pula. Lagipun, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan. Umat Islam harus terus produktif meskipun dalam keadaan ‘kekeringan’ seperti itu.

Tambah pula, saya ada berbual dengan seorang pembantu mekanik. Jika hendak dikira, kerjanya jauh lebih berat dari kerja saya. Satu hari, saya bertanya kepadanya adakah dia masih berpuasa. Jawabnya, “Takkan nak buka. Kalau setakat macam ni dah tahan, macam mana nak berjuang?” yang dimaksudkan berjuang itu sebagai jihad fisabilillah. Insaf saya. Jika orang tua yang kerjanya lebih berat boleh bertahan, apakan lagi saya yang masih muda ini. Bukan?

Disebabkan shutdown, maka pelantar kami dipenuhi orang. Jika biasanya TOB (Total On-Board – Jumlah orang di atas pelantar) sekitar 30 hingga 40 orang, pada bulan Ramadhan ini ianya meningkat sehingga lebih 150 orang. Sehingga bilik saya, yang biasanya khusus untuk saya, juga terpaksa dikongsi. Sudah bertahun lamanya saya tidur sendiri. Terasa kekok pula apabila ada orang lain yang turut di bersama di dalam bilik tersebut (katil berasingan…).

Tiba waktu berbuka, lebih rumit. Dewan makan atau galley yang boleh menampung biasanya hingga ke 100 orang menjadi penuh sesak. Hinggakan meja ping-pong pun terpaksa dijadikan meja makan. Itupun mujur ada yang bersolat Maghrib dahulu sebelum makan. Untuk mengelakkan tiada tempat duduk, terpaksalah menempah awal meja dengan meletakkan sepinggan makanan di tempat yang menjadi pilihan.

Tentang hidangan berbuka, memang hebat. Murtabak, karipap, mi goreng, bubur lambuk dan bermacam lagi juadah yang terdapat di darat juga dapat kami nikmati di tengah laut. Sekurang²nya, tidaklah terkilan sangat. Suasana makan juga secara berkelompok atau beramai², jadi suasana kekeluargaan itu timbul. Memang kami di tengah lautan amat rapat antara satu sama lain. Sudah seakan² satu keluarga yang besar.

Pada malamnya, terdapat upacara solat terawih berjamaah. Alhamdulillah, setiap tahun pasti ada saja sukarelawan untuk menjadi imam dan bilal. Suasananya sama seperti masjid² dan surau² biasa. Ada bilal yang melaungkan selawat kemudian disambut oleh makmum dengan meriah. Tetapi pada kebiasaannya, hanya lapan rakaat yang ditunaikan. Ini mengambil kira kebanyakan mereka letih bekerja di siang hari dan ingin berehat segera.

Keadaan di surau juga seperti di galley. Perlu datang awal untuk menempah tempat. Jika tidak, terpaksalah bersolat bersendirian. Atau jika bernasib baik, mungkin dapat berjemaah dalam kelompok yang lebih kecil dengan mereka yang bersolat lewat kerana terpaksa turun bekerja selepas Maghrib. Alhamdulillah, walaupun di tengah lautan, ramai yang tidak mengabaikan ibadah yang istimewa ini. Hanya keadaan surau yang sempit sahaja menjadi masalah.

Tetapi itu semua keadaan di pertengahan puasa. Projek shutdown kami hanya memakan masa kurang dari seminggu. Jadi, menjelang hari raya, suasana mula berubah. Sehari demi sehari, ramai orang yang meninggalkan pelantar. Hingga akhirnya TOB kami hanya 29 orang ketika menyambut Syawal. Ditolak bukan muslim, jumlah kami hanya lebih kurang 20 orang. Ketika inilah suasana menjadi sayu.

Ketika berbuka, tidak perlu lagi berebut tempat duduk. Malah banyak meja yang kosong. Malah ketika bertarawih, hanya beberapa saf sahaja yang dipenuhi orang. Saya kembali berseorangan di dalam bilik. Paling sayu, di malam raya hanya beberapa orang sahaja yang bertakbir. Tidak ada lagi gegak gempita seperti orang menyambut selawat ketika pertengahan Ramadhan tempohari.

Sebenarnya, mengikut jadual, saya sepatutnya pulang pada pagi hari raya, 24 Oktober tempohari. Tetapi setelah diambil kira banyak perkara, maka saya ambil keputusan untuk bertukar dengan teman saya. Bermakna, saya pulang pada keesokan harinya, hari Rabu manakala relief saya yang sepatutnya datang bekerja pada hari Selasa, berpeluang untuk menyambutnya bersama keluarga untuk satu hari.

Bayangkanlah, bagaimana perasaan apabila ketika orang sedang sibuk bertakbir di masjid selepas solat subuh, kita sedang mengusung beg ke lapangan terbang untuk menunggu helikopter yang akan membawa kita ke tengah lautan. Tentu sayu. Maka atas alasan itulah, saya berkorban untuk satu hari. Sekurang²nya, dapat juga saya menunaikan solat sunat Eidulfitri. Jika tidak, saya hanya akan bertakbir di dalam helikopterlah nampaknya.

Hari itu, ada juga seorang teman saya yang terpaksa datang pada pagi raya disebabkan seorang rakan kami, India Kristian, enggan bertukar jadual dengannya. Mujurlah helikopter pada pagi itu tiba agak awal. Jadi, ketika bertakbir kami sudah mendengar bunyi helikopter mendarat. Kami teruskan bertakbir sehingga teman saya tadi sempat bersiap dan menyertai kami untuk menunaikan solat sunat Eidulfitri bersama.

Seperti juga solat tarawih, solat sunat Eidulfitri juga pada kebiasaannya akan sentiasa ada orang yang secara sukarela menjadi imam dan bilal. Jadi solat kami tunaikan seperti biasa. Lengkap dengan takbir dan khutbahnya. Teks khutbah pula biasanya kami perolehi dari khutbah di darat untuk tahun lepas. Hanya tahun ini agak istimewa. Khutbah disampaikan oleh seorang peserta Jemaah Tabligh dengan gaya bayan tanpa mengikut teks.

Selepas bersolat, kami turun ke galley makan beramai². Hidangan pada pagi itu hanyalah nasi dagang. Sungguhpun hanya nasi dagang, ianya kegemaran saya. Bagi saya, saya lebih suka makan nasi dagang dari ketupat dan lemang. Namun begitu, untuk hidangan jam 10 pagi, diadakan acara buffet. Hidangan rasmi raya seperti ketupat nasi, ketupat palas, lemang, rendang dan lain² hidangan istimewa pagi raya ada disajikan.

Suasanyanya tidak jauh berbeza dengan sambutan di darat, bukan? Ya, jika dikira dari sudut makanan dan ibadahnya. Tetapi satu perkara yang amat kami ridukan adalah bersalaman dan bermohon maaf sesama keluarga. Inilah perkara yang tidak ada harga dapat membelinya. Tetapi apakan daya. Ini adalah kerjaya yang kami pilih sendiri. Lagipun, pengorbanan kami ini untuk kebaikan semua juga kerana tenaga letrik bergantung kepada sumber gas.

Untuk sesetengah penyelia pelantar yang memahami, kami akan diberikan peluang untuk telefon keluarga pada pagi hari raya itu. Dan Alhamdulillah, meskipun penyelia pelantar saya bukan muslim (Cina Buddhist) tetapi beliau ‘membuka’ talian telefon untuk awam. Bayangkanlah kesayuan hati apabila memohon keampunan dari ibu bapa dan menerima maaf dari anak isteri hanya melalui lubang speaker gagang telefon yang kecil itu.

Selepas dari itu, kerja akan dijalankan seperti biasa. Tetapi tidak ada tekanan untuk menyiapkan kerja seperti hari² lain. Untuk yang bekerja shift malam, harinya dihabiskan dengan berbual atau bermain dengan konsol permainan PS2. Hidangan kuih raya dan makanan pagi raya termasuklah sate hanya terbiar di atas meja. Bukanlah tidak menyelerakan tetapi… Itu semua tidak begitu membawa erti.

Keesokan harinya giliran untuk saya pulang. Pada kebiasaannya saya telahpun menempah tiket balik seminggu sebelum pulang. Tetapi kali ini, saya dimaklumkan bahawa tiket bas sudah habis di awal Ramadhan lagi. Pada awalnya saya begitu sakit kepala memikirkan bagaimana hendak pulang ke kampung. Mujurlah Allah selamatkan saya apabila seorang dari teman yang juga penyelia saya turut balik sama hari dengan saya.

Jadi saya menumpangnya untuk ke Kuantan pada awalnya. Tetapi sebelum itu, saya mengikutnya beraya di rumah kawannya dan juga seorang dari pelatih saya. Dalam perjalanan ke Kuantan, saya sibuk memikirkan bagaimana agaknya jiwa tiket bas di Kuantan juga kehabisan. Akhirnya saya minta teman saya tadi hantarkan saya ke Lapangan Terbang Kuantan kerana saya ingin mengambil penerbangan ke KLIA.

