28 September 2006

Pengalaman Berbuka Di Terminal Bas Lakin

Saya pulang ke darat pada Selasa lalu. Entah mengapa, hari itu banyak bas ke Johor yang tidak bergerak. Lalu saya terpaksa menaiki bas yang paling lambat iaitu Cepat Express. Yang menjadikan bas ini lambat ialah kerana banyaknya perhentian yang disinggahinya dan juga terpaksa bertukar bas sebanyak dua kali iaitu di Kuantan dan di Segamat yang bagi saya begitu melecehkan.

Lalu, disebabkan itu, saya tiba agak lewat juga di Johor Bahru. Sewaktu bas memasuki Terminal Larkin, suara azan sedang mula berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa bagi kawasan Johor Bahru dan kawasan² yang sama waktu dengannya. Seperti kebiasaan, ayah saya akan datang mengambil saya di terminal tetapi disebabkan sedang waktu berbuka, saya mengambil keputusan untuk berbuka terlebih dahulu.

Saya membeli tiga biji epok², tiga biji popia, sebuku roti john dan setin air kelapa sebagai juadah berbuka saya. Rasanya saya lapar sangat ketika dalam perjalanan tadi. Kemudian, saya menuju ke sebuah kerusi menunggu kerana kerusi dan meja makan di kedai tersebut sudah dipenuhi. Ketika berjalan, pemandangan mata saya tertarik kepada sekumpulan anak² kecil (lingkungan 8-10 tahun) berhampiran.

Tiga orang kesemuanya, saya jangkakan mereka adik beradik kerana melihat wajah mereka yang tidak jauh bezanya. Apa yang menarik perhatian saya, ketiga² mereka pada ketika itu sedang asyik memerhatikan secara dekat seorang lelaki menikmati makan (seperti mee rebus). Cara mereka menanti dengan penuh minat itu yang menyentuh hati saya. Ah… Mungkin lelaki itu bapanya agaknya, kata hati saya.

Seketika kemudian, sebaik saya baru sahaja melabuhkan punggung ke atas tempat duduk, saya lihat kanak² tadi datang ke kerusi di sebelah saya bersama dengan bungkusan makanan lelaki tadi. Mereka kelihatan begitu seronok dapat menikmati makan tersebut. Allah… anak siapa pula ni? Tanya hati saya. Mungkin anak peniaga² di pasar yang terletak di sebelah terminal bas ini.

Tetapi, jika sekalipun anak peniaga di sini, mengapa pula ibu bapa mereka membiarkan anak mereka bekeliaran menagih makanan dari pengunjung di situ? Tapi, kalau bukan anak mereka, anak siapa? Hati saya bertanya lagi. Secara kebetulan, perut saya juga sudah tidak mahu menerima makanan lagi selepas menelan sepotong dari roti john tersebut. Lalu saya hulurkan kepada mereka yang berada di sebelah.

Sorakan mereka yang kegembiraan kerana menerima roti john dari saya betul² membuatkan dada saya sebak. Saya menahan air mata saya dari bergenang kerana tidak mahu orang yang lalu lalang berfikir yang bukan² pula. Seketika kemudian seorang dari mereka menghampiri saya. “Bang mintak air sikit bang” pintanya yang mungkin merasakan air yang saya ada ketika itu kelihatan lazat sekali.

“Dah habis la Dik… Sorry la…” jawab saya sambil menggoncang²kan tin air yang saya miliki tersebut sebagai bukti ianya sudah kehabisan. Budak itu kelihatan agak kecewa dan berlalu sebelum sempat saya bertanya apa². Hati saya menjadi semakin sedih. Siapalah agaknya yang punya gerangan menjadi ibu bapa atau panjaga mereka. Mengapakah begini sekali dhaifnya mereka…

Saya terus lagi duduk menunggu ayah saya tiba kerana menurut isteri saya, ayah sudah pun keluar kurang lima minit tadi. Sedang dalam menunggu itu, saya dihampiri pula oleh seorang lelaki. Tidak seperti anak² tadi, kehadiran lelaki itu saya sambut dengan rasa penuh waspada. Takut juga saya kalau dia sebenarnya berniat hendak ‘mengepau’ kerana menyangkakan saya orang luar (disebabkan beg pakaian yang ada dengan saya).

“Bang… Boleh mintak tolong tak?” katanya memulakan perbualan. “Saya duduk Kota (Tinggi) bang. Sebenarnya dah beberapa hari saya kat sini. Nak balik kampung duit tak cukup. Abang boleh bagi sikit tak bang? Berapa² pun jadi la…” katanya. Sungguhpun saya berwaspada, tetapi melihat wajahnya yang sayu menyebabkan saya turut dilanda kesedihan. Mungkin juga dia bercerita yang benar. Siapa tahu, bukan?

Lalu saya mengeluarkan saki baki duit kecil yang berada dalam dompet saya. Ada RM5. “Boleh?” tanya saya. “Tak kisahlah bang. Berapa² pun la asal ikhlas” jawabnya sampai mencapai duit yang saya hulurkan. “Sebenarnya, biarlah saya terus terang je bang. Saya sebenarnya kena pegi urine test. Seminggu duduk lokap. Lepas seminggu keluar, duit saya dalam beg duit dah tak ada langsung…”

Ceritanya dengan muka yang layu. Suaranya yang agak perlahan membuatkan saya antara dengan dengan tidak sahaja apa yang dia pertuturkan. Kemudian dia menyambung lagi “3, 4 hari ni merempat betul saya bang. Susah sangat rasanya.” Ceritanya lagi sebelum mengangkat kaki. Mungkin pergi ke kaunter untuk membeli tiket atau mungkin juga mencari magsa yang seterusnya…

Kedua² kejadian ini membuatkan saya berfikir panjang. Betapa beruntungnya anak saya kerana dia mempunyai ayah dan ibu yang berkemampuan memberikan dia makanan setiap hari. Tidak perlu merempat menagih simpati dari orang ramai. Tidak perlu memakan sisa makan orang lain demi memenuhkan perut yang entah berapa lama dimasuki angin kerana biasa dibiarkan kosong.
Begitu juga dengan lelaki yang meminta duit dari saya. Tidak tahulah ceritanya benar atau tidak. Namun jika dia berbohong sekalipun, sesuatu yang patut menjadi pengajaran kepada kita ialah betapa beruntungnya kita, walaupun mungkin bergaji kecil namun Allah telah memelihara maruah kita dengan tidak perlu merayu menagih simpati dari siapa² demi meneruskan kehidupan.

Setiap hari, mungkin ada di antara kita yang mengeluh dengan kekurangan yang kita miliki. Mungkin juga terluah sedikit keluhan tatkala melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain jika dibandingkan dengan kita. Namun sebenarnya, jika benar terkeluar keluhan sebegitu, kita terlupa betapa kita masih jauh bertuah dibandingkan dengan ramai orang yang lain. Hanya mungkin kita yang kurang menghargainya.

Dan bersempena dengan Ramadhan yang penuh Mubarak ini, di mana setiap amal kebajikan yang kita lakukan dibalas dengan balasan pahala yang berlipat kali ganda, marilah kita bersama menyalurkan seberapa sedikit yang kita ada untuk mereka yang kurang berkemampuan. Semoga dengan itu, dapat juga mereka menikmati ibadah puasa ini sebagaimana kita sedang menikmatinya. Dan bayarlah zakat fitrah secepat yang mungkin. Tahun ini, kadar zakat bagi negeri Johor adalah RM4.75. Bayarlah sebelum zakat kita dianggap sebagai satu sedekah yang biasa. Bayarlah semoga apa yang kita keluarkan itu akan dibalasi dengan keberkatan dan kebaikan yang bekekalan olehNya…

26 September 2006

Ditegur


Ada sekali (sebenarnya beberapa kali) saya terlewat ke masjid untuk
berjamaah Maghrib. Saya masbuk pada rakaat kedua dan berada di saf yang
terakhir sekali iaitu saf ketiga. Seperti biasa, selepas imam memberi
salam, saya bangun untuk menyelesaikan baki satu rakaat yang saya
tertinggal. Di sebelah saya seorang yang boleh dipanggil ‘pakcik’ dengan
saiz tubuh yang ‘bolah tahan’.

Selesai saya memberi salam, saya teruskan dengan berzikir seperti biasa.
Satu dari tabiat buruk yang amat sukat untuk saya buang adalah perbuatan
‘mematahkan jari’ (cracking knuckles) terutama selepas solat, iaitu ketika
berzikir. Jadi, seperti kebiasaan saya, sewaktu mulut terkumat kamit
menyebut kalimah² suci, tangan saya begitu aktif ‘mematahkan’ jari² pada
tangan satu lagi.

Secara tiba² tangan saya ditepuk perlahan. Saya membuka mata dan melihat
pakcik di sebelah saya sedang merenung saya sambil tangannya digoyang²kan
sebagaiseolah² berkata ‘jangan buat begitu’. Saya dapat rasakan ada
perubahan pada riak muka saya tetapi saya cuba tersenyum sambil mengangguk.
Kemudian saya ‘pisahkan’ tangan kanan dan tangan kiri supaya saya tidak
berbuat begitu lagi.

Saya kira ianya habis begitu saja. Tetapi kemudian pakcik tersebut mencuit
saya “Ha… Tu makruh tu buat macam tu. Kat luar tu dah ada tampal dah.
Makruh…” katanya sambil tangannya ditudingkan ke dinding masjid memberitahu
nota tentang hukum ‘mematahkan jari’ ada tertampal di situ. Saya tersenyum
lagi. Sebolehnya saya tidak mahu bercakap ketika berzikir. Saya mahu
tumpukan sepenuh perhatian sepenuhnya kepada bacaan saya.

Tetapi teguran pakcik tersebut sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya.
Tentang hukum mematahkan jari, sememangnya ianya bukan perbuatan yang baik.
Tetapi saya seolahnya ketagihan. Kebetulan saya belum lagi berjumpa mana²
nas yang melarangnya (sesiapa yang ada harap dapat berikan kepada saya).
Tetapi sering orang memberitahu ianya makruh dan saya yakin ianya begitu
memandangkan keburukan yang ada pada perbuatan tersebut.

Pun begitu, walaupun saya tahu pakcik itu berbuat sesuatu yang betul
manakala saya sememangnya layak ditegur, saya rasakan sedikit sebanyak ego
saya tercalar. Walaupun saya mampu menepis ego tersebut, namun ia akan
datang semula. Terkadang lahir juga dari hati ‘siapa pakcik ni nak ajar
aku?’. Syukurlah saya cepat tersedar dan kemudian berdoa kepada Allah agar
pakcik tersebut dikurniakan kebaikan kerana berani menegur kesalahan saya.

Sebagai seorang yang biasa menegur orang yang berbuat silap, teguran pakcik
tersebut membuatkan saya terfikir. Mungkin beginilah agaknya perasaan orang
yang saya tegur. Meskipun pakcik tersebut menegur secara lembut, tetapi
nafsu dalam jiwa saya memberontak untuk menolak teguran tersebut. Dan tidak
mustahil selama ini orang lain juga berasakan seperti mana yang saya
rasakan ketika itu.

Seperti tadi, selesai solat witr, saya melihat ke jamaah di belakang saya
dan dapati pembantu saya tidak ada dalam barisan. Kemudian saya hampiri
teman sebiliknya dan bertanya di manakah pembantu saya. “Mungkin dalam
bilik,” katanya. “Kenapa kau tak tarik dia sekali?” tanya saya lagi.
“Susah… Benda macam ni (solat tarawih) bukan boleh dipaksa…” katanya lagi
membuatkan saya menjawab, “Mana boleh macam tu…” tanda tidak berpuas hati.

Saya menuju ke biliknya dan melihat pembantu saya sedang leka bermain
konsol permainan PS2. “Ooo… Kat sini engkau eh? Orang tarawih kat surau,
kau tarawih berjamaah dengan PS2?” tegur saya dalam nada berjenaka. “Aku
nak makan pisang…” jawabnya merujuk kepada perbualan kami sebelum ini
tentang pengalaman ketika bertarawih di kampung di mana katanya, anak muda
yang membantu akan ‘dihadiahkan’ dengan buah pisang.

Saya tergelak mendengar jawapannya. Kemudian saya rapatkan muka saya ke
mukanya. “Tengok sikit muka anak Aji Ajis (bukan nama sebenar)? Woi! Bapa
engkau sikit punya alim, anak nak pergi tarawih pun malas!” kutuk saya lagi
membuatkan dia tersengih. Tetapi kemudian saya teringat kepada peristiwa
saya ditegur di masjid dahulu. Secara tiba² saya terfikir apa yang
dirasakan oleh pembantu saya itu tadi.