Tetapi teman saya datang dengan idea yang kelihatan lebih menarik. Dia mencadangkan saya untuk terus ke Seremban dan mengambil komuter dari sana terus ke KL Sentral. Dari KL Sentral, saya boleh menaiki komuter untuk ke Kelang. Perancangannya nampak logik dan berkesan jadi saya pun bersetuju. Namun sebenarnya kami terlupa untuk mengambil kira satu perkara. Kesesakan lalulintas!

Jalan ketika itu telah mula dipenuhi kereta yang mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja keesokan harinya. Jadi waktu perjalanan kami menjadi lebih perlahan. Tambah parah apabila perjalanan dari Kuala Pilah sesak dengan lebih teruk lagi. Kasihan saya melihat teman saya kerana rumahnya berada di Kuala Pilah tetapi disebabkan saya, dia jadi pulang lewat ke rumah kerana terpaksa menghadap trafik ke Seremban.

Kami tiba di Seremban agak lewat. Ketika saya membeli tiket di kaunter, sempat saya bertanya kepada kerani kaunter pukul berapakah tren terakhir di KLSentral. “Nak ke mana bang?” tanyanya mesra. “Oh… Tren ke Kelang dah habis…” jawabnya sebaik saya nyatakan arah tujuan saya. Saya menjadi begitu hampa. Nampaknya saya terpaksa bermalam di Kuala Lumpur untuk satu malam.

Kemudian saya terfikir mungkin saya boleh mengambil teksi dari KL Sentral ke Kelang. Tetapi idea teman saya jauh lebih baik. Kami bertanyakan kepada pemandu teksi di situ berapakah tambangnya untuk ke Kelang. Mulanya saya bertanyakan kepada pemandu Melayu tetapi tidak seorangpun yang sanggup ke sana. Almaklumlah, jalan sesak. Tentu sahaja mereka mahukan perjalanan yang lebih selesa.

Akhirnya saya bertanya kepada seorang pemandu teksi berbangsa Cina. “RM110” katanya apabila saya bertanyakan tambangnya. Setelah berfikir beberapa minit, akhirnya saya bersetuju. Kerana jika saya bermalam di Kuala Lumpur, saya terpaksa membelanjakan beberapa ratus juga untuk bilik hotel. Setelah mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan teman saya, kami memulakan perjalanan.

Jalan memang begitu sesak hinggakan saya tiba begitu lewat di Kelang. Hampir pukul 12 tengah malam. Selepas menurunkan saya di hentian bas ekspress, pemandu teksi itu segera meninggalkan saya termangu sendirian kerana mencari teksi yang boleh menghantar saya ke Kuala Selangor pula. Setelah mundar-mandir beberapa ketika, akhirnya saya ditegur oleh seorang pemandu berbangsa India. “RM50. Boleh?” Saya segera menaiki teksinya.

Saya tiba di Kuala Selangor agak lewat. Ketika itu sudah lebih dari jam 1 pagi. Tetapi saya bersyukur kerana masih sempat sampai ke kampung. Sekejap di Kuala Selangor, kereta biras saya datang untuk menjemput saya ke Tanjung Karang. Alhamdulillah, dengan izin Allah malam itu saya dapat bermalam di rumah mertua saya. Dapat berjumpa dengan isteri dan anak saya. Walaupun terpaksa berbelanja lebih.

Hari raya tahun ini memang istimewa. Selain dari pengalaman pertama menyambut Eidulfitri di tengah lautan (saya sudah banyak kali menyambut Eiduladha di pelantar), pengalaman ketika pulang juga memberikan pengajaran. Perjalanan bersama dua orang pemandu teksi itu juga banyak memberikan saya pengajaran yang, isyaAllah akan saya kongsikan dalam penulisan yang akan datang.

Sungguhpun saya terpaksa menyambut 1 Syawal di tengah lautan tanpa keluarga tercinta, namun rasanya keadaan saya masih tidak seteruk mana jika dibandingkan dengan abang saya yang sehingga hari ini masih belum mampu bertemu dengan isteri dan anak² termasuk yang baru dilahirkan pada 12 Ramadhan yang kini berada di Kelantan akibat perbelanjaan (terutama harga minyak) yang mahal melampau.

Hari raya, walaupun di manapun kita menyambutnya, tetap akan meriah dan bermakna jika kita mahu jadikan ianya bermakna. Sesusah manapun kita, percayalah ada orang yang lebih susah lagi hidupnya. Bersyukurlah. Walaupun kita menyambut hari raya jauh dari keluarga, sekurang²nya keluarga kita masih ada. Bagaimana dengan mereka yang kini hanya tinggal sebatang kara? Terutama saudara kita yang berada di Afghan, Iraq, Lubnan dan Palestin…..

22 October 2006

Poligami


Hari ini, ketika menyelak² akhbar harian, saya agak terkejut membaca berita
perceraian penyanyi rock Awie dan isterinya Arni Nazira. Memanglah saya
pernah terdengar mengenainya sebelum ini tetapi saya menganggapnya hanyalah
khabar angin biasa. Terkilan juga. Walaupun saya sudah lama tidak mengikuti
perkembangan dunia hiburan, tetapi saya akui saya pernah meminati Awie dan
kumpulannya.

Khabarnya perceraian itu disebabkan oleh perkahwinan kali kedua Awie dengan
Rozana Misbun, adik kepada pelakon Haliza Misbun. Dan khabarnya juga, Arni
menjadi berang setelah mengetahui berita perkahwinan yang tersebar
berikutan penyebaran email memaparkan gambar pernikahan Awie hanya setelah
setahun ianya terjadi. Hm… Mungkin yang menyebarkan email itu telah berpuas
hati dengan apa yang terjadi.

Saya menjadi lebih terkilan apabila mengetahui punca perceraian mereka.
Entah mengapalah Arni lebih suka memilih neraka (kerana wanita yang meminta
cerai tidak akan masuk syurga) berbanding dengan payung emas yang
dijanjikan di syurga. Apapun, saya tidak mahu masuk campur urusan rumah
tangga orang lain. Mungkin mereka ada masalah lain. Cuma saya berharap,
wanita lain tidak akan mengikut jejak langkah Arni yang saya kira kurang
bijak ini.

Seketika kemudian saya teringat tentang kisah seseorang yang saya kenal.
Orang ini, setakat yang saya ketahui, adalah merupakan seorang lelaki yang
cukup menyayangi anak² dan keluarganya. Jadi, apabila saya diberitahu
tentang kisahnya yang bermain kayu tiga, menduakan isterinya dengan seorang
wanita lain (khabarnya janda muda), saya agak terkejut dan lebih lagi
terkilan.

Jika dulu, keluarganya menjadi keutamaannya, kini tidak lagi. Anak² dan
isteri sering ditinggalkan dengan alasan bekerja. Tetapi semuanya
terbongkar apabila adik iparnya sendiri melihat dia berbuka puasa bersama
wanita itu. Mereka bertanya kepada saya, apa yang boleh kami lakukan untuk
menyelamatkan keadaan. Buat apa lagi? Hendak diberitahu isterinya? Boleh
jadi menjahanamkan rumah tangga mereka, bukan menyelamatkannya.

Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk menasihati lelaki itu tetapi
nampaknya kami tidak berpeluang untuk bersemuka. Dia sentiasa sibuk. Isteri
saya tentu sahaja geram apabila mendengar kelakuan lelaki terbabit. Tetapi
saya katakan kepadanya, saya sendiri belum tentu baik jahatnya. Lebih baik
dia jaga saya baik². Jangan nanti kutuk² suami orang, akhirnya suami
sendiri berkelakuan lebih buruk lagi.

Ia membuatkan saya teringat kepada peristiwa yang berlaku hampir setahun
yang lalu. Secara tiba², kotak masuk email saya didatangi oleh email dari
seorang gadis. Menurutnya, dia amat tertarik dengan artikel yang saya tulis
dan ingin bersahabat dengan saya. Dan bagi saya, setakat bersahabat tidak
ada salahnya. Saya pun melayannya sebagaimana sahabat yang lain. Tanpa saya
duga berlaku sesuatu yang lebih dari itu.

Akhirnya dia berterus terang bahawa dia telah terpikat kepada saya. Dalam
keadaan ini, saya tidak berahsia sedikitpun kepadanya. Saya telah
memaklumkan kepadanya akan status diri saya. Saya telah berkahwin dan
telahpun mempunyai anak. Bahkan nama Abu Naqibah datangnya dari nama anak
saya. Namun katanya, dia tidak kisah bermadu. Bahkan ibunya juga
menggalakkan dengan mengingatkan tentang payung emas di syurga.

Saya tetap menolak dengan berbagai alasan. Dan alasan yang paling popular
tentunya saya tidak berkelayakan untuk berpoligami. Bukan setakat masalah
fizikal seperti ekonomi, bahkan dari segi rohani. Iaitu ilmu dan iman saya
tidak memadai untuk saya memelihara dua orang isteri. Rupa²nya dia begitu
serius dan memujuk saya dengan memberikan berbagai ‘nas dan dalil’ mengapa
layak untuk berpoligami.

Akhirnya saya memberikannya 3 situasi. Situasi pertama, keadaan kerja saya.
Saya bekerja 2 minggu di lautan tanpa pulang ke rumah. Jadi saya hanya
mempunyai masa selama 2 minggu untuk bersama keluarga. Jika saya mempunyai
dua orang isteri, setiap isteri hanya akan bersama saya selama seminggu
bagi setiap bulan. Dia sanggup, katanya. Betul. Dia mungkin sanggup tetapi
bagaimana pula dengan anak²? Kasihan mereka…

Situasi kedua, saya katakan kepadanya betapa lemahnya iman saya sehinggakan
saya bimbang akan terjadi banding membandingkan antara dia dengan isteri
saya. Oh, awak tak boleh begitu. Jangan perbandingkan kami, katanya. Tidak,
kata saya. Perbandingan tetap akan wujud. Mungkin saya akan lebih
menyayanginya kerana dia masih ‘baru’. Jika begitu, bagaimana agaknya nasib
isteri pertama saya?

Atau mungkin, saya akan lebih menyayangi isteri pertama saya kerana layanan
yang diberikan kepada saya memang sangat baik. Jika begini pula yang
berlaku, apakah dia sanggup menerima keadaan bila mana saya berada di
sisinya tetapi saya asyik memikirkan isteri pertama saya hanya kerana dia
tidak mampu melayan saya sebagaimana isteri pertama saya lakukan kepada
saya? Sudah tentu dia akan berkata tidak

Dan situasi ketiga, saya tanyakan kepadanya. Andaikata dia sudah menjadi
isteri kedua saya. Tiba², saya ingin berkahwin untuk kali ketiga. Apakah
dia sanggup melepaskan saya? “Em… Mungkin tak kot…” jawabnya perlahan. Lalu
saya katakan kepadanya. Jika dia tidak sanggup melepaskan saya untuk
berkahwin kali ketiga, mengapa dia menjangka isteri saya sanggup melepaskan
saya untuk berkahwin buat kali kedua.

Akhirnya dia bersetuju dan mengambil keputusan untuk menerima pinangan
seorang ustaz, yang saya kira jauh lebih layak untuk menjadi suaminya
berbanding diri saya sendiri. Segalanya ini saya rahsiakan dari pengetahuan
isteri saya dan saya ceritakan hanya baru² ini ketika timbul kes lelaki
yang saya ceritakan pada awal tadi. Bila isteri saya bertanyakan mengapa,
saya katakan apakah jika saya bercerita, dia dapat menerima cerita saya?

Dia hanya tersenyum dan saya yakin dengan jawapannya berdasarkan senyuman
itu. Betul. Jika saya cuba berlagak jujur dan berterus-terang kepadanya,
tentu dia akan bersifat menjaga saya dengan ‘lebih ketat’ agar tidak boleh
‘dirampas’ oleh sesiapapun. Tentu sifat cemburunya akan membara dan
akhirnya, mungkin rumahtangga kami akan musnah atas sesuatu yang sepatutnya
mampu menjaga keharmonian rumahtangga kami.

Saya seorang muslim. Sebagai muslim, adalah HARAM bagi saya menolak
poligami. Tidak pernah sekali² saya katakan berpoligami itu salah. Malah
bagi saya, poligami boleh menyelesaikan banyak masalah dalam masyarakat
amnya dan keluarga khususnya. Apa yang menjadi masalah ialah iman dalam
diri saya. Saya bimbang, pembawaan yang tidak betul akan merosakkan sistem
kekeluargaan Islam yang indah ini.

Iman saya begitu lemah dan rendah. Bagaimana boleh saya bersifat adil
sepertimana Nabi Muhammad saw dengan iman selemah ini? Baginda pernah
diriwayatkan, meminta dipapah ke rumah isterinya apabila tiba giliran
mereka biarpun dirinya sendiri dalam keadaan uzur. Ini kerana Nabi saw
tidak mahu sedikitpun berlaku zalim kepada isteri² Baginda. Baginya,
giliran mereka adalah hak yang boleh dituntut di hadapan Allah kelak.

Sungguhpun Nabi saw mengakui Baginda tidak mampu menyayangi isteri Baginda
secara saksama, namun dari segi pemberian nafkah, meluangkan masa bersama
dan semua hak² lain tidak pernah terabai. Persoalannya, sekiranya saya mahu
mengamalkan poligami, mampukah untuk saya bertindak sebegitu? Saya kurang
yakin. Seperti saya katakan tadi, saya bimbang jika nanti saya teringatkan
isteri pertama saya ketika sedang bersama dengan isteri kedua.

Ada banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum seorang lelaki mengambil
keputusan untuk berpoligami. Bagi diri saya, isteri saya akan menjadi kayu
pengukur sama ada saya layak atau tidak. Selagi mana isteri saya tidak
bersetuju untuk saya berpoligami, selagi itulah saya tidak layak. Kerana,
jika seorang isteri saya gagal didiki dengan pegangan Islam yang tulen,
apakah saya mampu mendidik seorang lagi isteri?

Pun begitu, poligami sebenarnya mampu membendung gejala sosial dan maksiat.
Ada kalanya, si suami memerlukan sesuatu yang isteri tidak lagi mampu
berikan. Hendak diceraikan, rasa sayang masih menebal. Apakah yang isteri
sanggup ketika ini? Apakah seorang isteri lebih rela melihat suaminya
berzina daripada merelakan dirinya dimadukan? Sesungguhnya, tidak ada
syariat Islam itu yang sia²…

Poligami boleh menjadi pintu kebahagiaan dan boleh menjadi anak kunci
kepada pintu syurga. Tetapi ia juga boleh menjadi tiket untuk ke neraka.
Bermain dengan hak orang bukanlah perkara yang mudah. Apatah lagi hak ahli
keluarga sendiri. Hak seorang isteri. Maka kerana itu, saya tidak merasakan
diri saya layak untuk berpoligami. Cukuplah. Isteri saya, biarpun bukan
isteri terbaik di dunia, tetapi tetap yang terhebat buat diri saya…..

15 October 2006

Fenomena Filem Melayu


Pada suatu malam, saya memasuki bilik seorang teman. Niat di hati untuk
berbual² sambil 'menunggu mata mengantuk'. Atau mungkin juga boleh
'menonton' dia bermain konsol permainan video PS2. Namun sebaik memasuki
biliknya, saya dapati teman saya dan seorang yang lain sedang asyik
menonton sebuah filem Inggeris. Saya tidak berminat untuk menonton tetapi
untuk terus meninggalkan mereka, saya rasa bukan perbuatan yang manis.

Jadi saya duduk² sebentar. Disebabkan saya tidak berminat dengan filem yang
ditayangkan, saya alihkan perhatian saya kepada deretan vcd yang terletak
di atas mejanya. Dalam banyak tajuk yang ada di situ, yang cukup saya
tertarik sekali ialah sebuah filem Melayu yang sedikit masa lalu menjadi
topik perbualan hangat akibat adegan² 'separa lucah' yang terdapat di
dalamnya. Filem tersebut berjudul 'Remp-It'.

Saya tidak pasti dari mana datangnya nama Remp-It tersebut tetapi rasanya
ianya terhasil akibat usaha untuk mengkomersilkan nama 'Mat Rempit', kutu
jalanan yang terkenal dengan lumba motorsikal haram dan aksi bahaya mereka
di jalan raya. Filem 'Remp-It' ini dikatakan mengutarakan isu kehidupan
sebenar golongan ini yang juga sering dikaitkan dengan seks rambang dan
beberapa aktiviti songsang yang lain.

"Banyak bogel ke dalam cerita ni?" tanya saya kepada teman saya sambil
memegang sampul vcd berkenaan. "Mana ada bogel... Pegang² dada adalah..."
jawabnya sambil mata tidak dialihkan dari kaca televisyen. Fooh!, kata saya
di dalam hati. Hebat filem Melayu sekarang ini. Saya meneliti nama
pelakonnya... Farid Kamil & Julia Hana. Melayu! Bermakna adegan itupun
membabitkan pelakon Melayu... Hebat pelakon Melayu sekarang ini!