Sungguhpun teguran saya secara lawak jenaka, namun rasanya agak keras. Ah…
dia faham tu… Pujuk hati saya. Saya tidak terus pergi. Saya duduk di
sebelahnya. Berharap agar dia tidak berkecil hati. “Amacam? Bola la kalau
berani…” pembantu saya menghulurkan gamepad kedua kepada saya mencabar saya
untuk bermain permainan bola dengannya. Saya menggeleng. Ketika ini barulah
saya berpuas hati yang dia tidak berkecil hati.

Susah juga hendak menegur kesilapan orang. Jika kita menegur dengan lembut,
mungkin orang memandang remeh kepada teguran kita. Tetapi jika kita menegur
dengan kasar, kemungkinan besar orang akan menjadi benci dan bertindak
menjauhkan diri dari kita. Patutlah Nabi saw begitu menitik beratkan
amr-bil-ma’ruf, nahi-‘anil’mungkar dan dijanjikan dengan pahala yang bukan
kepalang. Kerana ianya tugas yang penuh cabaran.

Tetapi yang paling sukar sebenarnya bukanlah menegur orang sebaliknya
ditegur. Cuba berlaku jujur kepada diri. Jawablah, apakah kita sedia
menerima sebarang kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka? Orang lain
saya tidak berani kata tetapi jika saya, biarpun saya sedia menerima namun
sedikit sebanyak akan wujud perasaan tidak senang di dalam hati. Sedikit
sebanyak kita akan rasa tercabar untuk membuktikan kebenaran kita.

Dan di sinilah letaknya bahaya sifat tidak boleh ditegur ini. Sekiranya
kita tidak mampu menerima teguran, perkara pertama yang akan kita lakukan
adalah dengan mencari hujjah untuk membenarkan apa yang kita lakukan.
Paling tidak, kita akan mencari kelemahan orang yang menegur. Yang
menjadikan ianya bahaya ialah apabila ia sampai ke tahap ‘menegakkan benang
yang basah’ hingga sanggup berhujjah pada asas yang palsu atau kosong.

Dan inilah yang saya lihat sering berlaku dalam kebanyakan mailgroups yang
saya sertai. Apabila ada seseorang yang menyuarakan isi hati mereka
berkenaan satu² isu, maka akan ada orang yang akan mengkritik huraiannya.
Tambah masalah jika kritikan itu dalam bentuk yang sinikal. Apa yang akan
terjadi seterusnya ialah, perang email yang akhirnya menyemakkan kotak
masuk akaun email kita dan akhirnya menerbitkan permusuhan.

Sebenarnya, konsep tegur menegur ini begitu mudah. Apabila kita telah siap
untuk menegur orang lain, maka sebenarnya kita sepatutnya sudah
mempersiapkan diri untuk ditegur. Itu sahaja syaratnya. Sungguhpun hanya
satu syarat, itulah yang paling sukar untuk dilakukan. Bagimana agaknya
kita boleh menyediakan diri untuk ditegur? Apakah yang harus kita lakukan
agar diri ini tidak ‘melenting’ apabila diperbetulkan?

Terus terang, saya tidak tahu. Cuma yang boleh saya katakan, sifat enggan
ditegur ini berasal dari rasa ego dan tinggi diri seseorang. Tidak kiralah
rasa ego itu terbit disebabkan ilmu yang kita miliki, atau keturunan kita
yang kita jangkakan begitu mulia, kedudukan kita dalam hirarki masyarakat
sebagai seorang yang dihormati atau apa sekalipun. Yang penting, asalkan
kita ego, kita tidak akan sedia untuk ditegur.

Membuang sifat ego bukanlah perkara yang mudah. Perlu banyak latihan. Sebab
itu, jika mahu biasa ditegur, kita perlu selalu menegur kesilapan orang.
Kerana seperti yang saya katakan tadi, apabila kita menegur orang lain, dia
mungkin akan mencari kelemahan pada diri kita. Maka sediakanlah diri untuk
diperbetulkan. Setiap kali kita ditegur, berastaghfarlah. Semoga dengan
cara itu, kita dapat mengawal nafsu kita.

Sebenarnya tegur menegur ini adalah konsep asas dalam pengislahan
masyarakat. Apabila masyarakat kita semakin hari semakin rela diperbetulkan
dengan teguran oleh orang sekeliling, saya percaya matlamat kita menuju
pembentukan umat yang lebih sempurna semakin hampir. Tetapi ini bukanlah
kerja yang memakan masa setakat sehari dua dan bukan dengan sekali atau dua
kali usaha. Ia memakan masa yang lama dan memerlukan istiqamah.

Apa yang penting, sebelum mula menegur orang, bukalah hati kita dulu untuk
ditegur dan diperbetulkan. Bukalah pula minda untuk mendengar dan menilai
asas teguran orang lain sebelum kita membangkang. Buangkan sifat hendak
menang di dalam hati kerana ianya boleh membawa kepada kesesatan. Apa yang
penting, sentiasa percaya bahawa kita hanyalah manusia memang sentiasa
terdedah untuk melakukan kesilapan.

Tidak lama dahulu saya telah melakukan banyak kesilapan akibat sifat buruk
ini. Kerja yang kononnya saya panggil pengislahan akhirnya menghasilkan
saya koleksi musuh yang banyak. Kerana itu lama saya mendiamkan diri untuk
mendidik hati supaya berfikiran lebih terbuka. Saya tidak mahu lagi gagal
dalam ‘pertarungan’ ini. Saya tidak mahu lagi membanggkang teguran ke atas
saya sehingga menerbitkan permusuhan. Mengaku kalah bukan bererti kita
salah. Dan mengaku salah bukan bererti kita kalah. Menegur bukan bererti
kita pandai dan ditegur bukan bererti kita bodoh. Angaplah teguran itu
datangnya sebenarnya untuk menyelamatkan kita…

24 September 2006

Kehadiran Yang Dinanti


Saya bangkit pagi ini seperti biasa. Jam 4.30 pagi. Sememangnya setiap hari
bekerja, inilah waktu saya meninggalkan 'katil tersayang' untuk mula
bekerja. Saya perlu menandatangani beberapa permit kerja agar bahagian
selenggaraan dapat menjalankan kerja mereka dengan lancar di siang hari
nanti. Seperti biasa, saya akan makan dahulu sebelum memegang pen untuk
memulakan tugas.

Tetapi pagi ini tidak seperti biasa. Ketika melangkah memasuki galley, saya
lihat sudah sedia ramai orang yang sedang menikmati juadah masing². Oh...
Hari ini 1 Ramadhan. Hari ini umat Islam di Malaysia memulakan ibadah puasa
wajib mereka. Dan malam tadi sudahpun dilakukan solat tarawih di mana saya
telah dipaksa menjadi imam. AllahuAkbar. Inilah pertama kali dalam hidup
saya mengimamkan solat Tarawih. Menggigil lutut dibuatnya.

Saya menyedut udara pagi ini dalam² ketika berjalan menuju ke bilik kawalan
sebentar tadi. Ah... Segarnya udara pagi Ramadhan ini. Alhamdulillah...
Betapa beruntungnya saya dapat menikmati bulan Ramadhan yang penuh barokah
ini sekali lagi. Hati saya cukup gembira. Sebenarnya sudah banyak
perancangan yang ingin saya laksanakan di dalam Ramadhan ini. Kerana itulah
saya tidak sabar² menantu kehadirannya.

Bagaimana tidak, di bulan ini Allah yang sememangnya Maha Pemurah telah
melebarkan lagi pintu rahmatNya untuk kesemua kita. Inilah bulannya di mana
setiap amal kita dibalas dengan balasan yang berlipat kali ganda. Inilah
bulannya di mana tidur yang tidak melalaikan juga diberikan pahala. Dan
inilah bulannya kita dapat memperkentalkan benteng kesabaran dan kekuatan
iman dalam menghadapi dugaan hidup.

Selama sebelas bulan sebelum ini kita telahpun melalui hidup ini sebagai
mukmin yang ada kalanya berjaya menewaskan dugaan tetapi yang pada
kebiasaannya, tewas dalam perjuangan. Sebelas bulan sudah lamanya semenjak
kali terakhir kita berjaya mengekang amukan nafsu terhadap nikmat² dunia.
Kini tibalah sebuah bulan di mana nafsu akan sekali lagi tunduk kepada
iman.

Jika dikenang²kan, alangkah bertuahnya kita kerana Allah telah
mensyariatkan berpuasa di bulan Ramadhan ini. Mana tidaknya, setelah puas
bergelumang dengan dosa, tidak kiralah sama ada kecil mahupun besar
sepanjang sebelas bulan yang lalu, maka Allah memberikan kita kemudahan
untuk mengimbangi dosa² yang kita lakukan dengan kurniaan pahala yang
mencurah² di bulan ini.

Agar nanti di Mizan, neraca yang menimbang amalan kita insyaAllah seimbang
ketika menimbang jumlah pahala dan dosa kita. Bayangkanlah jika tiada
keberkatan Ramadhan... Bagaimanakah agaknya dapat kita tambah pahala kita
dengan keadaan harian kita yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan² dunia?
Hendak bangkit di tengah malam bagi menunaikan solat tahajud pun sudah
bagitu berat. Bagaimana lagi dengan amalan² yang lain.

Oleh kerana itu, rugilah bagi mereka yang melalui Ramadhan ini secara sia².
Ramadhan ini seumpama sebuah kotak yang penuh berisi dengan harta yang
terbuka di hadapan kita. Sesiapa sahaja boleh mengambil harta tersebut
tetapi ianya tidak akan susut². Hanya apabila cukup tempoh, kotak itu akan
tertutup. Apakah yang akan kita katakan kepada orang yang melihat sahaja
kotak itu tertutup tanpa mengambil apa² dari dalamnya?

Begitu jugalah kita jika kita biarkan Ramadhan ini berlalu tanpa cuba
melakukan seberapa banyak amal kebaikan dan kebajikan. Tentu sahaja kita
akan tergolong dalam golongan orang yang bodoh. Bukan setakat bodoh bahkan
juga sombong. Kerana tidak mengendahkan pemberian yang diberikan kepada
kita. Maka kerana itu, sewajarnyalah kita berusaha bersungguh² untuk
merebut setiap kebaikan yang dijanjikan di dalam bulan yang mulia ini.

Saya yakin ramai di antara kita yang tidak sabar menanti kehadiran
Ramadhan. Kesemuanya menanti dengan sebab dan alasan masing². Ada yang
mengharapkan kehadiran Ramadhan ini akan menjayakan 'misi' menguruskan
badan mereka. Ada juga yang meletakkan harapan untuk berhenti merokok di
dalam Ramadhan ini. Ada juga yang ingin menjadikan Ramadhan ini sebagai
bulan untuk menambahkan simpanan.

Biar apa pun sebab dan alasan kita untuk menyambut Ramadhan, yang paling
penting jangan lari dari niat yang paling utama. Iaitu berpuasa demi kerana
ianya suatu suruhan dari Allah. Kerana tanpa niat yang ini, biarpun harapan
kita yang lain sempena Ramadhan termakbul tetapi tetap ibadah puasa yang
kita jalankan menjadi sia² belaka. Apatah lagi jika harapan kita tadi juga
terkubur berkubur. Tentunya lebih malang lagi jika berlaku sebegitu.

Allah telah menjadikan tempoh 29 atau 30 hari ini sebagai hari² yang penuh
dengan kegemilangan. Namun kemuliaan dan kesucian Ramadhan seringkali
tercemar kerana sifat tamak dan haloba kita terutama ketika membeli belah
untuk juadah berbuka atau ketika persediaan hari raya. Ini semua adalah
perangkap iblis yang sejak sekian lama begitu gigih melatih nafsu kita
untuk merasuk dan merosak akal dan pemikiran kita.

Jika di bulan Ramadhan ini, kita menahan lapar dan dahaga di siang hari,
kita menahan pandangan mata dan pendengaran telinga dari perkara² yang
tidak baik bahkan kita juga berjaya memaksa batang tubuh kita untuk berdiri
mengerjakan solat tarawih, tidakkah terasa ianya menjadi sia² sekiranya
kita gagal dalam menahan dan mengawal nafsu kita ketika berbelanja sehingga
terjerumus ke dalam jurang pembaziran?

Sesungguhnya Ramadhan ini seumpama seorang teman yang sering kita rindukan.
Kehadiran Ramadhan tentunya mengundang kegembiraan di dalam hati kita.
Maklumlah semenjak sekian lama menanti dan baru kini menjelma. Bagaimanakah
agaknya reaksi kita? Sudah tentu banyak yang ingin diperkatakan. Dan sudah
tentu kita mahu penuhi masa yang terluang bersama dengan perkara² yang
boleh diabadikan dalam kenangan.