Bukanlah saya tidak tahu bahawa filem ini tidak menampilkan adegan bogel.
Saya telah mengetahui banyak fakta berkenaan filem ini walaupun belum lagi
menontonnya. Semuanya dari pembacaan dan juga 'laporan' dari teman² yang
pernah menonton. Tetapi sengaja saya tanyakan begitu kepada teman saya.
Mungkin boleh dikatakan sebagai gurauan atau sindiran walaupun saya tahu
sindiran itu tidak ada kena mengena dengan teman saya tadi sebenarnya.

Kemudian saya teringat kepada isu yang hangat diperkatakan di ruangan cyber
melalui perbincangan dalam milis sekarang ini. Iaitu mengenai kenyataan
Mawi yang menetapkan syarat menolak adegan berpegangan tangan dengan wanita
jika mahu dia membintangi sesuatu filem. Dikatakan kenyataan ini telah
menyinggung perasaan pelakon² senior seperti pelakon terbaik, Rosyam Noor
dan pelakon tua, M. Rajoli.

Saya sebenarnya tidak mempunyai maklumat yang sempurna mengenai perkara ini
kerana saya agak jarang membaca suratkhabar. Apa yang saya perolehi adalah
berdasarkan email² yang saya terima dan juga cerita dari teman² yang memang
fanatik. Sama ada fanatik meminati Mawi atau fanatik membenci Mawi. Sudah
tentulah ada yang menyokong pernyataan Mawi dan ada juga yang
menyifatkannya sebagai 'perasan baik'.

Saya tidak mahu dikatakan berada di mana² pihak. Saya juga tidak mahu
memberi komen sama ada patut atau tidak Mawi memberikan kenyataan yang
sedemikian. Baik atau buruknya seseorang, tidak boleh dinilaikan hanya
kerana patah perkataan yang dituturkannya semata². Juga kita tidak boleh
mengatakan seseorang itu jahat hanya kerana kita melihat amalannya kurang
dari apa yang kita amalkan.

Tetapi yang menarik, apakah perlu untuk seorang pelakon Melayu yang mengaku
Islam berpendirian sebegitu dalam menilai sesebuah tawaran lakonan yang
diterimanya. Dan apakah perlu seorang penonton Melayu yang mengaku Islam
menyokong kenyataan sebegitu atau sebaliknya mentertawakannya kerana
dikatakan cuba berlagak baik di dalam industri yang memang sudah terkenal
dengan maksiat dan kemungkarannya.

Benarkah industri perfileman tanahair dipenuhi dengan maksiat dan
kemungkaran? Ya juga. Tetapi bukankah kita ada beberapa filem yang menyeru
kepada kebaikan? Ataupun sekurang²nya cuba membangkitkan realiti masyarakat
setempat dengan harapan, ianya mampu membangkitkan kesedaran sekaligus
mengubah masyarakat untuk menjadi yang lebih baik, mirip kepada apa yang
pengarah filem itu mahukan?

Kita ada filem seperti Abang yang berkisar tentang konflik kekeluargaan.
Juga filem seperti Matinya Seorang Patriot, Bukit Kepong, Paloh dan Embun
untuk menyemarakkan semangat perjuangan. Tidak lupa filem Sepet dan Gubra
yang 'menegur' masyarakat tentang isu perkauman dan juga Islam yang sedang
diliberalkan. Filem seperti KL Menjerit dan terbaru, Remp-It yang dikatakan
mengungkap permasalahan sebenar golongan remaja kita.

Tidak baguskan filem sebegini? Bukankah filem² sebegini, selain dari
menyediakan hiburan bahkan juga 'memberikan nasihat' (walaupun nasihat yang
merosakkan terutama seperti Sepet dan Gubra) kepada penontonnya? Benar...
Mungkin filem begini ada kebaikannya tetapi yang lebih utama, berapa
banyakkah pula kerosakan yang dibawa oleh filem² ini selain dari kebaikan
yang ada bersamanya.

Tidak perlu pergi jauh, kita jengah sebentar filem Remp-It yang saya
perkatakan di awal tadi. Filem ini dikatakan menyingkap kehidupan mat²
rempit yang hidup di sekitar bandaraya. Menurut pengarahnya, Ahmad Idham,
dia cuba menjadikan filem itu benar² hidup dan hampir kepada realiti. Dan
kerana itulah diselitkan adegan memegang buah dada dan adegan perempuan
bertenggek atas tubuh lelaki untuk menzahirkan hakikat sebenar seorang
bohsia.

Cuba kita selusur kembali perkembangan filem negara kita. Tidak perlu
bercerita tentang teknik² penggambaran tetapi tentang pengarahannya.
Bagaimana suatu ketika dahulu, adegan pelakon lelaki memegang tangan
pelakon wanita tidak begitu ketara di dalam filem. Kemudian, sejajar dengan
'kemajuan negara', adegan begitu mulai menjadi biasa dan adegan lelaki dan
perempuan berpelukan pula mula menjamu mata penonton filem tempatan.

Hingga sekarang ini, bolehlah dikatakan adegan berpelukan malah berciuman
antara pelakon lelaki dan perempuan (dengan alasan ayah atau ibu mencium
anak) sudah semakin menjadi² di dalam filem kita. Dan kini, telah ada pula
adegan raba-meraba, adegan betenggek dan adegan lain² lagi. Apakah mungkin
pada masa hadapan akan muncul pula watak pelakon wanita mandi bogel di
kamar mandi? Tidak mustahil, jika melihat trend hari ini.

Maka kerana itu, sesuatu perlu dilakukan. Kita sebagai penonton, seharusnya
'melarikan' diri dari filem² yang sedemikian. Supaya nanti, jika tidak laku
di pasaran, ia akan diberhentikan. Tetapi, jika penonton enggan, apatah
lagi pengarah dan penerbit yang sememangnya mementingkan keuntungan, yang
perlu memainkan peranan yang pro aktif hanyalah tinggal para pelakon yang
perlu menolak sekiranya ditawarkan watak yang sedemikian.

Tetapi alangkah memalukan sekiranya si pelakon mendakwa terpaksa menerima
tawaran sedemikian semata² atas nama seni. Berseni sangatkah filem Sepet
sehingga mempamerkan betapa murahnya anak gadis Melayu demi cinta kepada
seorang anak Cina? Apakah yang seninya dengan lelaki dan perempuan yang
bukan mahram berbaring di atas katil yang sama tanpa sebarang ikatan? Untuk
melahirkan suasana reliti pasangan suami isteri?

Sudahlah filem kita dipenuhi dengan watak² perempuan yang mendedahkan
aurah. Sudahlah rambutnya terdedah, pangkal paha, pangkal buah dada dan
pangkal segala pangkal pun turut didedahkan. Seperti menjaja buah yang
tidak laku gamaknya. Apakah kita mahu filem² kita terus dirosakkan dengan
babak² asmara semata² atas nama seni? Apakah Allah dapat menerima alasan
'atas nama seni' ini nanti di akhirat kelak?

Saya tidak menyalahkan orang jika mahu membenci Mawi. Mungkin ada perbuatan
yang pernah dilakukannya menyakitkan hati orang awam. Atau mungkin juga ada
peminat artis lain yang cemburu kerana artis yang diminati tidak sepopular
Mawi. Atau mungkin juga di kalangan artis, mereka cemburu dengan kejayaan
'artis mi segera' seperti Mawi. Lantaklah. Mawi tidak ada kena mengena
dengan saya.

Tetapi benci bagaimana sekalipun, janganlah sampai menyetujui perkara
mungkar semata² untuk bersifat kontra dengan Mawi. Sama ada Mawi bersifat
'perasan baik' atau tidak, bukan pokok persoalan. Perkara yang paling
penting, bentuk filem yang bakal dilahirkan di negara kita perlu diubah.
Apakah kita tidak teringin hendak menonton sebuah filem buatan tempatan
yang tidak ada babak bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan
mahram?

Atau mungkin sebenarnya kita tumpang seronok melihat babak² sebegitu
ditayangkan? Mungkin juga satu hari, kita turut seronok jika melihat yang
melakonkan babak tidak senonoh itu adalah anak kita sendiri?
Wana'uzubillahi minzalik. Untuk mengelakkan sebidang tanah bertukar menjadi
belukar, kita perlu menghalangnya ianya menjadi semak terlebih dahulu.
Rumput dan lalang perlu diracun hingga ke akar umbi. Jangan nanti sampai
menjadi hutan rimba. Akhirnya kita pula yang dibaham oleh haiwan buas yang
tinggal di dalamnya. Wana'uzbillahi minzalik......

13 October 2006

Bala Atau Ujian?


Dalam hidup ini, kita sering berhadapan dengan pelbagai masalah. Tidak
kiralah sama ada masalah di dalam pekerjaan mahupun berkaitan dengan
kekeluargaan atau apa juga masalah. Ada kalanya masalah itu terlalu kecil
dan tidak langsung membebankan pemikiran kita. Namun acap kali juga datang
masalah yang besar yang hinggakan kita mula terasa beban dan terasa
bagaikan bala sedang diturunkan ke atas diri kita.

Persoalannya, benarkah ianya bala? Atau sebenarnya sekadar ujian? Dan
soalan seterusnya, apakah itu bala dan apakah pula itu ujian? Dan apakah
perbezaan di antara keduanya? Jawapannya adalah mudah. Sebab bala dan ujian
adalah dua perkara yang sama. Apa saja yang merupakan bala boleh dianggap
ujian dan begitulah sebaliknya. Yang membezakannya adalah cara penerimaan
kita.

Sebagai contoh, seperti yang saya ceritakan dan posting sebelum ini, kereta
saya terbabit di dalam kemalangan pada 29 September yang lepas. Pada
kejadian tersebut, saya boleh memilih sama ada hendak menganggap ianya
sebagai sebuah bala atau bencana yang Allah turunkan buat saya. Atau
sebaliknya, jika saya hendak menganggap ianya sebuah ujian dari Allah juga
tidak menjadi masalah dari segi istilahnya.

Namun, reaksi yang bakal terhasil oleh kita adalah berbeza mengikut
penterjemahan kita ke atas kejadian tadi. Sebagai contoh, sekiranya saya
menganggap kemalangan itu sebagai sebuah bala, sudah tentu yang akan
terhasil di dalam hati saya adalah kekecewaan dan rasa penyesalan. Sudah
tentu saya akan jadi tertekan. Malah, pada satu tahap, mungkin juga saya
boleh menyalahkan Tuhan.

Mungkin saya boleh berkata, "Aku dah mulakan perjalanan dengan doa menaiki
kenderaan pun accident juga!" atau "Apalah dosa aku sampai jadi macam ini
sekali...". Kedua² pengucapan tersebut, yang terhasil daripada tanggapan
bahawa kejadian kemalangan itu adalah bala dari Allah jelas sekali
menjejaskan iman. Sebagai seorang muslim, tidak wajarlah untuk saya berucap
sebegitu.

Namun saya juga punya pilihan untuk menerima kemalangan itu sebagai ujian
yang Allah turunkan buat saya. Dengan beranggapan begini, saya boleh
memujuk hati yang terluka dengan berbagai 'pujukan' yang manis. Saya boleh
menganggap ujian ini Allah turunkan demi untuk meninggikan darjat saya.
Juga boleh menganggap bahawa ini adalah satu cara untuk Allah mengurniakan
pahala yang lebih untuk saya dan berbagai 'pujukan' yang lain.

Amat nyata, bagaimana penerimaan kita terhadap sesuatu kejadian yang
menimpa diri kita mampu mengukuh atau melemahkan kedudukan iman kita. Dan
pada pengamatan saya sendiri, adalah lebih baik untuk menganggap setiap
kejadian itu sebagai ujian dari Allah daripada menganggapnya sebagai bala.
Kerana, sebagaimana seorang yang sedang mengambil peperiksaan, ujian hanya
akan membuatkan kita lebih berhati².

Pun begitu, adalah tidak mustahil jika kejadian ini sememangnya Allah
turunkan sebagai balasan atas kesilapan dan dosa yang saya lakukan. Tidak
mustahil juga jika Allah sebenarnya hendak memberikan saya amaran dan
peringatan agar lebih berhati² dan lebih berwaspada. Sesungguhnya, apa juga
yang tersirat di sebalik kejadian itu, Allah lebih mengetahui segala²nya.

Cuma yang ingin saya tekankan di sini adalah, reaksi atau cara penerimaan
kita apabila terjadi sesuatu kejadian yang tidak kita ingini berlaku
memainkan peranan penting dalam pertumbuhan iman kita. Sekiranya cara
penerimaan kita betul, maka insyaAllah iman kita akan membesar dengan lebih
sihat dan bertenaga dan begitu jugalah sebaliknya. Penerimaan yang salah
boleh membunuh iman kita.

Tidak sampai seminggu kereta saya kemalangan, ketika saya sedang membeli
tiket bas untuk kembali bekerja, saya telah tersilap langkah dan akhirnya
kaki saya tergeliat di Terminal Bas Larkin. Saya pulang ke rumah dalam
keadaan berdengkot. Kemudiannya saya meminta ayah saya untuk tolong urutkan
bagi mengurangkan kesakitan. Apa yang terjadi, bengkak semakin membesar dan
kaki saya mula kelihatan biru.

Ketika masuk waktu solat Asar, saya sudah mula menjadi malas untuk ke
masjid. "Kaki sakit ni... Macam mana nak berdiri..." Bisik hati saya.
Hampir² juga iman saya tertewas. Jika difikirkan, ya! Mengapa harus saya ke
masjid? Bukankah Allah yang memberikan kesakitan ini kepada saya? Jika
Allah mahu saya ke masjid, mengapa Allah tidak jadikan saya sihat sahaja
sepanjang masa?

Tetapi Alhamdulillah, seketika kemudian iman saya bangkit semula. "Ah...
Tidak. Ini adalah sebahagian dari ujian Allah. Aku mesti ke masjid. Pahala
lebih kalau pergi berdengkot begini... Pahala lebih..." Jadi saya pergi
juga ke masjid dalam keadaan sedemikian. Dan, pada waktu Maghrib, ketika
hendak menghidupkan enjin motorsikal entah macam mana motorsikal saya telah
tumbang ke sebelah kanan.

Yang sempat saya lakukan hanyalah menurunkan kaki untuk menahannya daripada
terjatuh. Tanpa disangka², ketika itu terdengar bunyi 'kelekuk' pada kaki
saya dan serta merta, kesakitan yang saya alami berkurang dengan banyaknya.
Alhamdulillah... Sesungguhnya Allah itu Maha Hebat. Siapa tahu, kerana saya
berkeras hendak ke masjid walaupun sakit kaki, rupanya dengan cara itu
Allah menyembuhkan kaki saya. AllahuAkbar...

Ketika ini, jika hendak dikira, ada banyak masalah yang sedang menghantui
saya. Tetapi saya telah mengambil keputusan untuk menerima setiap masalah
ini sebagai ujian dari Allah. Bukan sebagai bala. Dan saya amat percaya,
setiap kali Allah ciptakan masalah, maka Allah telahpun menyiapkan jalan
penyelesaiannya. Hanya terpulang kepada kita untuk mencarinya dengan usaha
yang kita tentukan sendiri.

Saya juga yakin, sentiasa ada orang yang punyai masalah yang jauh lebih
berat dari masalah yang saya hadapi. Sesungguhnya Allah amat² menyintai
setiap hambaNya. Dan tidak mungkin Allah akan menyiksa hambaNya yang
dikasihi. Saya percaya, ujian yang Allah berikan adalah sebagai satu
peluang untuk kita merebut kasih sayangnya. Barangsiapa yang berjaya dalam
ujian tersebut, insyaAllah akan lebih dikasihi olehNya kelak.

Sama ada bala atau ujian, ianya perkara yang sama. Terpulang kepada kita
untuk menilaikannya berdasarkan iman yang kita ada. Kita boleh hidup dengan
terus menyesali dan menyalahkan taqdir namun ianya tidak akan mengubah apa
pun yang telah terjadi. Sebaliknya, sekiranya kita menganggap ianya sebagai
satu ujian, kemudian menerimanya dengan redha dan dengannya kita mengambil
pengajaran, insyaAllah di sana kelak akan pasti ada balasan kebaikan yang
tidak ternilai dengan apa yang mampu kita bayangkan. Itulah berkat
kesabaran, insyaAllah.....

12 October 2006

Doktor Muslim


Pada hari Jumaat lepas, entah mengapa secara tiba² Naqibah dilanda muntah².
Dari pagi menjelang ke petang, entah berapa kali anak kesayangan saya itu
muntah. Selera makannya juga terbantut. Hinggakan pada satu tahap, yang
dimuntahkannya hanyalah air kerana tidak ada lagi makanan di dalam
perutnya. Pun begitu, Naqibah tetap aktif seperti biasa. Tetap berlari²
bermain bersama sepupu²nya.

Namun pada petangnya, saya bawakan juga Naqibah ke klinik di Kampung
Melayu. Pulang dari Asar, kami segera bergegas ke sana. Saya terus menuju
kaunter pendaftaran sebaik tiba. Hebat klinik ini, kata hati saya. Mana
tidaknya, tidak ada kad yang diperlukan. Cukup setakat diberikan nama.
Segala maklumat dan rekod sudah tersimpan di dalam komputer. Kerani kaunter
hanya memusingkan skrin komputer meminta saya mengesahkan nama anak saya.