Maka kerana itu sewajarnya Ramadhan ini diraikan. Setelah sebelas bulan
menghilang, 'kepulangan' Ramadhan kali ini biarlah kita sambut secara
meriah dengan amal ibadah yang dipelbagaikan. Biarlah kita luangkan
seberapa banyak masa kita dengan melakukan seberapa banyak ibadah yang
termampu. Ibadah² inilah yang akan menjadi kenangan dan yang akan
dibongkarkan di hadapan Allah kelak di Hari Akhirat.

Sesungguhnya kehadiran Ramadhan di sisi kita tidak akan lama. Setelah cukup
masanya, ia akan pergi. Maka sementara ia masih di sisi, marilah kita
manfaatkan masa yang ada. Kerana jika kita lepaskan peluang ini, belum
tentu sebelas bulan lagi kita masih lagi di sini...

Di kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut
kedatangan Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa kepada teman²
muslimin dan muslimat serta para pengunjung blog Diari Abi Naqibah ini.
Semoga puasa kali ini akan menjadi puasa yang paling berkat dan diterima
oleh Allah swt akan setiap amal kebajikan yang telah, akan dan bakal kita
jalankan insyaAllah...

22 September 2006

Susah Dan Senang, Dosa Dan Pahala

Baru sebentar tadi saya terima satu email dari sebuah group. Ketika
membacanya, saya tertawa sendiri. Mana tidaknya. Ianya sebuah posting saya
sendiri yang saya hantar ke ruang siber hampir dua tahun yang lalu. Ketika
itu, saya menulis hanya untuk suka². Bahasa yang saya gunakan pun hanya
bahasa yang mudah. Bahasa pasar yang selalu digunakan dalam email dan sms.

Kemudian, apabila saya menerima banyak respon yang menggalakkan saya mula
cuba menulis secara serius. Dan setelah dinasihat oleh seorang rakan siber
saya (terima kasih Kak Za), saya mula menggunakan bahasa yang lebih formal.

Sengaja saya siarkan di blog ini. Untuk kenangan saya sendiri dan juga
untuk tatapan anda semua yang tak pernah jemu memberikan sokongan kepada
saya untuk terus berkarya di ruang siber ini. Bersama kita Ke Arah
Masyarakat Yang Lebih Sempurna.

Wassalamualaikum warahmatullah.....

______________________________________________________

Susahnya Nak Buat Dosa...
Kalau nak ke disko bukan murah. Kurang-kurang kena bayar RM25 cover charge.
Konon dapat free first drink. Tapi yang dibagi air yang harga kat 7-Eleven
cuma RM1 je...

Senangnya Nak Buat Pahala...
Kalau gi masjid tu, free je. Dah le takde cover charge, minum free bukan
first drink je. Berkoyan-koyan pun boley. Silap² dapat makan free lagi...

Susahnya Nak Buat Dosa...
Kalau nak berzina tu, bukannya semudah ABC. Susah. Nak sewa hotel (duit
tu)... Nak belanja awek tu makan (duit lagi)... Silap² haribulan kena
tangkap basah. Ha... Boleh masuk paper free. Kalau majikan tau, boleh kena
buang keje. Laaagi haru...

Senangnya Nak Buat Pahala...
Kalau nak pose sunat tu, anytime, anywhere. Bangun pagi takde breakfast,
terus niat pose. Dapat dah pahala. Bukan setakat dapat pahala, siap dapat
jimat duit lagi. Pose tu kan boleh kekang nafsu. Cume tak masuk paper je.
Tapi insyaAllah masuk syurga. Laaagi best!

Susahnya Nak Buat Dosa...
Mengumpat tu best kan? Tu lah hobi hampir semua manusia hari ni. Tapi,
ngumpat punye sedap, keje tak jalan. Yang keje tu, bos tengok, abis kena
haruk. Yang suri rumah sepenuh masa lak, suami balik tengok sume tak siap,
tarik muka. Gi makan kat kedai Timah Janda, jeles lak tuh. Timah Janda lak
kena umpat...

Senangnya Nak Buat Pahala...
Berzikir mengingati Allah tu cukup mulia. Allah akan mengingati hambaNya
yang mengingati Dia. Orang pun tak marah. Makin saspek ade. Eh! Respek
la... Suami balik tengok keje sume siap, isteri lak terkumat-kamit
berzikir. Manis je muka. Nak keluar rumah pun takut rugi. Beban keje pun
kurang terasa...

Susahnya Nak Buat Dosa...
Bagi orang tamak, kumpul harta memang takkan cukup sampai bila-bila. Kejor
le harta dunia ni. Makin jauh dia lari. Sampaikan ibadah pun terabai, dunia
tak gak dapat².

Senangnya Nak Buat Pahala...
Jadik zuhud tu bukan je mulia, malah cukup memudahkan. Takyah nak sibuk²
tamak haloba. Jiran beli TV baru, sofa baru, langsir baru, lantak ko la.
Sebab dia dapat hutang baru, kita lak dapat iman yang sentiasa
diperbaharukan. Mane lagih best?

Susahnya Nak Buat Dosa...
Orang kate "Nak hidup terpaksa la menipu". Ha'ah! Hidup la ko kat neraka.
Hehe... Penipu ni bukan setakat Tuhan benci, manusia pun lebih-lebih lagi.
Kalau tipu duit lagi parah. Hidup sentiasa dalam ketakutan. Silap² kantoi,
kena ganti. Tak pun... Saman court dalam... (ikut gaya Aziz Satar dalam
Bujang Lapok)

Senangnya Nak Buat Pahala...
Orang jujur ni bukan sahaja dikasihi manusia & malaikat, malah Allah akan
sentiasa memberkati hidupnya. Mungkin dia jadik mangsa pembelit² kat dunia
ni tapi dia takkan jadik mangsa belitan ular kat neraka. Hidup pun aman,
bukan dalam ketakutan. Bahagia je...

Susahnya Nak Buat Dosa...
Nak lawan hukum Allah bukan senang. Nak study tu, study nih. Carik peguam
tuh, carik peguam nih. Buat kempen tuh, buat kempen nih. Leceh. Terpaksa
pulak buat istilah baru konon yang paling benar. Tapi dusta belaka. Ingat
upah sana upah sini tu murah ke? Banyak ooo abiskan duit. Walaupun duit
rakyat, bukan duit sendiri. Hehe... Dahla hidup kena laknat, siap booking
nama sendiri kat Malek. Dunia akhirat tak tenteram....

Senangnya Nak Buat Pahala...
Cukup senang kalau pakai hukum Allah. Ini bukan yang manusia buat tapi
hukum yang turun dari langit. Takde hukum lebih sempurna dari hukum² Allah.
Inilah hukum² yang seadil-adilnye. Tak payah nak fikir² nak rangka rang
undang² baru. Semuanya dah termaktub dalam Kitabullah. Selain tuh, hidup
pun diberkati. Ridhwan pun sedia nak sambut dengan manis muka. Inilah
kemuliaan orang yang mempejuangkan Agama Allah. InsyaAllah...

Renung-renungkanlah...

Wallahu'alam...

Kenyataan Pope Dan Diri Kita


Akhir² ini kotak masuk email saya dipenuhi oleh berita tentang Pope
Benedict XVI yang dikatakan menghina Islam apabila mengulang semula ayat
dari Emperor Manuel II Paleologos dari kerajaan Byzantine yang mengatakan
bahawa Nabi Muhammad saw meminta atau menyuruh umat Baginda menyebarkan
Islam melalui perang atau pedang atau keganasan. Dalam kata lain, Islam
memaksa orang memeluk agama itu.

Sudah tentu kita sebagai orang Islam akan merasa marah dan geram dengan
kenyataan yang biadab sebegini. Jika seorang Kristian Paria (maksud saya,
yang punyai takat terendah dalam hierarki) yang menyebutnya pun sudah boleh
menaikkan kemarahan apatah lagi seorang ketua agama yang kononnya bersifat
suci. Apakah orang yang ‘suci’ tidak mampu mengawal lidah mereka hinggakan
boleh terbabas kata?

Maka tidak hairanlah jika di sana dan sini orang ‘bersorak’ meminta Pope
memohon maaf atas keterlanjuran katanya dan sebaiknya berundur dari jawatan
itu. Kerana jika dia tidak mampu pengawal lidah sendiri, adalah sesuatu
yang mustahil untuk dia mengawal perbuatan jutaan pengikut Katholik yang
lain. Cuma yang hairannya, mengapa ‘kerajaan Islam’ kita tidak begitu
memandang serius perkara ini…

Saya mengambil masa beberapa hari untuk memikirkan tentang perkara ini di
samping menunggu untuk mendapatkan berita yang ‘lebih jelas’ berkenaan
ucapan Pope Benedict XVI tersebut. Semakin lama difikirkan, saya jadi
semakin pasti. Memang terdapat banyak punca bagaimana ayat provokasi itu
boleh terkeluar dari mulutnya. Tetapi yang paling nyata, tindakan Pope itu
adalah diakibatkan ceteknya pengetahuannya berkenaan Islam.

Di Eropah dan Amerika Syarikat malah di negara kita sendiri, sebenarnya
telah lama wujud penyakit Islamophobia. Bahkan di negara kita ini jauh
lebih hebat lagi. Orang Islam sendiri mempunyai penyakit ini. Penyakit
takut kepada Islam. Kerana itu kita boleh melihat bagaimana hukum Allah
dipermainkan dan dihina oleh penganut sendiri. Dan kita boleh lihat
bagaimana sekolah² agama ditutup kerana dikatakan menjadi sarang pengganas.

Semua kejadian ini, sama ada kepada orang kafir mahupun kepada orang yang
mengaku Islam sendiri, adalah disebabkan oleh pemahaman mereka yang terlelu
rendah tentang apakah Islam sebenarnya. Mereka tidak mengerti apakah
sebenarnya yang dibekalkan dan diajarkan oleh Islam kepada penganutnya.
Sama ada tidak sampai kepada mereka atau mungkin mereka yang menafikan
berita yang mereka dengar.

Jika sememangnya mereka menafikan kebaikan Islam walaupun mereka telah
sedia mengetahui, maka merekalah sebenarnya musuh Allah yang hakiki. Tetapi
seandainya mereka tidak memahami Islam kerana tidak sampai kepada mereka
berita sebenar tentang agama yang terhebat ini, maka sebenarnya itu adalah
atas kesilapan kita sendiri. Kesilapan kita kerana kita tidak menyampaikan.

Saya selalu baca artikel² berkenaan perjalanan saudara² baru (muallaf)
sebelum mereka menemui Islam. Berbagai cerita yang akan kita temui tetapi
yang paling biasa adalah, mereka tidak mengenali Islam dengan lebih dekat
sebelum memeluk agama Islam. Hanya setelah bercampur gaul dengan orang
Islam yang mengamalkan konsep Islam secara menyeluruh, barulah mereka sedar
bahawa sebenarnya agama yang benar hanyalah Islam.

Bayangkanlah di negara kita sendiri. Yang merempit di tengah malam² buta
adalah kalangan remaja Islam. Yang merogol, membunuh, menagih dadah dan
sebagainya, kebanyakannya datang dari kalangan orang yang menganut Islam.
Lebih memedihkan, sebuah parti Melayu yang mendakwa memperjuangkan Islam
sendiri menggalakkan perbuatan mat² dan minah² rempit dengan ‘menganjurkan
parti untuk mereka di masjid²’.

Jikalau beginilah keadaannya, bagaimanakah caranya orang bukan Islam dapat
mengenali agama kita dengan lebih dekat lagi? Saya teringat sebuah kisah
yang diceritakan oleh seorang karkun (peserta Jemaah Tabligh) kepada saya.
Menurutnya, ada seorang lelaki muda dari keluarga kaya yang berterus-terang
kepada ayahnya bahawa dia ingin memeluk Islam. Sebagai seorang kafir, sudah
tentu ayahnya terluka dengan kenyataan anaknya itu.

Apa yang ayahnya lakukan adalah cukup mudah. Dalam satu malam, pemuda itu
dibawa oleh ayahnya berkeliling kota. Menjengah ke lorong² gelap, menonton
perlumbaan haram, ke pusat² hiburan dan banyak lagi tempat jenayah yang
lain. Kemudian ayahnya bertanya. Siapakah yang paling ramai dia temui. Si
anak segera menarik balik niatnya setelah melihat betapa rosaknya akhlak
orang Islam berbanding dirinya yang kafir.

Jika sememangnya ramai orang Islam yang menjadi pembunuh, perogol, perompak
dan berbagai jenayah lagi, bagaimanakah caranya hendak kita katakan bahawa
Islam sememangnya agama kedamaian? Orang luar akan melihat keadaan rumah
kita dahulu sebelum masuk ke dalamnya. Jika di luar sudah kelihatan
bagaikan neraka, siapakah yang mahu bertandang di rumah kita?