Ketika itu orang agak ramai di dalam klinik tersebut. Jadi kami terpaksa
menunggu agak lama. Setelah sampai giliran kami, sayapun masuk ke dalam
bilik doktor bersama Naqibah. Sebaik saya melangkahkan kaki ke bilik
tersebut, saya lihat doktor tersenyum mesra kepada saya. Wajahnya seperti
biasa saya lihat sebelum ini. Tetapi di mana, saya tidak mampu
mengingatinya. Ah... Mungkin pelanduk dua serupa agaknya.

Doktor mengatakan Naqibah hanya sakit perut biasa. Bukan sakit yang serius
dan saya tidak perlu terlalu risau. Alhamdulillah... Saya memanjatkan
syukur ke hadrat Ilahi. Kemudian doktor menyenaraikan ubatan yang perlu
Naqibah ambil sebelum kami beredar keluar untuk menunggu giliran bagi
mendapatkan ubat dan membuat pembayaran. Ketika bil diterima, saya agak
terkejut juga. RM16. Murahnya, kata hati saya. Alhamdulillah...

Dan ditaqdirkan, pada keesokan harinya, saya pula mengalami sakit perut.
Bermula dari ketika bangkit sahur hinggalah ke petang hari, entah berapa
puluh kali saya membuang air besar. Keadaan agak serius hingga saya tidak
larat untuk berdiri rasanya. Akhirnya atas nasihat ibu dan isteri, saya
kunjungi lagi klinik tersebut dengan dihantar oleh isteri saya. Risau juga
jika ini kesan akibat kemalangan yang saya alami baru² ini.

Ketika mendengar saranan ibu untuk ke klinik tersebut, saya terbayangkan
wajah doktor yang merawat Naqibah semalam. Oh... Rasanya saya sudah ingat.
Wajahnya mirip kepada salah seorang jemaah Masjid Jamek Kampung Melayu.
Mungkin dia agaknya. Kerana itu dia tersenyum memandang saya kerana kami
memang sering berjumpa dan adakalanya bersolat bersebelahan. Tetapi saya
tidak berani berkata dengan yakin.

Ketika melangkahkan kaki ke dalam bilik rawatan, sekali lagi saya disambut
dengan senyuman ikhlas dari doktor tersebut. Kata doktor, saya keracunan
makanan. Mungkin ada makanan yang saya makan ketika berbuka semalam yang
tidak sesuai atau menyebabkan alahan kepada perut saya. "Saya bagi awak
injectionlah ya? Biar perut awak boleh stabil sikit" katanya. Saya hanya
mengangguk kerana yakin dia lebih tahu apa yang terbaik.

Ketika sedang menyiapkan peralatannya, dia bertanya kepada saya. "Awak
kerja di tempat lain eh?" Agak terkejut juga saya bagaimana doktor ini
boleh tahu. Saya mengangguk sambil tersenyum. "Kat mana?" tanya lagi.
"Pelantar minyak" jawab saya ringkas. "Oh... Sekejap sana, sekejap sinilah
ya? 6 bulan, 6 bulan?" tanyanya lagi. Saya menggeleng. "2 minggu, minggu"
jawab saya pula.

Yakinlah saya si doktor ini adalah ahli jemaah masjid yang selalu saya
jumpa itu. AllahuAkbar! Betapa kagumnya saya dengan perwatakannya. Sebelum
ini, ketika berjumpa di masjid, tidak pernah terlintas di pemikiran saya
bahawa dia seorang doktor. Pakaiannya ke masjid begitu biasa. Hanya kain
pelikat yang diikat tinggi (mengikut sunnah), kurta dan kopiah. Langsung
tidak menunjukkan kedudukan dan professinya.

Begitulah bagaimana sunnah menyatukan orang Islam. Jawatan doktor bukanlah
jawatan yang remeh. Serasa saya, ramai di kalangan masyarakat kita yang
memandang tinggi kepada penyandang jawatan ini. Doktor juga mempunyai etika
pemakaian dan tingkah laku mereka sendiri. Jika diukur dari segi keduniaan,
bolehlah dikatakan menjadi doktor adalah satu kejayaan. Kerana
kebiasaannya, doktor dipandang sebagai orang bijak pandai.

Tetapi sebagai muslim, sebagai umat Nabi Muhammad saw, ketika ke masjid
doktor ini hanya seorang hamba Allah biasa. Tidak ada tali leher. Tidak ada
kemeja dan seluar slack yang digosok kemas. Dengan sunnah, perbezaan
pangkat dan darjat tidak diambil kira. Semua jemaah akan kelihatan sama dan
satu. SubhanAllah... Begitu hebatnya Allah menjadikan sunnah nabiNya
sebegitu.

Rupa²nya, ahli keluarga saya sudah biasa mendapatkan rawatan dari doktor
tersebut. Hanya kerana saya sudah lama tidak ditimpa sakit, maka sebab
itulah saya sudah bertahun saya tidak ke klinik. Rata² saya mendengar adik
beradik dan ibu bapa saya memuji perwatakan doktor tersebut. Pertuturan
yang lembut dan senyuman yang tidak lekang dari bibir... Patutlah ianya
menjadi klinik pilihan utama mereka jika mempunyai apa² masalah kesihatan.

Kebetulan, pada hari Ahadnya ketika saya ke masjid bersama abang saya (yang
tidak tinggal bersama), doktor tersebut bersolat pula di sebelah abang
saya. Selesai solat, dalam perjalanan pulang, saya katakan kepada banag
saya yang di sebelahnya tadi adalah doktor yang saya ceritakan kepadanya
sebelum itu. Abang saya lantas tersenyum panjang. Begitulah bagaimana Allah
meletakkan semua manusia sama rata di dalam rumahNya.

Terus-terang, saya cukup jarang atau boleh kata tidak pernah bertemu dengan
doktor yang sebegini. Seorang doktor yang cukup merendah diri dan tidak
mementingkan etik kerjayanya. Seorang doktor yang begitu menjaga solatnya
dan tidak menjadikan pesakit sebagai alasan untuk melwatkan solat. Mungkin
baginya di klinik dia seorang doktor tetapi di masjid dia hanya seorang
hamba Allah. Maka kerana itu saya berasa begitu kagum terhadapnya.

Rasanya sifat sebegini patut dicontohi dan dijadikan amalan oleh kebanyakan
dari kita. Untuk seketika, apalah salahnya kita lupakan siapa kita ketika
berada di masjid. Sama ada doktor, megistret atau lawyer, atau mungkin juga
ahli muzik kerana pada hakikatnya di hadapan Allah, kita tetap sama. Yang
membezakan kita adalah amalan dan keikhlasan niat kita ketika menyembahkan
diri kepadaNya.

Selepas ini saya berharap pula dapat melihat ahli parlimen dan Adun datang
ke masjid, bukan dengan tali leher dan kot atau berbaju melayu dengan
sampin songket serta disambut dengan permaidani merah tetapi sebaliknya
dengan pakaian sunnah. Berdisi bersama kami dan bersolah bersama jikapun
tidak menjadi imam. Alangkah elok jika sebegitu. Mungkin pada ketika itu,
barulah kita boleh lihat orang kafir berbondong² memeluk agama Islam.....

04 October 2006

Oh! Puasa

Bayangkan… Ketika kita sedang berpuasa… Tiba² muncul di hadapan kita hidangan ayam masak kurma, atau sambal udang petai, atau ikan keli masak lemak cili padi. Di sampingnya terdapat air katira, atau air sirap bandung, atau air tebu. Fuh… Tak tahan rasanya. Apa lagi kalau ada bersama ketika itu aiskrim Walls. Mahu menitik air liur dibuatnya. Dengan perut lapar, dengan tekak yang dahaga, tentu sahaja mampu membuat kita ‘kecur’.

Tetapi tidak mengapa. Biarlah kecur bagaimanapun, biarlah geram macam manapun, sebaik azan Maghrib berkumandang, insyaAllah kita akan mampu menikmati kesemuanya. Pergi sahaja ke mana² bazaar. Atau pergi sahaja ke mana² kedai makan. Yang penting bayar saja berapa pun harganya. Makanlah dan minumlah sebanyak mana yang mungkin. Seperti kata orang, menqada semula waktu makan yang tertinggal.

Tetapi… Bagaimana pula keadaan sesetengah daripada kita, yang hanya masih mampu melihat sahaja kesemua hidangan tadi walaupun setelah waktu berbuka? Mereka ini, golongan yang kurang berkemampuan, tidak mampu menikmati apa yang kita nikmati. Mungkin bagi kita, menahan diri selama hampir 14 jam dari godaan makanan tersebut sudah satu siksaan. Bagaimana pula keadaan mereka yang terpaksa menahan mungkin lebih 14 tahun?