Kerana itu, jika kita melompat kerana kenyataan Pope itu, atau mungkin
kenyataan dari orang² kafir yang lain, apa kata kita cerminkan pula diri
kita. Mari kita lihat di manakah silapnya kita hinggakan sehingga ke hari
ini kita masih belum mampu mengubah persepsi orang kafir terhadap kita.
Mengapakah sehingga ke hari ini kita masih dianggap sebagai sebuah agama
yang ‘berbarik’.

Kenyataan Pope itu diambil dari Emperor Manuel II Paleologos di dalam abad
ke-14. Sekarang sudahpun abad ke-21. Sudah berlalu lebih kurang 700 tahun.
Mengapakah dalam masa 700 tahun ini kita masih gagal memperbetulkan
persepsi mereka? Adakah kerana kita sebenarnya sememang pengganas?
Mustahil! Islam adalah agama keamanan. Hanya perlaksanaan oleh kita yang
‘mengganasi’ Islam.

Saya bukan melarang kita memprotes kenyataan Pope. Malah saya sendiri
begitu ‘bengang’ dengan si tua itu. Dan adalah amat perlu untuk kita
mengutuk dan menuntut Pope meminta maaf atas kenyataannya. Namun, jika
Pope meminta maaf sekalipun, boleh pulihkah luka yang terguris di hati dan
iman kita? Dan paling penting, apakah dapat kita pastikan tidak akan keluar
lagi kenyataan biadap seperti itu dari mana² individu?

Kita tentu tidak mahu kenyataan seperti ini berulang lagi. Maka menjadi
tanggungjawab kita untuk mengubah persepsi mereka terhadap kita. Kita masih
punya masa untuk berbuat begitu. Jadi marilah kita mulakannya sekarang.
Mulakan dengan diri kita, keluarga kita, kejiranan dan seterusnya
masyarakat dan negara kita. Islam mesti dilaksanakan secara menyeluruh.
Hanya ketika itu, barulah Islam dikenali secara hakiki. Dan saya yakin,
pada waktu itu, tidak akan ada lagi individu yang berani menghina Islam.

19 September 2006

Menunggu Bala


Baru² ini saya ada menerima sebuah email dari group yang saya sertai. Ianya
berkenaan gambar pasangan lesbian di Singapura. Disebabkan saya melanggan
group tersebut secara daily digest, maka saya tidak dapat melihat gambar
yang dilampirkan. Tetapi saya fikir gambarnya pasti tidak keterlaluan
kerana group tersebut terkenal dengan bilangan moderadornya yang ramai yang
sedia manapis bahan² lucah.

Baiklah, itu bukan isunya di sini. Yang membuatkan saya tertarik adalah
apabila terbaca komen dari seseorang dalam group tersebut. Katanya, cerita
tentang pasangan lesbian itu bukan berlaku hanya di Singapura sahaja.
Bahkan juga, di Bukit Bintang melambak pasangan seperti itu berkeliaran.
Katanya, entah bila hendak diturunkan bala. Bala? Ya… Bala dari Allah. Bala
kerana mengingkari perintahNya. Bukan Balakrishna!

Lantas saya teringat kata teman saya beberapa tahun dahulu. Ketika itu, kes
seorang relajar sekolah rendah yang dirogol sehingga mati di Johor Bahru
heboh diperkatakan. Ia kemudiannya diikuti dengan beberapa lagi ‘siri’
jenayah sebegini membuatkan masyarakat menjadi tidak senang duduk. Ketika
itu, saya melahirkan kehairanan kepada teman saya itu mengana manusia
sanggup melakukan jenayah sebegitu rupa.

Jawapannya cukup menarik. Katanya, apa yang berlaku ini bukanlah lagi
jenayah. Ianya sudah menjadi bala. Jika jenayah, ianya mungkin kita dengar
sekali dan sekala. Tetapi, jika ianya berturutan, kemungkinan sekali ianya
bala dari Allah. Sebagai peringatan kerana mengingkari perintah Allah.
Sebagai peringatan kerana kufur dengan hukuman yang telah Allah sediakan
untuk kita amalkan.

Jawapan itu cukup terkesan di hati saya. Hinggakan sesudah beberapa tahun
berlalu, saya masih tetap teringatkannya lagi. Seperti baru² ini kecoh
dengan kejadian ragut. Ianya telah menjadi seperti satu pesta atau fenomena
sehinggakan membawa kepada pembunuhan. Setiap hari ada saja berita ragut
yang kita akan dengar atau baca di media. Mungkinkah ini juga merupakan
satu bala dari Allah? Mungkin juga!

Sebenarnya, apabila kita menyebut tentang bala, fikiran kita secara
automatik akan terbayangkan kejadian² dahsyat seperti tsunami dan ribut
taufan yang meragut ribuan nyawa. Bagi kita, bala bererti bencana alam.
Tetapi jika difikirkan semula, kata teman saya tadi ada banyak benarnya.
Bala bukan semestinya kejadian bencana alam. Bahkan jenayah² yang berlaku
di sekeliling kita juga mungkin merupakan bala dari Allah.

Apa sahaja yang tidak menyenangkan hidup kita, ianya merupakan bala. Bagi
individu, mungkin ditimpa penyakit berat merupakan satu bala untuknya.
Kerana dia kehilangan keupayaan untuk melakukan tugas. Atau mungkin
tanggungjawab yang dia tidak redha kepadanya juga satu bala. Jika benar
begitu, maka sudah setentunya kejadian jenayah juga merupakan satu bala
kepada kita. Kerana kita jadi tidak senang kerananya.

Allah menurunkan bala kepada sesuatu masyarakat adalah sebagai peringatan
untuk masyarakat tersebut dan sekelilingnya akan kelalaian yang telah
mereka lakukan. Jadi, dengan keadaan kita yang sememangnya lalai dengan
tugas kita sebagai khalifah dan juga umat Nabi Muhammad saw yang diberi
tugas sebagai penyampai agama Allah, bukankah logik jika kita katakan
sememangnya kita sedang ditimpa bala sekarang ini?

Hari ini, kita enggan menghukum orang yang berzina dengan hukuman sebatan
100 kali ataupun rejam sehingga mati bagi orang yang telah berkahwin. Bukan
sahaja enggan, bahkan kita mengutuk dengan mengatakan bahawa tidak mungkin
kita mampu memperolehi saksi adil seramai 4 orang bagi mengukuhkan
pendakwaan. Kita juga anggap hukuman seperti itu adalah zalim, sadis dan
ketinggalan zaman.

Akhirnya, akibat keengganan itu, maka Allah turunkan bala sehingga
perzinaan menjadi suatu amalan yang biasa dalam masyarakat kita. Terlalu
ramai pasangan remaja kita yang terlanjur dan terjebak ke alam kerosakan.
Dan bagi menambah keperitan bala yang ditimpakan, Allah jadikan pula
mereka, si penzina² ini, sebagai pembunuh dengan membuang bayi yang tidak
berdosa di tempat² yang jijik dan tidak sepatutnya.

Kemudian kita ingkar pula kepada arahan Allah untuk menghukum mereka yang
mencuri dengan hukuman potong tangan. Bukan setakat ingkar, kita ketawakan
pula dan katakan nanti orang Islam semuanya akan kudung² belaka tangan
mereka (macamlah semua orang Islam itu pencuri!). Akibat keingkaran itu,
Allah jadikan mencuri dan meragut itu sebagai kerjaya bagi sesetengah
daripada kita.

Hinggakan jenayah rompak, curi dan ragut itu disusuli pula dengan jenayah
lain seperti rogol dan bunuh. Hinggakan untuk mendapatkan beberapa ringgit
sahaja di dalam beg tangan seorang wanita, mereka sanggup membunuh mangsa.
Kejam! Bukankah ini lebih kejam daripada hukuman potong tangan itu sendiri?
Tambah pedih lagi, kekejaman ini berlaku kepada mangsa² yang tidak
melakukan kesalahan. Bukan kepada pesalah!

Hukumlah dengan hukuman penjara. Saya koleksi kes pengedar dadah dan
pencuri yang dicekup dan dipenjarakan kemudian dibebaskan semula selepas
tamat hukuman. Saya katakan 80% dari mereka kembali ke kerja asal mereka.
Mengapa? Desakan hidup. Tetapi yang paling penting, pengalaman ditangkap
polis menjadikan mereka lebih cekap dalam menjalankan aktiviti mereka.
Percaya atau tidak?

Kesemua kejadian ini menjadikan kita mula tidak senang duduk. Rasa risau
dengan keselamatan ahli keluarga serta diri sendiri menjadikan kita hidup
dalam ketakutan. Ketakutan dan fobia yang kebanyakan kita rasakan sekarang
ini hampir sama dengan ketakutan dan fobia yang dialami oleh mangsa²
tsunami serta lain² bencana. Nyatalah, kita sebenarnya memang dalam timpaan
bala.

Tidak cukup itu, disebabkan sifat kita yang membenci sunnah (terutama
tentang pakaian), maka Allah jadikan remaja kita sesat dalam arus fesyen
perdana. Ada yang berpakaian dan berpenampilan seperti berus dawai dan
penyapu malah ada pula yang berpakaian tetapi lebih hampir kepada
telanjang. Dan, kerana keengganan kita menyampaikan dakwah, maka Allah
turunkan bala kepada kita dengan gejala murtad yang kian berleluasa.

Terlalu banyak contoh yang boleh saya sebutkan di sini. Boleh kata hampir
semua kejadian yang buruk yang berlaku dalam masyarkat kita adalah akibat
kecuaian dan keengganan kita sendiri. Maka tidak salahlah jika dikatakan
kejadian² itu merupakan bala yang Allah turunkan kepada kita sebagai ‘jam
loceng’ yang mengejutkan kita dari lena yang panjang. Supaya kita kembali
ke jalan sebenar yang Dia sebenarnya inginkan.

Perlukah kita menunggu bencana seperti tsunami untuk tersedar bahawa kita
sebenarnya sudah tersasar jauh dari tugas dan matlamat kita? Perlukah
sebahagian besar dari bumi Malaysia ini ditenggelami air atau punah ditelan
ribut puaka untuk membangkitkan kita dari mimpi yang tidak berkesudahan?
Tidakkah cukup dengan segala bala yang diturunkan dalam bentuk yang sedia
ada ini mengingatkan kita? Mengapakah kita masih mahu menunggu bala yang
lebih besar sebelum kita mula bertindak?

Matlamat Perjuangan


Sudah lama saya tidak menulis artikel yang berbau politik. Dan kebanyakan
posting yang saya buat juga tidak menggambarkan pegangan politik saya yang
sebenar. Jika adapun artikel saya yang kelihatan 'berhaluan kiri', ianya
hanyalah kritikan kepada kerajaan atas beberapa keputusan yang mereka buat,
bukan menjelaskan fahaman politik yang saya 'anuti' secara jelas. Saya
lebih suka sebegitu sebenarnya.

Pada awal saya menulis di ruang siber ini, ya, memang kebanyakan artikel
saya telah menunjukkan saya condong ke arah mana. Tetapi kemudian ramai
yang menghubungi saya yang nyata kurang senang saya bersikap sedemikian.
Dari situ saya tahu rupanya bukan hanya orang Pas yang membaca artikel saya
dan mengunjungi blog saya. Jadi saya tukarkan corak. Saya jadikan penulisan
saya lebih menjurus pengislahan diri, bukan politik kepartian.

Tetapi malam tadi, saya menerima 'sepucuk' email dari seseorang. Nama
terdaftar pada IDnya adalah Ustaz Zatsu. Saya sendiri tidak kenal siapa
dia. Dan saya juga tidak pasti dari mana dia perolehi alamat email saya.
Tetapi itu tidak menjadi hal. Apa yang menjadi hal ialah isi kandungan
emailnya. Di dalam email tersebut, terlalu banyak kutukan pedas yang
dilemparkan terhadap Pas.

Saya baca lebih dari 3 kali. Dan setiap kali saya pasti tersenyum.
Tersenyum, kerana saya terfikir apakah yang membuatkan dia ingin
mengirimkan email itu terhadap saya. Mungkinkah dia rasakan saya seorang
yang fanatik terhadap pas? Dan tersenyum kerana banyak isu yang disebutkan
adalah isu lapok. Isu yang sebenarnya sering digunakan oleh orang Umno yang
ketandusan idea.

Kritikannya cukup pedas. Jika saya seorang yang fanatik terhadap Pas,
mungkin saya boleh jadi mengamuk. Tetapi sayangnya, saya bukanlah seorang
yang sebegitu. Dan tujuan saya menulis email ini bukanlah untuk membela Pas
sebaliknya untuk menjelaskan pegangan politik saya kepada sesiapa yang
tidak tahu dan ingin tahu. Supaya selepas ini, saya tidak lagi disalah
anggap.

Ustaz Zatsu di dalam emailnya menyebut tentang isu pilihanraya bukan
ibadah, menyebut tentang isu tuhan samseng dan juga tentang kononnya banyak
perkara bathil dan bidaah yang diperjuangkan di dalam Pas. Hm... Berat,
kan? Secara zahir, memang isu yang diketengahkan oleh si penulis agak
benar. Ya, pilihanraya atau demokrasi bukanlah apa yang dihukumkan oleh
Allah. Yang betul, sistem pemerintahan Islam adalah sitem Khulafa.

Saya akan sentuh tentang itu kemudian. Saya lebih berminat untuk bercerita
tentang tuhan samseng ini. Katanya, untuk menjadi samseng, seseorang perlu
zalim, hati kering dan sebagainya. Tetapi dia lupa sebenarnya samseng
adalah istilah. Samseng atau tidaknya seseorang itu terletak kepada siapa
yang menggelarnya. Jadi samseng itu tidak semestinya zalim. Samseng boleh
jadi seorang yang baik.

Penjajah British mengatakan Datuk Maharajalela adalah seorang samseng.
Mengapa? Kerana Datuk Maharajalela begitu tegas terhadap penjajah itu
hingga sanggup membunuh wakil mereka, JWW Birch. Begitu juga beberapa ulama
dan pejuang kemerdekaan Malaya yang digelar penjahat atau wanted persons
oleh penjajah ini seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut dan sebagainya.

Adakah kerana mereka ini betul² jahat? Tidak! Bahkan mereka orang mulia
yang berjuang menetang penjajahan. Tetapi mereka dianggap samseng kerana
yang menggelar mereka sebegitu adalah manusia yang jahat sebenarnya. Apakah
tindakan mereka 'bersifat samseng' kepada penjajah ini layak kita gelar
sebagai zalim? Tidak, bahkan merekalah yang mengangkat darjat kita sebagai
bangsa yang tidak rela dijajah.

Begitu juga, jika Tuhan bersifat samseng kepada orang kafir dan mereka yang
menyekutukan Allah dan berkelakuan mungkar, apakah Tuhan itu zalim? Tidak!
Jika Allah menjanjikan balasan neraka yang siksanya amat pedih itu kepada
mereka, apakah Allah bersikap kejam? Apabila Allah memerintahkan bunuh
kepada mereka yang murtad, tentulah si kafir akan mengatakan Allah itu
samseng.

Jadi, dengan janji azab yang disediakan, Tuhan memang samseng kepada orang
kafir. Kata samseng dunia, kalau nak selamat penuhi permintaan mereka. Dan
Allah pula berkata, jika mahu lepas dari siksa neraka, ikutilah
perintahNya. Dan saya pernah terbaca hadits yang memetik Nabi saw berkata,
sesiapa yang sombong itu adalah melakukan syirik. Kerana sombong adalah
sifat Allah. Hanya Allah yang layak bersifat sombong. Pulak?

Tetapi jika didalami, sememangnya Allah layak bersifat sombong. Setiap
titik perkara yang ada di atas muka bumi ini hanyalah milik Allah. Sudah
setentunya sebagai al-Malik, tidak ada halangan untuknya bersifat demikian.
Cuma yang menjadi masalah ialah pemahaman kita terhadap maksud ayat²
tersebut. Untuk orang yang rendah tahap aqalnya, tentu mereka hanya mampu
melihat pada zahirannya sahaja.

Seperti saya katakan di awal tadi, saya tidak berniat mahu membela Pas.
Saya hanya mahu menerangkan isu yang sebenarnya. Adalah tidak adil untuk
masyarakat terus dibutakan dengan hujjah kosong mereka yang anti Pas yang
kononnya tampak lebih alim dari ulama² Pas padahal mereka hanya tahu
memutar belitkan fakta. Sedangkan hakikatnya mereka sendiri yang
sembunyikan perkara sebenar.

Saya bukan pejuang Pas. Perjuangan saya bukan untuk memastikan Pas
mentadbir Tanah Melayu ini. Sebaliknya perjuangan saya ialah untuk
mendaulatkan agama Islam sebagai satu²nya agama yang memerintah bumi
Malaysia dan jika boleh seluruh dunia. Sama ada Pas, atau mungkin parti
atau pergerakan lain yang wujud kemudian hari, jika Islam matlamat mereka,
insyaAllah saya akan bersama mereka.

Hanya pada hari ini, secara kebetulan, nota perjuangan saya serupa dengan
bait² perjuangan yang dialunkan oleh Pas. Maka apa salahnya kami memukul
gendang yang sama? Kami sama² mahukan Islam mentadbir, kami sama² mahukan
sunnah dijunjung dan kami sama² mahukan keberkatan dari Ilahi. Apakah
salahnya saya meletakkan kepercayaan saya kepada mereka untuk menjana mimpi
yang saya impikan selama ini?

Apakah saya hendak berharap kepada pemimpin yang melakukan modifikasi
terhadap Islam dengan menambahkan 'imbuhan' Hadhari pada hujung perkataan
Islam? Apakah saya mahu menyertai mereka yang membiarkan orang Islam
dimurtadkan dengan sewenangnya, yang membiarkan mayat saudara Islam dibakar
menjadi abu oleh penganut agama lain? Tentu sekali tidak! Saya tidak rela
laknat Allah terhadap saya kerana bersama mereka!

Hari ini, kebetulan perjuangan kami sama. Jika esok, setelah Pas
ditaqdirkan memerintah dan Pas mula lari dari konsep perjuangan yang mereka
alunkan pada hari ini, saya akan menjadi orang yang menetang mereka. Sekali
lagi, saya bukan fanatik Pas. Jika selepas ini ada gerakan yang lebih
konsisten dan tegas dalam menegakkan Islam, insyaAllah saya akan menyertai
mereka.

Yang pasti, saya tidak akan bersama dengan orang yang merosakkan Islam.
Yang pasti, matlamat perjuangan tetap satu. Islam. Kerana Allah. Inilah
yang perlu dipegangkan. Jika Pas lari dari pegangan ini, tidak ada lagi
tolak ansur terhadap mereka. Jika Pas tidak melaksanakan Islam setelah
mereka memegang tampuk pemerintahan kelak, memang itulah masanya untuk Pas
juga digulingkan.

Cukuplah. Saya rasa semakin panjang saya menulis, semakin ramai orang yang
sakit hati. Jadi saya tidak mahu menambahkan bilangan musuh. Mungkin
selepas ini tidak ada lagi artikel bercorak politik seperti ini dari saya.
Kerana matlamat saya adalah pengislahan diri dan masyarakat. Fahaman saya
mudah saja. Kita hanya perlu kembalikan masyarakat ke dalam lingkungan
akhlak Islamiyah.

Jika Pas betul² menegakkan Islam, setiap orang yang memahami Islam (dan
tidak berkepentingan dalam kerajaan seperti sesetengah mufti dan imam
masjid) akan turut menyertai Pas. Jadi yang paling penting sebenarnya
berkempen untuk Islam, bukan untuk Pas. Jika ada sesetengah orang yang
tidak mahu bersama perjuangan Pas, rasanya mungkin orang itu adalah orang
yang menolak sistem demokrasi.

Sebenarnya, saya juga amat membenci demokrasi. Dan begitu juga Tok Guru²
kita. Tetapi kita tidak punya pilihan. Cuba terangkan bagaimana caranya
hendak menjadikan Islam sebagai agama yang mentadbir di negara kita
sekarang? Dengan penubuhan gerila dan merampas kuasa? Tidak. Iman orang
kita belum sampai ke tahap itu untuk mati menegakkan agama Allah. Jadi
bagaimana? Sebab itulah kita perlu berjuang atas tiket pilihanraya.

Menyertai pilihanraya bukanlah bererti kita mengiktiraf demokrasi sebagai
sistem yang lebih baik dari sistem yang Allah sediakan. Tetapi ini dilihat
sebagai satu²nya pilihan yang kita ada. Setelah kita memegang tampuk
pemerintahan kelak, setelah kita berjaya mengislahkan masyarakat kelak,
barulah kita boleh hapuskan demokrasi sepenuhnya. Dalam erti kata lain,
gunakan demokrasi menghancurkan demokrasi.

Menyertai pilihanraya jauh lebih baik daripada duduk bersembang di masjid²
dan menghalalkan (serta memuji) pemerkosaan terhadap Islam oleh pemimpin
sekular bertopengkan Islam. Jika kita menolak pilihanraya dengan alasan
ianya sistem kufur, terangkan apakah yang telah kita lakukan untuk
mengembalikan maruah Islam? Para ulama dunia telahpun mengeluarkan fatwa
bahawa menyertai pilihanraya bukanlah merupakan satu kesalahan. Jadi,
mengapakah kita yang fahaman cetek ini hendak berbicara hukum mengalahkan
mereka yang lebih berpengetahuan?

Akhirul qalam, saya memohon ribuan ampun dan maaf kepada sesiapa yang
terasa dan terguris hati akibat artikel ini. Baik orang Umno ataupun orang
Pas. Mahupun para karkun. Ini hanyalah secoret tulisan mengenai pegangan
politik saya. Tidak lebih dari itu...

18 September 2006

Darul Taqwa Dan Dr. Johar

Oleh: Unknown.

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang
dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba?
Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu.
Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik... Tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di
Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di
belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk
Dr.Johar, orang besar negara ini. "Pakcik, biarlah saya tolong kutip,
sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik" kata
budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya. Datuk
Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok
dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru
berlapis-lapis.

Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah
pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang-siur bergerak di
udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan
panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh
manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku
mereka... Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. "Hoi
budak! Aku dimana sekarang?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak.
Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya? Teka-teki itu terus
menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut
hendak menjawab. Belum sempat, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis
Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang
hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum... Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan
membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini.
Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini
menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali Subhanallah, 30 kali
Astaghfirullah dan selawat 100 kali." Kata pegawai penguatkuasa itu dengan
lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada
dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia
tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan
aku? "Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita
selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan?" tanyanya
angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan
ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan
matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang. "Oh,
oh... Maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai
pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai
itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan
ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak
perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan
kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre
Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul.
Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang
ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di
negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. " "Pakcik, itu
pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul
Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu.
Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat
gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam.
Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada
orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin
kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?"
Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi
jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala lumpur.
Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi
itu sahaja, yang lain tak ada. "Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan
Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam.
Diberi amanah untuk memastikan kebersihan zahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit
dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa
yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.
"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan
Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas.
Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai
penguatkuasa. "Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! Seksa
Neraka amat pedih... Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya
dihukum di Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki
yang baru datang dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari
sekuat-kuat hati. Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas... Lega.
Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu
minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound
system di tepi-tepi jalan:

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar,
hartawan besar berada di Jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin
supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila
datang!"

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, tidak akan mencemar duli menagih nasi.
Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di
tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan
berjubah. Matanya tidak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar ia
masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki." "Ceh!
Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."
Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain
yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka
pemisahan-pemisahan macam ni!". Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun
yang lalu adalah. Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman
penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di
sini, tuan. Amir Muhammad, pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf
wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama,
sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri
dan anak perempuan" terangnya. Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba
putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis,
sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..." "Masya-Allah
pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub
sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada
orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah..."
Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya
bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk.
"Nasi beriani sepinggan !" ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?"
tanya pelayan itu kehairanan. "Ya! Apa peliknya?" "Baik, tuan. Tapi semua
orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya
pelayan berkulit hitam itu. Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke
tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan, hanya hamparan
permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka
makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian!

Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih
khas. "Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki." kata pelayan
itu dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu
berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan
seorang diri bagai kera sumbang.

"Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam
sembahyang jemaah Subuh" ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa.
Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan sahaja. "Anta tak cuba tampung
dengan amal makrufat yang lain?" tanya sahabatnya di sebelah. Dia nampak
simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu
ringgit... Malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi,
seorang pun tak mahu terima sedekah ana" keluhnya. "Susah kita sekarang.
Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya
bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita. Ah, susahnya jadi orang kaya
macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, di dunia orang tak
sudi pula terima sedekah kita... Oh...!" keluh seorang yang sama-sama makan
dengan lelaki muda tadi.

"Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta
yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa,
yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila
kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk
kemaskinikan kementerian-kementeriannya... Ana nak labur habis-habisan.
Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun
makan dengan perlahan-lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada
pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan... Berhentilah
sebelum kenyang. Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan
kedai merangkap pegawai perubatan..." kata pelayan itu lagi. "Apa? Awak
pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam
negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!"
bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak
dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang.
Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum
kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!”

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam
aku ini ?" leternya perlahan-lahan. "Penyakit kencing manis? Tuan
menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang
penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya..." "Batalkan saja oder saya
tadi, banyak sangat cakap. Boring. Saya perlu hiburan sekarang... Di mana
boleh saya dapati ?" tanyanya. "Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem
komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang
menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma."