Salah satu kelebihan Allah mensyariatkan ibadah berpuasa adalah untuk kita sama² merasai ‘nikmat’ penderitaan yang dilalui oleh mereka yang kurang berkemampuan. Ada antara mereka yang berbuka hanya dengan nasi berlaukkan garam. Malah ada juga yang hanya mampu ‘menagih’ juadah berbuka di surau² ataupun masjid². Itu baru cerita berbuka. Bagaimana pula keadaan mereka ketika bersahur?

Sekarang, apa yang menarik perhatian saya, walaupun telah sedia diketahui salah satu kebaikan berpuasa ialah peluang untuk kita berkongsi derita dengan golongan yang kurang berkemampuan, apakah matlamat ini tecapai? Apakah, dengan menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, mampu memberikan kita satu kesedaran tentang penderitaan hidup mereka yang serba tidak ada?

Mungkin adakalanya kita berasa kecewa dengan kekurangan yang ada pada diri kita. Kita melihat kenaikan harga gula menyusahkan kita untuk membuat air teh-0. Kita ada masanya cemburu melihat orang lain memandu Mercedes lampu bulat. Kita asyik berceloteh dengan gaji kita yang kita dakwa hanya cukup² makan. Tetapi, sejauh manakah dengan berpuasa mengingatkan kita keadaan mereka yang hanya mampu minum air kosong?

Sesetengah dari kita jangankan memandu Mercedes lampu bulat, memegangnya pun mereka tidak mampu. Jangankan hendak mengeluh dengan gaji yang cukup makan, mereka kadangkalanya tidak punyai gaji atau wang untuk membeli makanan. Jangan kata berpuasa sebulan, berbulan² lamanya mereka berpuasa. Ada ketika, pada pagi hari raya pun mereka terpaksa berpuasa kerana ketiadaan wang untuk membeli juadah.

Lalu, di manakah kekurangan kita hinggakan kita hendak membebel dengan apa yang tidak kita miliki? Sedangkan pada hakikat yang sebenarnya, kita telahpun memiliki apa yang kita ada. Apakah kita tidak berasa malu dengan mereka, yang hidup dalam kehidupan yang serba kekurangan namun tidak pula merasakan tidak cukup? Rasanya, orang miskinlah yang paling pandai mensyukuri nikmat kurniaan Allah.
Sebaik memasuki bulan Ramadhan, saya segera teringat kepada balu Allahyarham teman saya yang meninggal dunia Ramadhan tahun lepas. Pilu pula rasanya hati. Bayangkanlah, pada usia sekitar awal 20an, beliau terpaksa menghadapi liku² hidup bersendirian. Terbayang bagaimana perihnya menanggung anak seramai 3 orang. Tiba pula hari besar seperti Aidilfitri yang bakal muncul tidak berapa lama lagi. Tentu ianya tidak semudah apa yang kita lalui.

Tetapi apa yang pasti, setiap kali terserempak dengannya, beliau sentiasa tersenyum. Tidak pernah sekali, baik semasa Allahyarham masih hidup, mahupun setelah ketiadaan Allahyarham, beliau menangisi atau menyesali taqdir. Hidupnya, biar pun sukar, dilalui dengan penuh kesyukuran. Hari raya tidak dijadikan alasan untuk bersedih sebaliknya digunakan untuk mencari duit lebih dengan membuat kuih raya.

Itu yang di hadapan mata saya. Di sebalik apa yang saya lihat, saya yakin terdapat masih ramai lagi insan² yang melalui kepayahan hidup dengan penuh tabah dan penuh kesyukuran. Bagi mereka, berpuasa bukan sesuatu yang sangat sukar untuk ditunaikan. Bahkan hampir setiap hari mereka berpuasa. Begitulah kata orang… Lebih banyak yang kita dapat, kita akan lebih rasa lebih tidak cukup.

Baru sepuluh hari berpuasa, saya dan isteri telahpun siap menyediakan kelengkapan hari raya untuk Nurul Naqibah Izzati. Jika diikutkan, bayi sebesar Naqibah itu masih tidak faham apa ertinya raya. Tetapi kerana berada dalam lingkungan kemampuan, kami persiapkan dia. Dengan baju kurung siap bertudung, kadangkala rasa tidak sabar untuk melihat Naqibah bergaya di pagi hari raya nanti.

Tetapi bagaimana pula orang yang tidak mampu membelikan baju raya untuk anaknya? Bukan tidak ada orang yang bersolat raya dengan baju yang sama dengan tahun² sebelumnya. Hanya jika baju tersebut sudah sempit barulah diganti. Bukan kedekut tetapi kerana mereka tidak mampu! Alangkah sedihnya… Jadi, adakah wajar untuk kita bersedih jika semata² kerana pakaian yang kita tempah tidak sempat disiapkan?

Allah Maha Adil. Kerana itu Allah telah mewajibkan pengeluaran zakat fitrah bagi semua muslim. Agar keseronokan hari raya dapat dinikmati sama rata oleh semua umat. Sayang sekali, zakat yang nilainya hanya sebanyak RM4.75 (di Johor) pun ramai yang cuba mengelak. Jika ada yang tidak mengelak pun, dibayar hingga ke waktu² kritikal. Jika demikian caranya, bagaimanakah kebahagiaan itu dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan?

Cuba perhatikan limpahan lauk pauk yang terlambak di atas meja makan kita hari ini. Berapa besarkah perut kita untuk mengisi kesemua makanan tersebut? Dan makanan itu, jika tidak terhabis, akhirnya akan menjadi santapan tong sampah di esok harinya. Bayangkanlah jika makanan yang kita buang itu terhidang di meja mereka yang tidak berkemampuan membelinya, alangkah gembiranya mereka…

Maka di bulan Ramadhan ini, marilah kita perbanyakkan bersedekah. Tidak kiralah kepada anak² yatim, fakir miskin mahupun surau². Bagi masjid dan surau yang menyediakan bubur lambuk, janganlah asyik kita berebut hendak mendapatkan bubur lambuk tersebut. Apa salahnya sesekali kita letakkan duit ke dalam tabungnya. Mana tahu, bubur lambuk itu akan menjadi satu² juadah berbuka kepada sesetengah daripada kita?

Ketika berpuasa ini, jika kita lapar, ada orang yang lebih lama laparnya. Jika kita dahaga, ada orang yang lebih perit dahaganya. Dan jika kita letih, ada orang yang tidak pernah letih mengubah nasib hidupnya. Syukurilah apa yang kita nikmati. Takutilah apa yang kita miliki kerana ianya akan dipersoalkan. Dan janganlah dikira apa yang tidak kita perolehi kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita…..

02 October 2006

Tanggal 29 September 2006


29 September tak akan menjadi satu tarikh biasa lagi buat saya. Tarikh 29 September akan saya kenang, insyaAllah sampai bila². Sebenarnya pada tarikh itu, lebih kurang jam 3.30 petang, saya dengan isteri dan anak saya telah memulakan peejalanan ke kampung isteri di Tanjung Karang, Selangor. Dalam perjalanan, sempat juga kami singgah ke Nilai 3 untuk membeli kelengkapan hari raya kami.

Dari Nilai 3, kami meneruskan perjalan terus ke kampungnya. Segalanya berjalan lancar sehinggalah di persimpangan hospital Tanjung Karang. Ketika itu, lebih kurang jam 11.30 malam, sedang saya membelok secara tiba² saya terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang kereta saya. Seketika kemudian, saya merasakan kereta saya berpusing sebelum terhenti melintang di bahu jalan.

Isteri saya yang sedari tadi tidur lena terjaga lalu menjerit “Allahu Akbar” ketika kereta kami berpusing. Naqibah pula terkejut dari tidurnya lalu menangis dengan tangisan yang amat kuat. Seorang lelaki datang menghampiri kereta kami lalu membuka pintu dan bertanyakan keadaan kami. “Mana orang yang langgar?” tanya saya. Lelaki itu menunjukkan arah sebelum beredar selepas mendapati keadaan kami selamat.

Saya bergegas ke arah kereta yang lagi satu. “Apa cerita bang?” tanya saya. “Apa cerita bang?” tanyanya pula. Huh! Saya mendengus. “Lampu saya hijau tadi.” Terang saya. “Lampu kita orang pun hijau tadi. Lampu abang yang merah!” “Saya bawa budak kecil. Takkanlah saya nak bunuh diri langgar lampu isyarat pula?” tanya saya. Pemuda Melayu itu terdiam sebelum bertanya “Habis, macamana ni bang?”