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang
ditunjukkan. Berbagai-bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip.
Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu
kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan
kolot... Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah
atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam
skrin timbul tajuk besar - KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul
nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN
NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA... Oh...Oh... Seram sejuk
tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku
macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. Aku belum nak mati
lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas
skrin komputer: RAJA'. Kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya
dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN
JANNAH YANG ABADI... Kepala Datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang
Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada
seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik. Saya
pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni. Top-hit anak-anak muda
sekarang..." "Ya, ya saya setuju" balas Datuk Dr. Johar. Telinganya
dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar
lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.

Ayat suci Al-Quran..."Eh... Ni suara orang mengaji..." "Nanti dulu pakcik,
selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya" kata pemuda
berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.
Kemudian getaran suara bergema....

"Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
Mendamba kasih yang tidak berhujung
Mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta...
Stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan
sajalah..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya
bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.
"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami
halalkan sajalah."

"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan
berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar
pencuri."

" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong
tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana
takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya. Makin gila aku dibuatnya" pekik Datuk Dr.
Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar, semua pandangan
menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini
tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya. Pilot helikopter
dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang
jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang jelas: "KELUARGA BAHAGIA
GEMBIRA DENGAN SUNNAH". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan
perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan
berpurdah.

Isy, meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum.
Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini?
Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar
tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba
meletus.

*****

"Datuk...! Datuk...! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar
bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?" tanya Datuk Dr. Johar. "Tidak, Tuk.
Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi. Mereka tak mahu
pilihanraya..." "Habis, mereka mahu apa?" "Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam?" keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya......

"ISLAM 'KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG... ITULAH JANJI ILAHI"

Nota Abu Naqibah:

Ini bukanlah karangan saya. Saya telah terima cerpen ini melalui email dari
seorang teman. Pertama kali membacanya saya jadi amat tertarik dan ingin
berkongsi dengan semua pengunjung blog ini. Mungkin ada antara anda yang
telah membacanya. Sayangnya nama penulis asal tidak disertakan. Jika ada
sesiapa yang mengetahui siapa penulis asal cerpen ini, diharap dapat
memberitahu saya supaya orang yang sepatutnya menerima kredit atas karya
yang superb ini.

Wassalamualaikum warahmatullah.....

17 September 2006

Pahit Akan Manis Juga Akhirnya


Minggu lepas, saya ke kedai rakan saya untuk menggunting rambut. Kebetulan,
ketika itu rakan saya agak sibuk kerana sedang melayan seorang rakan lain
yang datang untuk menggunting rambut anaknya yang baru berusia 3 bulan.
Jadi rambut saya dipotong oleh pembantunya, seorang muda yang baru tamat
latihan. "Macamana bang? Tapak satu ke kosong?" tanya pemuda itu. "Kosong!"
jawab saya sambil menyambut senyumnya.

Ketika dia sedang 'menebas' rambut di kepala saya, anak rakan saya di
sebelah tidak habis² menangis. Iyalah. Budak kecil bukan tahu apa. Tetapi
tangisan bayi tersebut menarik perhatian pemuda yang menggunting rambut
saya. "Lama tak dengar suara budak kecil menangis." katanya. "Seronok kan?"
tanyanya. Saya hanya tersenyum. Kemudian saya bertanya kepadanya "Kau dah
kahwin?" "Belum..." jawabnya ringkas.

"Tunggu apa lagi? Kahwin cepat la bagus..." "Belum ada rezeki bang..."
jawabnya lagi sambil terus tersenyum. "Rezeki ada je di mana². Mana boleh
kata belum ada rezeki" jawab saya pula. Dia tersenyum lagi. Kali ini dia
menukar jawapannya kepada 'belum sampai seru'. Okaylah kata saya. Kalau
kata belum sampai seru, atau maksudnya belum bertemu jodoh, mungkin saya
boleh terima lagi.

Entahlah. Akhir² ini saya asyik menasihatkan orang² muda yang saya temui
agar berkahwin cepat. Pantang terdengar mereka berbual tentang perempuan,
atau 'bergayut' di telefon lama², pasti saya akan 'menggatal' menyuruh
mereka berkahwin segera. Ramai yang memberi alasan mereka masih muda.
"Huh!" dengus saya. "Aku dulu ingat umur 27 masa aku kahwin dulu tu muda
lagi. Rupanya 27 tu dah terlalu tua sebenarnya..."

Tetapi yang paling ramai memberikan alasan mereka belum cukup wang, tidak
cukup bersedia atau kerjaya belum kukuh. Sebenarnya, saya cukup akui
perihal jodoh ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Menentukan semata². Jika
Allah menentukan belum ada jodoh untuk kita, buatlah bagaimana sekalipun,
kita tetap tidak akan berkahwin. Tetapi untuk menjadikan 'rezeki' atau wang
sebagai alasan, saya cukup tidak berkenan.

Saya teringat ketika saya hendak berkahwin dahulu. Sebelum saya mengikat
tali pertunangan, saya telah pun mempunyai satu kerjaya yang boleh
dikatakan stabil. Walaupun tidak semewah mana, namun saya masih mampu
berkereta dan mampu menanggung ibu bapa saya serta mempunyai sedikit 'wang
saku' untuk berfoya² (ini zaman muda² dulu la...). Namun segalanya berubah
tidak lama selepas saya bertunang.

Syarikat tempat saya bekerja mula mengehadkan dan mengawal jumlah jam kerja
lebih masa (OT). Pendapatan saya mula berkurangan. Bukan sedikit tetapi
hampir seribu ringgit juga sebulan. Ketika itu, perniagaan yang saya
jalankan juga mula dilanda masalah dengan rakan kongsi saya melarikan wang
pelaburan saya. Akhirnya saya mula 'berkawan rapat' dengan kad kredit.
Mula² memang mudah tetapi lama kelamaan saya jadi kian tersepit.

Akhirnya saya ambil keputusan untuk bertukar tempat kerja. Saya menyertai
syarikat saya bekerja sekarang ini sebagai pelatih. Berapa sen sangat gaji
yang saya perolehi sebagai pelatih. Selepas dibayar kad kredit, selepas
ditolak duit kereta dan duit untuk ibu bapa saya, yang tinggal untuk saya
adalah negatif. Dengan majlis yang bakal berlangsung tidak berapa bulan
lagi, saya mula kehilangan arah.

Sesekali syaitan berbisik kepada saya untuk membatalkan perkahwinan. Tetapi
tidak! Saya perkuatkan azam dalam hati untuk menunaikan janji yang telah
saya buat. Di ketika itu juga, Allah telah memancarkan sinar hidayahNya
kepada saya dan membawa saya pulang ke jalan yang dia redhoi. Saya mula
belajar untuk mensyukuri nikmat dan belajar untuk berkata cukup dengan apa
yang saya ada.

Saya mula pasrah dengan apa yang terjadi. Dan ketika majlis penyerahan wang
hantaran hampir sampai, saya hanya ada sepuluh ringgit di dalam poket.
Tunang saya (kini isteri) ketika itu pula masih menuntut di maktab.
Bagaimana pula dia dapat membantu. Dan kerana dia masih di maktab jugalah
kami harus kahwin segera. Kerana saya tidak mahu dia dihantar bertugas jauh
sebaik selesai pengajiannya.

Akhirnya, apabila tiba hari penyerahan wang hantaran, saya bertekad untuk
menggunakan wang ansuran bulanan kereta. Ketika itu, bayaran kereta saya
'tersangkut' untuk dua bulan. Pihak bank sudah sibuk menghubungi dan
mengugut untuk mengeluarkan surat tarik. Kad kredit saya juga sudah tidak
boleh digunakan lagi. Ada yang sudah sampai tahap maksimum dan juga yang
digantung kerana tiada pembayaran dibuat.

Saya jadi begitu buntu. Tidak tahu bagaimana saya boleh dapat sumber lagi
untuk meneruskan majlis yang telah dirancang. Nasib saya baik, tidak berapa
lama sebelum majlis, saya terdengar berita isteri seorang dari teman saya
diberhentikan secara VSS. Dengan muka tidak malu, saya pinjam darinya
RM1000. Dan dengan berbekal wang sebanyak itu, dengan kereta tergantung 3
bulan, dengan kad kredit yang dibekukan, majlis saya dilangsungkan...

Tetapi itu cerita dulu. Kini semuanya sudah selesai. Alhamdulillah saya
dikurnai seorang isteri yang penyayang dan sebuah keluarga yang bahagia.
Anak akan bertambah menjadi dua pada penghujung tahun ini, insyaAllah.
Kini, hutang kepada teman saya sudah dilangsaikan. Kad kredit yang dahulu
sudah saya potong selepas bakinya saya selesaikan. Dan, kereta saya juga
masih wujud hingga hari ini dan digunakan oleh ayah saya untuk ke kebun.

Inilah yang dinamakan rezeki. Sebenarnya, selepas berkahwin pun hidup saya
tidaklah berubah serta merta. Tetapi sedikit demi sedikit keadaan menjadi
lebih baik. Setahun selepas perkahwinan kami, latihan saya pun tamat dan
saya telah menerima kenaikan gaji yang agak selesa. Isteri saya juga tamat
pengajiannya di maktab dan ditugaskan mengajar di sekolah yang berhampiran
rumah kami. Keadaan telah menjadi benar² pulih.

Kelahiran anak sulung kami, Nurul Naqibah Izzati juga bagaikan 'membawa
rezeki' kepada kami. Rezeki yang kami terima bagaikan melimpah ruah. Pada
ketika itu, saya rasakan kepala saya cukup lapang. Dan hidup saya juga amat
tenteram. Tetapi langit tidak sentiasa cerah. Ada juga kalanya kami
tersepit. Dan kini isteri saya hamil lagi. Untuk seketika, kami dilanda
sedikit kesempitan tetapi tetap, tidak seteruk yang pernah kami alami
dahulu.

Tetapi seperti kata orang tua², setiap anak ada rezeki mereka sendiri. Hari
ini, saya dapat lihat beberapa 'pintu rezeki' yang baru mula terbuka untuk
kami jengah. Saya yakin malah begitu yakin sesungguhnya rezeki itu ada di
mana². Saya yakin Allah tidak akan pernah menduga hambaNya dengan dugaan
yang tidak mereka sanggup tempuhi. Dan saya cukup yakin, segala pahit akan
manis juga akhirnya.

Kerana itu, saya tidak merasa gusar lagi. Belanja kelahiran anak kedua
kami, belanja untuk Naqibah yang kian membesar, kos untuk perpindahan rumah
kami dan segala apa beban yang sedang dan akan kami tanggung, saya pasti
Allah telahpun menyediakan jalan penyelesaiannya. Yang penting untuk diri
saya, mesti terus berusaha dan mesti terus berdoa. Dan paling penting,
mesti sentiasa yakin kepada sifat a-Rahman dan ar-RahimNya.

Saya pasti, ada orang yang pernah mengalami pengalaman yang lebih
memeritkan dari apa yang kami alami. Tetapi percayalah, saat paling indah
untuk sesuatu penyiksaan itu ialah tatkala mengenangnya apabila semua
siksaan tersebut sudahpun selesai. Terasa manisnya hidup ketika itu. Sebab
itu, kadangkala saya akan mengungkit kisah ini dengan ibu bapa atau pun
isteri saya. Kami pasti akan tersenyum mengenangkannya.

Dan kerana itulah, saya seakan tidak dapat menerima apabila orang
mengaitkan rezeki dan wang sebagai alasan mengapa mereka masih belum
berkahwin. Rezeki itu milik Allah sebenarnya. Apa yang perlu kita lakukan
hanyalah berusaha sekuat mungkin dan berdoa sebanyak yang boleh.
Selebihnya, serahkan kepada Allah untuk melaksanakan rencanaNya.
Sesungguhnya Allah itu Sebaik² Perencana.

Jika rasa hendak berkahwin, berkahwinlah. Janganlah risaukan soal rezeki.
Sesungguhnya perkahwinan adalah sesuatu yang mulia. Perkahwinan juga
merupakan ibadah. Dan Allah telah menjanjikan bantuan untuk mereka yang
berbuat sesuatu keranaNya. Dan sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri
janji. Asalkan yang paling penting, dapatkan doa restu dan keizinan dari
orang tua. Dan perbetulkan niat perkahwinan ini didirikan kerana Allah,
bukan nafsu semata². Yang selebihnya, serah sahaja kepadaNya. Percayalah,
pahit akan manis juga akhirnya. Jika tidak di sini, mungkin nanti di
sana.....