“Macamana? Kalau dah dua² hijau, kalau dah dua² tak mengaku, kita repot balai sajalah!” jawab saya yang kemudiannya dipersetujui oleh pemuda tersebut. Saya kemudian memandu kereta ke balai polis berdekatan tanpa menyedari kerosakan sebenar kereta saya. Tiba di balai, saya saya menunggu agak lama ketibaan pemuda tadi tetapi tidak juga sampai²…

Alamak… Dah lari ke? Bisik hari saya. Kesal juga saya tidak mengambil nombor pendaftaran keretanya. Seketika kemudian datang seorang mekanik ke balai tersebut. Dari ceritanya saya ketahui bahawa kereta pemuda itu rosak lebih teruk lagi dan tidak dapat dipandu. Terpaksa menunggu trak tunda. Namun tidak lama selepas itu pemuda tadi sampai ke balai dengan menumpang kereta mekanik yang lain.

Terus-terang, ketika baru² kejadian hati saya memang begitu panas. Saya benar² marah kerana dilanggar oleh pemuda tersebut. Mana tidaknya, saya begitu yakin lampu isyarat menunjukkan anak panah belok berwarna hijau. Memang jalan saya. Tambah sakit hati apabila pemuda itu enggan mengaku dan cuba menyalahkan saya. Di dalam hati saya berkesumat rasa geram yang meluap².

Proses membuat laporan pula bukan sekejap. Naqibah masih tidak henti² lagi menangis. Terfikir pula isteri saya yang sedang sarat (6 bulan) mengandungkan anak kedua kami. Semua itu membuatkan saya bertambah geram dengan pemuda tersebut. Namun proses menunggu untuk membuat laporan yang lama itu ada hikmahnya. Perlahan² hati saya mulai sejuk dan rasa marah mulai mereda.

Dari perbualan antara mekanik dengan pemuda tadi, saya ketahui bahawa pemuda tersebut bukanlah memandu kereta miliknya tetapi kereta milik bapanya. Jadi untuk membuat tuntutan insurans, pemuda itu perlu membayar RM400 sebagai penalti. Terbit rasa kasihan di dalam hati saya. Dipendekkan cerita, ketika disoal siasat oleh sarjan bertugas, saya mengambil keputusan untuk mengaku bersalah.

Memandangkan pemuda itu perlu mambayar sejumlah RM400, saya rasakan biarlah saya menanggung bayaran saman sebanyak RM300. Biarlah kurang sedikit beban yang ditanggungnya. Itu belum ditambah lagi dengan kemarahan ayahnya kerana terbabit di dalam kemalangan. Mendengarkan itu, pantas pemuda itu menghulurkan tangan dan mengucapkan terima kasih. Sarjan bertugas juga gembira kerana memudahkan kerjanya.

Di luar balai, saya berbual seketika dengan pemuda tersebut. Benar saya memang sedih melihatkan keadaan kereta saya yang remuk teruk. Tetapi yang betulnya, saya wajib bersyukur kerana kemalangan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan. Itupun kerana pemuda tadi sempat mengelak dari terlanggar bahagian tengah sebaliknya melanggar hujung bahagian belakang kereta saya.

Terbayang saya sekiranya dia tidak mengelak, entah apa agaknya yang akan terjadi ke atas isteri dan anak saya… Alhamdulillah… Semuanya kuasa Allah. Allah-lah yang menggerakkan pemuda itu untuk mengelak. Allah memberikan peluang untuk kami bertaubat agaknya. Kepada pemuda terbabit, saya katakan kemalangan ini bukan kehendak kami. Ini semua ketentuan Allah…

“Allah nak kita berkenalan agaknya…” kata saya. “Mungkin. Adalah kita nak jumpa di mana² nanti…” jawabnya pula menyetujui. “Awak nampak lampu awak hijau, saya pun nampak hijau. Tak mustahil kalau masa tu Allah jadikan dua² lampu betul² hijau. Mana tau kalau masa tu je lampu tu nak rosak. Kan? Tak mustahil. Yang penting, kita berdua mesti cool. Yang penting kita tidak bergaduh sebab ni.”

“Mungkin juga Allah hendak menyelamatkan kita dengan kemalangan ini. Mana tahu, jika tidak terbabit dalam kemalangan ini, kita akan terbabit pula dalam kemalangan di hadapan yang mungkin jauh lebih besar… Mungkin juga kita akan terkorban…” Pemuda tadi yang hadir di balai bersama seorang temannya yang juga turut berada di dalam kereta ketika kemalangan tadi mengangguk² tanda setuju.

Sungguhpun kereta saya rosak teruk dan berkemungkinan kami akan beraya tanpa kereta (kereta kedua saya akan dipakai oleh ayah saya ketika hari raya), namun saya amat² bersyukur kerana Allah masih sudi menyelamatkan anak dan isteri saya berserta bayi di dalam kandungannya. Jikalau ditaqdirkan apa² terjadi kepada mereka, entah bagaimana keadaan saya nanti agaknya.

Teringat saya, Allah menguji manusia bersesuaian dengan apa yang sanggup ia hadapi. Allah tahu saya sanggup menghadapi kemusnahan harta tetapi tidak pula sanggup kehilangan orang yang saya cintai apatah lagi berpunca dari diri sendiri. Maka kerana itu Allah menjadikan ianya sebegini. Biarlah. Biarkan kereta saya musnah asalkan saya terus berpeluang untuk hidup bersama keluarga tersayang. Syukur buat Allah…

Sehingga hari ini, kaki dan bawah dada saya masih lagi terasa kesakitan mungkin akbita hentakan yang kuat. Namun rasa syukur terhadap Allah yang menyelamatkan anak dan isteri saya melenyapkan rasa sakit yang saya alami. Sesungguhnya kemalangan ini bukanlah suatu musibah pada diri saya. Ianya lebih kepada suatu rahmah. Suatu keberkatan dan ingatan tanda sayangnya Allah kepada saya sekeluarga.

Isteri saya berkata, selama ini dia melihat mereka yang tidak punyai kereta dan bersusah payah pulang ke kampung bersama anak kecil dengan menaiki bas. Tanpa disangka, akhirnya kami juga melaluinya. Bukankah kami sepatutnya berasa beruntung kerana tidak semua manusia diberi peluang sebegitu? Sepatutnya dengan kemalangan ini kami jadi lebih sedar dengan kekurangan pada diri orang lain.

Allah juga mempermudahkan urusan kami apabila Naqibah yang sememangnya selalu mabuk & muntah² apabila berjalan jauh, langsung tidak membuat hal sepanjang perjalanan. Ketika dalam kereta dari Tanjung Karang ke Kuala Selangor, kemudain dalam teksi ke Kelang, teksi ke Telok Panglima Garang dan kemudian ke Kelang semula dengan kereta biras saya.

Malam ketika di dalam bas pun Naqibah tidak sekali muntah. Hanya menangis sekejap ketika bas berhenti di Yong Peng. Itupun kerana kepanasan apabila pemandu bas mematikan pendingin hawa. Namun sebaik bas bergerak semula dan pendingin hawa dihidupkan kembali, Naqibah mulai senyap dan menyambung lenanya hinggalah kami sampai di Terminal Bas Larkin, Johor Bahru.

Kemalangan ini juga menjadikan kami sedar bahawa selama ini kami sudah terlupa diri. Kami selalu beranggapan tanpa kereta sukar untuk kami ke mana². Sedangkan selama ini, sebelum kami mampu memiliki kereta, kami lepas ke mana² dengan bas. Dan kami jadikan Naqibah sebagai alasan dengan mereka² atau menjangka² kesusahan yang bakal kami tempuhi sedangkan kami belum tahu apa yang akan berlaku lagi.

Saya tidak kesal dengan kemalangan ini. Bahkan saya bersyukur kerana diberi pengalaman yang baik sebegini. Apabila melihat iklan kemalangan di televisyen di mana seorang lelaki sedang menangisi kematian anak dan isterinya, saya teringatkan diri sendiri dan saya berasa bertuah sekali dapat meneruskan hari² tanpa kehilangan ‘harta’ yang paling bermakna iaitu anak dan isteri saya.

Lebih dari itu, saya juga bersyukur kerana dibantu dengan ramah oleh polis² yang betugas di balai Tanjong Karang. Layanan mereka amat baik. Begitu juga dengan Sarjan Mail yang ‘menyiasat’ kes kami. Keadaan menjadi lebih mudah dengan kehadiran mekanik yang sedia menarik kereta kami dan menguruskan urusan tuntutan dari pihak insurans. Allah telah banyak membantu kami.

Apapun, kesemua yang berlaku ini akan kami jadikan iktibar. Betul, jika kita sentiasa redha dengan ketentuan Allah, akhirnya Allah akan mempermudahkan segala kesusahan kita. Tarikh 29 September 2006 ini tidak akan mudah untuk saya anak beranak lupakan. Telah saya rekodkan di dalam telefon bimbit saya dan akan saya kenang, insyaAllah sampai bila². Sesungguhnya kemalangan itu bukan sentiasa menjadi malapetaka…..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.