16 September 2006

Boikot


Beberapa hari lepas saya ada menulis artikel 'Bersyukur...'. Dalam artikel
tersebut saya ada menulis tentang isteri saya yang kepingin makan Coleslaw
dan Whipped Potato. Sengaja saya menyebut nama hidangan, bukan restorannya
kerana saya menjangkakan akan ada orang yang memberi komen jika nama
restoran itu disebut. Dan jangkaan saya tepat. Sungguhpun sekadar nama
hidangan, ada orang yang dapat mengagak restoran yang mana.

"Syeikh, whipped potato? KFC ke? Anta tak boikot ke?" tanya orang yang
memberi komen (anonymous). Sebenarnya, ketika ini saya di tengah lautan dan
tidak ada akses internet. Tetapi saya sudahpun meletakkan alamat email
tempat kerja saya untuk Blogger kirimkan setiap komen yang saya terima bagi
setiap posting. Akan tetapi, saya tidak dapat merespon kepada komen
tersebut melainkan dalam bentuk posting yang lain.

Setelah berfikir panjang, akhirnya saya membuat keputusan untuk menulis
artikel ini bagi menjawab soalan dari pemberi komen tadi. Walaupun pada
awalnya wujud kebimbangan di hati akan ada orang yang tidak bersetuju
dengan apa yang akan saya tulis namun sebenarnya itu telahpun menjadi
kebiasaan pada diri saya. Saya mungkin tersilap. Tetapi saya mungkin juga
betul. Saya tidak mampu membuat semua orang bersetuju dengan pendapat saya.

Sebenarnya, saya memang tidak pernah memboikot KFC. Kerana pada pendapat
saya, tidak ada sebab khusus untuk bebuat sedemikian. Mungkin namanya
Kentucky, sebuah tempat di Amerika Syarikat tetapi hakikatnya, ia adalah
sebuah syarikat tempatan. Pemegang saham terbesar KFC Holding (KFCH)
sebenarnya adalah QSR (33%) yang merupakan anak syarikat Kulim. Dan Kulim
ini pula adalah anak syarikat kepada Johor Corporation atau JCorp.

JCorp atau dulu dikenali sebagai Perbadanan Johor merupakan syarikat induk
beberapa syarikat² lain. Kebanyakan syarikat JCorp yang dipengerusikan oleh
Datuk Ali menggunakan lambang bulan sabit berwarna biru di sebelah kiri
yang 'bertembung' dengan bulan sabit di sebelah kanan yang berwarna merah.
Salah satu anak syarikat JCorp adalah Kumpulan Perubatan Johor atau KPJ.

Apa yang menarik, KPJ yang memiliki Hospital Pakar Puteri dan Johor
Specialist Hospital ini juga memiliki klinik waqaf yang dinamakan Klinik
An-Nur (kalau tidak silap). Klinik ini menyediakan rawatan percuma bagi
yang tidak berkemampuan termasuklah rawatan dialisis untuk pesakit buah
pinggang. Dan baru² ini, Datuk Ali mengumumkan QSR juga telah menawarkan
untuk membeli semua saham minoriti dalam KFCH.

Jika diteliti keadaan ini, apakah wajar untuk KFC diboikot? Terpulang
kepada anda untuk menilainya tetapi bagi saya, KFC bukan sewajarnya
diboikot sebaliknya perlu disokong kerana ianya dimiliki oleh sebuah
syarikat separa kerajaan. Juga kerana aktiviti amal yang dilakukan oleh
syarikat induknya. Lebih dari itu, jika dilihat, kebanyakan pelayan di KFC
adalah anak Melayu, atau lebih tepat lagi, orang Islam kita.

Akhir² ini kita sering mendengar tuntutan untuk memboikot itu dan ini.
Lebih² lagi semenjak tercetus peperangan antara Israel dengan Hizbullah
(atau lebih tepat, selepas Israel menyerang Hizbullah). Saya bukan tidak
bersetuju dengan seruan pemboikotan ini. Malah sangat² setuju. Tetapi
rasanya untuk memboikot membabi-buta bukan satu idea yang baik. Seperti
mana KFC, nama tidak mencerminkan keadaan sebenar sesebuah syarikat itu.

Sebagai contoh, pelantar tempat saya bekerja ini adalah milik ExxonMobil.
ExxonMobil merupakan syarikat pemilik kepada minyak jenama Esso dan Mobil.
Memang syarikat ini dimiliki oleh rakyat Amerika. Tetapi hakikatnya, pada
ketika ini, daripada 38 orang yang menghuni pelantar ini, 35 daripadanya
adalah orang Melayu. Orang Islam. Hanya 3 orang yang bukan Islam.
Begitupun, mereka adalah rakyat Malaysia, bukan rakyat Amerika.

Bayangkanlah jika syarikat ini diboikot sehingga jatuh terduduk dan
lingkup. Bayangkanlah apa nasib kepada 35 orang Islam ini? Dan bukan sahaja
di syarikat ini. Bahkan juga dalam syarikat² lain. Melainkan di syarikat²
membuat arak dan barangan² maksiat yang lain, kesemua mereka yang bekerja
dengan syarikat luar ini hanyalah dengan tujuan mencari rezeki yang halal
bagi menampung nafkah dan perbelanjaan keluarga.

Suasana ekonomi kita sekarang sememangnya di dalam keadaan yang runcing. Di
mana² pun di dalam dunia ini, ekonomi kita dipegang oleh Yahudi. Merekalah
yang mengawal naik turun ekonomi sesebuah negara. Mata wang Dolar Amerika
yang menjadi perantaraan dalam urusniaga antarabangsa juga sebenarnya dalam
kawalan mereka. Di dalam keadaan begini, untuk melawan mereka merupakan
sesuatu yang rumit.

Untuk memboikot mereka, kita bukan sahaja perlukan alternatif untuk
barangan yang kita hendak beli. Tetapi kita juga perlukan sebuah atau
beberapa buah syarikat yang mampu menyediakan pekerjaan buat mereka yang
terpaksa diberhentikan dari syarikat yang terlingkup hasil boikot yang kita
jalankan. Ianya tidak pernah semudah yang kita jangkakan. Boikot sebenarnya
memberikan impak yang cukup besar terhadap sesebuah negara.

Pun begitu, saya tidaklah mengatakan kita tidak perlu memboikot mereka.
Selagi ada peluang, adalah wajib ke atas diri kita menetang Yahudi dan
sekutu mereka ini. Buat masa ini, apa yang saya lihat, apa yang kita boleh
boikot adalah barangan yang diimport. Adalah penting untuk kita
mengutamakan barangan buatan tempatan terutamanya barangan yang dihasilkan
dari kelompok kita sendiri iaitu orang² Islam.

Semoga dengan sokongan kita terhadap syarikat milik muslim, mereka akan
terus berkembang dengan cepat seterusnya mampu menyediakan peluang
pekerjaan bagi rakyat negara kita. Kemudiannya, apabila kita telah betul²
kukuh, kita boikot syarikat luar ini bukan sahaja dengan tidak membeli
barangan mereka, bahkan dengan tidak perlu bekerja untuk mereka. Saya
percaya, boikot dengan cara begini jauh lebih besar impaknya, inysaAllah.

Tetapi untuk melakukannya bukanlah semudah bicara. Apakah benar kita
sanggup menggunakan Proton dan tidak lagi berbangga dengan Honda, Toyota,
BMW, Peugeot, Volvo dan lain²? Apakah kita sudah bersedia untuk memakai
seluar denim berjenama Hamdan (contoh) bagi menggantikan Levi's yang kita
banggakan? Sanggupkah kita berbangga memakai t-shirt berjenama Sidek
sebagaimana kita memakai t-shirt Adidas?

Ini yang paling penting. Boikot yang paling berkesan adalah dengan
menyokong industri yang diusahakan oleh kalangan kita sendiri. Janganlah
kita sibuk melarang orang makan di KFC tetapi dalam masa yang sama tetap
menyarung seluar Levi's dan baju Nike. Biarpun pakaian tersebut adalah
cetak rompak tetapi hakikatnya, kita telah menjadi papan iklan bergerak.
Kita boikot yang satu, tetapi promosi percuma pula jenama yang lain.

Sekali lagi, saya bukan tidak bersetuju dengan agenda boikot ini apatah
lagi menghalang sesiapa dari melakukannya. Tetapi untuk diri saya, saya
akan lebih mengutamakan sokongan terhadap syarikat tempatan. Namun apa
sekalipun jalan yang kita pilih, matlamat kita tetap satu. Untuk meletakkan
Islam di tempat yang sepatutnya dan merobohkan segala apa yang
menghalangnya. Semoga redho Allah sentiasa bersama kita. Amin.....

14 September 2006

Bersyukur...


Minggu lepas, seperti biasa saya dan keluarga pergi membeli-belah di sebuah
pasaraya besar untuk bekalan dapur kami selama sebulan. Dan seperti biasa
juga, kami singgah makan di sebuah restoran dalam bangunan tersebut ketika
perjalanan pulang. Pada hari itu, isteri saya berbisik bahawa dia teringin
hendak makan Coleslaw dan Whipped Potato (kentang lenyek) manakala ibu saya
pula teringin hendak makan di restoran yang satu lagi.

Isteri saya berkata tak mengapalah. Kami akan ikut selera ibu kerana ibu
pun bukan selalu dapat makan di luar. Tetapi dia kemudiannya meminta saya
membelikan kedua² jenis makanan tadi untuk dibawa pulang dan makan di
rumah. Jadi, selesai makan, saya pun menuju ke restoran tersebut dan
memesan apa yang isteri saya mahukan. Saya terfikir mungkin bayi dalam
kandungan yang meminta makanan itu. Saya tersenyum sendirian.

Namun seketika kemudian saya terfikir. Syukurlah saya dijadikan mampu untuk
memenuhi permintaan kedua² insan yang saya sayangi ini. Mujurlah saya
mempunyai wang untuk membelinya. Saya cuba bayangkan bagaimana agaknya jika
saya dalam golongan yang tidak mampu? Barang semurah RM20 pun saya tidak
mampu adakan. Bagaimana agaknya perasaan isteri saya ketika itu?

Syukurlah... Allah telah mengurniakan saya rezeki. Sekalipun mungkin tidak
seperti jutawan yang sampaikan perbelanjaan perkahwinannya mencecah jutaan
ringgit, namun sekurang²nya saya masih mampu memperolehi apa yang saya atau
keluarga saya idamkan. Tetapi... Saya rasakan cara saya bersyukur agak
pelik. Bukan pelik sedikit sebaliknya banyak. Atau terlalu banyak peliknya.
Pelik, dalam lain erti kata, tidak sebagaimana sepatutnya.

Sebagai seorang yang beriman, sepatutnya saya terjemahkan rasa syukur itu
bukan sekadar pada patah perkataan. Sepatutnya, rasa syukur itu
diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Dan dalam keadaan yang lebih baik, ia
sepatutnya diterjemahkan dalam 3 bentuk, perkataan, perbuatan dan niat.
Tetapi cara saya bersyukur hanya pada perkataan. 'Alhamdulillah...' Itu
sahajalah yang sering saya ucapkan.

Berapa sangatlah harga ucapan 'Alhamdulillah' itu sekarang? Ianya telah
menjadi begitu murah. Ia bukan lagi sebuah perkataan yang disebut bagi
menggambarkan rasa syukur. Sebaliknya ianya lebih kepada perkataan spontan
yang keluar sejurus selepas kita lakukan sesuatu atau berlakunya satu²
perkara. Seperti contohnya berbunyi 'huargh!' ketika menguap atau 'ahhh!'
selepas minum. Itu saja. Tidak lagi lebih dari itu.

Sepatutnya lafaz 'Alhamdulillah' itu disebut dengan sebuah rasa keinsafan
bahawa setiap yang berlaku adalah di bawah keizinan Allah semata².
Sepatutnya ia diucap dengan diiringi perasaan mengkagumi kebesaran dan
kekuasaan Allah untuk menjadikan apa yang sebenarnya mungkin tidak boleh
atau tidak mungkin terjadi. Lafaz 'Alhamdulillah' sepatutnya diucapkan
dengan perasaan yang rendah diri dan penuh kesedaran.

Sebaliknya, ketika sesuatu kejayaan berlaku, lain pula yang terjadi.
Memanglah kita ucapkan lafaz 'Alhamdulillah' tetapi kemudiannya kita
sandarkan pula kepada sifat² takbur dan takjub. Ketika dinaikkan pangkat,
"Alhamdulillah... Akhirnya orang nampak juga kebolehan aku" atau ketika
lulus periksa, "Alhamdulillah... Tak rugi aku belajar siang malam" atau
ketika perniagaan menjadi maju, kita ucapkan "Alhamdulillah... Tak sia²
usaha aku selama ini".

Beginilah. Kita sandarkan ucapan 'Alhamdulillah' itu kepada kebolehan kita
untuk sesuatu kejayaan. Jika begitu, di manakah nilai 'Alhamdulillah' itu?
Segala puji bagi Allah, tetapi selesai mengucap kalimah ini, kita puji pula
diri kita. Kita puji kebolehan kita bekerja, kita puji kerajinan kita
belajar atau kita puji kebijaksanaan kita mengatur strategi dalam
perniagaan kita hingga berjaya. Jadi, untuk apa pula pujian kepada Allah
tersebut?

Seperti saya katakan tadi, cara saya bersyukur agak pelik. Kerana apabila
Allah mengurniakan saya dengan lebihan rezeki, ia tidak menjadikan saya
hambaNya yang lebih patuh. Sebaliknya ia menjadikan saya seorang yang lebih
boros. Lebihan rezeki yang saya terima tidak saya jadikan sebagai asas
untuk saya menambahkan amal ibadah sebaliknya ia menjadikan saya lebih
rakus dalam memenuhi impian nafsu saya.

Saya jadi sedih. Jika saya fikir² kembali, rasanya saya tidak layak
memiliki apa yang saya miliki pada hari ini. Tetapi perancangan Allah siapa
yang tahu? Adalah tidak patut untuk menolak rezeki yang diberiNya apatah
lagi menyesali. Apa yang perlu bagi saya adalah memperbetulkan konsep
bersyukur yang telah saya amalkan selama ini. Memperbetulkan agar saya
menjadi lebih bersyukur pada hakikat yang sebenarnya.

Sepatutnya, apabila sesuatu kejayaan 'menimpa', yang patut kita lakukan
adalah dengan mengucapkan 'Alhamdulillah' dan kemudiannya diikuti oleh
perbuatan² yang menunjukkan betapa kita 'terhutang budi' kepada Allah.
Seperti mana kita manjalin hubungan baik dengan orang yang sering membantu
kita, begitu jugalah sepatutnya kita perlakukan terhadap Allah. Memperbaiki
tahap perhubungan kita denganNya.

Dan untuk memperbaiki tahap perhubungan kita dengan Yang Maha Pencipta
sebenarnya adalah amat mudah. Hanya dengan melakukan apa diperintahkan
olehNya dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Itu sahaja. Atau dalam
lain perkataan, manjadikan diri kita tergolong dalam golongan hamba yang
taat. Inilah perbuatan yang sepatutnya mengiringi ucapan 'Alhamdulillah'.
Bersyukur dengan memperbanyakkan amalan kebaikan.

Kemudian di dalam hati pula ditanam keazaman untuk menambahkan lagi
bilangan kebajikan yang telah kita perbuat. Memperbanyakkan lagi usaha
untuk membantu mereka yang sedang menjalani kehidupan seperti mana yang
kita pernah jalani dahulu. Jika kita menjadi ketua, bantulah mereka di
bawah kita. Jika kita seorang pelajar, bantulah mereka yang kurang faham
dan bagi peniaga, bantulah mereka yang masih belum berjaya.

Kerana, setiap kejayaan yang kita tempuhi bukanlah hasil usaha keras kita
sebenarnya. Ianya semata² milik Allah. Percayalah, berusahalah sekeras mana
sekalipun, jika Allah tidak mengizinkan kita untuk berjaya, maka tidak ada
dari sebarang usaha kita yang akan membuahkan hasil. Maka wajib bagi kita
membesarkan kagungan Allah dan memujiNya di dalam hati kita seiring dengan
lafaz 'Alhamdulillah' yang sering kita sebut.

Sesungguhnya kita manusia memang sering akan teringat kepadaNya ketika
dalam kesusahan dan akan terus terlupa ketika senang. Sebagaimana ketika
makan. Memang sering kita mulakan dengan kalimah 'Bismillah' tetapi
kemudian, apabila kenyang, kita sudahi dengan bersandar pada kerusi. Ucapan
'Alhamdulillah' hanya keluar jika kita sendawa. Jika tidak, tiadalah. Yang
mungkin ada hanyalah pujian atau kutukan terhadap rasa makanan yang dimakan
tadi.

Hari ini saya hidup sebagai manusia yang punyai sifat fizikal yang cukup,
kerjaya yang tetap, keluarga yang bahagia dan berbagai nikmat lain. Tetapi
Allah boleh menjadikan saya terkena stroke pada malam ini dan bangkit esok
pagi sebagai orang yang lumpuh seluruh badan. Apakah hanya pada ketika itu
baru saya hendak mensyukuri apa yang saya miliki? Tentulah ianya akan
kelihatan lebih pelik lagi jika begitu, bukan?

Pun begitu, jika benar Allah menimpakan kecelakaan pada diri saya, masih
lagi wajib saya bersyukur. Jika sekalipun saya ditakdirkan lumpuh seluruh
badan, saya masih perlu bersyukur kerana masih diberi peluang untuk
bernyawa dan menebus segala kesilapan dan dosa yang lalu. Kesusahan tidak
bererti Allah menyiksa kita. Sebaliknya ia mungkin satu cara Allah untuk
mengangkat darjat kita.....

10 September 2006

Mencemburui Pemergian Allahyarham Haji Isa


Siapakah sebenarnya Haji Isa ini? Terus terang saya katakan, saya sendiri tidak mengenali Allahyarham. Apa yang saya tahu, setiap kali berkunjung ke Markaz Tabligh di Kampung Sinaran di Kempas, Johor, pasti saya akan tertarik kepada seorang orang tua di situ. Pertamanya kerana rasanya hanya dia seorang yang bersolat dengan duduk di atas kerusi dan keduanya kerana sifat dan sikap tegasnya terhadap pelajar tahfiz di situ.

Di markaz, pada kebiasaannya, jemaah akan membentuk saf terlebih dahulu sebelum muezzin melaungkan iqamah. Jadi, sebaik muezzin menjerit “Saf! Saf!”, mata orang tua ini akan melilau melihat pelajar² tahfiz. Jika didapatinya mereka masih duduk berbual atau berjalan dengan perlahan, akan terdengarlah suaranya memerahi pelajar tersebut dan menyuruh mereka bersegera membentuk saf.

Namun, pada minggu lepas, saya dikejutkan dengan berita pemergiannya. Allahyarham Haji Isa telah meninggal pada hari Isnin 2 minggu lepas. Hari yang sama dengan kawafatan Nabi Muhammad saw. Saya menganggap ianya suatu penghormatan buatnya. Tetapi siapa sebenarnya Allahyarham hingga saya hendak menganggap kematian pada hari Isnin sebagai satu penghormatan?

Seperti yang saya katakan tadi, saya memang tidak begitu mengenali Allahyarham. Namanya pun saya ketahui hanya selepas kematiannya. Selalunya, jika hendak merujuk tentangnya, saya gunakan kata ganti ‘orang tua yang bersolat duduk’. Buruknya sifat saya… Tidak pernah mengambil peluang untuk mengenali Allahyarham secara dekat. Mungkin juga kerana sifat tegasnya membuatkan saya sedikit ‘seriau’.

Allahyarham sebenarnya adalah pemilik kepada tapak tanah yang didirikan markaz dan sekolah tahfiz tersebut. Mulianya hati Allahyarham, tanah yang luasnya, rasa saya, melebihi satu ekar itu diwaqafkan tanpa memperolehi sebarang keuntungan dalam bentuk material. Padahal tanah di kawasan Johor Bahru ini memang terkenal mahalnya. Jika Allahyarham hendak mengira untung, memang boleh sangat.

Tetapi sebaliknya Allahyarham mengejar keuntungan ukhrawi. Dan kerana itu, Allahyarham dimuliakan pada hari kematiannya. Saya diberitakan (ketika Allahyarham meninggal, saya masih di laut) jenazah Allahyarham disolatkan oleh begitu ramai jemaah. Hampir semua pelajar tahfiz yang bersekolah di situ menyolati jenazahnya. Malah ramai juga karkun (ahli jemaah Tabligh) yang turut serta.

Ah… Alangkah beruntungnya! Bayangkanlah bagaimana perasaan kita nanti jika jenazah kita disolati oleh mereka yang hafiz, yang menghafaz al-Quran. Anak² yang masih suci, yang terselindung dari kemungkaran dunia akhir zaman. Tentu sahaja solat itu antara yang disukai oleh Allah. Dan itu adalah jemaah yang kelihatan. Bagaimana pula dengan jemaah yang tidak kelihatan?

Allah menjanjikan kemuliaan buat mereka yang berjuang pada jalanNya. Allahyarham ketika hayatnya, selain dari mewaqafkan tanahnya untuk mendirikan sekolah tahfiz dan markaz tersebut, juga merupakan seorang yang taat kepada suruhan Ilahi. Maka kerana itu saya ketakan kepada mereka yang bercerita kepada saya, tidak mustahil jika Allah mengirimkan para malaikat untuk bersolat sama terhadap jenazahnya.

Bukan itu suatu kemuliaan? Bukankah kemuliaan yang Allahyarham nikmati merupakan sesuatu yang wajar kita cemburukan? Dan sememangnya saya amat mencemburui kematian Allahyarham. Sudahlah meninggal pada hari yang sama Nabi Muhammad saw wafat, solat jenazah pula dilakukan oleh pelajar² tahfiz dan orang yang biasa mengabdikan diri untuk jalan Allah.

Persoalannya, bagaimanakah untuk saya memiliki sebuah kematian seistimewa pemergian Allahyarham? Bagaimana ya? Ketika berbual dengan salah seorang karkun di Masjid Kampung Melayu (beliau sebenarnya sedang mentasykil saya untuk berserta mereka keluar 3 hari), saya amat tertarik dengan kata² yang dilafazkan olehnya. Katanya, jika hendak mati pada jalan Allah, kita harus sentiasa pada jalan Allah.

Itulah apa yang sering diingatkan oleh para maulana dan para elders (senior² dalam Jemaah Tabligh), katanya. Dan sesungguhnya apa yang beliau sebutkan sememangnya amat benar. Bagaimana tidak, jika sudah amal ibadah menjadi kebiasaan dan amalan utama dalam kehidupan kita, atau mudah bicara ianya telah menjadi apa yang sentiasa kita amalkan, kemungkinan besar nyawa kita diambil ketika kita sedang beribadah.

Ya. Seperti mana Mat² Rempit yang akhirnya tersepit di celah tayar kereta dan lori atau, muka mereka menjadi rata seperti mana ratanya jalanraya. Dan seperti orang yang selalu ke disko dan kelab² malam dan bermabuk²an. Tidak mustahil nanti jika mereka juga mati dalam kemalangan ketika memandu pulang dalam keadaan mabuk. Begitu juga tidak mustahil untuk kita mati di atas sejadah jika kita memang sentiasa di atasnya.

Lalu saya berfikir sejenak. Apakah saya mahu mati di hadapan komputer ini? Atau apakah saya mahu mati ketika sedang membeli-belah? Atau saya mahu mati ketika sedang sibuk bersembang dengan teman² saya tentang hal² dunia? Tidak, saya tidak mahu. Tetapi, berdasarkan amalan saya hari ini, rasanya saya tidak mustahil akan mati dalam keadaan sebegitu kerana saya memang sentiasa berkelakuan sebegitu.

Semenjak kecil hingga dewasa ini, entah berapa ribu kisah kematian yang telah saya dengar dan saksikan. Ada yang penuh siksa dan banyak juga yang dalam keadaan sentosa. Sebelum ini yang amat saya kenang ialah kematian Allahyarham Pak Nasir, bapa kepada teman rapat saya, Allahyarham Dahlan (saya pernah menulis cerita tentang kematiannya) yang mati dalam keadaan tidur selepas mengaji di subuh hari.

Kini Allahyarham Haji Isa pula yang pergi dalam keadaan yang saya anggapkan sebagai kemuliaan. Tentu sahaja saya cemburu dan tentu saja saya akan kenang cerita kematiannya ini. Akan tetapi cemburu sahaja tidak memadai. Bahkan bertekad untuk menurut jejak langkah Allahyarham juga masih tidak memadai. Kerana apa yang paling penting adalah perlaksanaan.

Seorang kekasih atau suami yang cemburu dengan isterinya, tentu akan menurut ke mana sahaja pasangannya pergi. Begitu juga saya sepatutnya. Jika saya cemburu dengan kematian Haji Isa yang begini, maka seharusnya saya menuruti setiap jejak langkah yang Allahyarham telah lalui. Saya berharap semoga Allah akan membukakan pintu hati agar dapat beramal dan bermurah hati seperti Allahyarham.

Semoga Allah menempatkan roh Allahyarham di kalangan mereka yang mulia, para anbiyak, para mujahid, para solihin dan mereka yang dicintaiNya. Dan semoga Allah memilih kita untuk mati dalam keadaan yang diredhai olehNya…..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.